CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

Author: iansuryani

Berita Hari Ini - 2007

[Copy link]
Gadis_Venus This user has been deleted
Post time 18-5-2007 12:24 PM | Show all posts
WARGA MYANMAR BEBAS DARI TUDUHAN CULIK
KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara Malaysia memutuskan pasangan suami isteri warga Myanmar, Noor Shida Nur Islam, dan Mohd Abdul Rahman Ali Rahman, dibebaskan daripada tuduhan menculik kanak-kanak berusia lima tahun, Muhammad Nazrin atau Yin.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Penolong Persuruhjaya (ACP) Mohamad Zulkarnain Abd Rahman, berkata keputusan Jabatan Peguam Negara itu dibuat setelah mengambil kira sentimen masyarakat yang memaafkan pasangan itu daripada tuduhan menculik Yin.

Katanya, pasangan tersebut dibebaskan daripada tuduhan menculik Yin pada 9 Mei lalu.

'Pasangan itu telah menyerahkan Yin dalam keadaan selamat dan laporan perubatan yang diterima mengesahkan kanak-kanak itu tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

'Tangan dan kaki Yin yang menggelupas itu hanya kerana jangkitan kuman kesan daripada persekitaran tempat tinggal yang kotor,' katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi di sini, kelmarin.

Yin hilang ketika bapa kanak-kanak itu mencuba pakaian di bilik persalinan sebuah kompleks membeli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman sekitar 2 petang pada 31 Mac lalu.

Yin ditemui pasangan Myanmar itu ketika kanak-kanak itu cuba menyeberangi jalan berdekatan kompleks membeli-belah Sogo.

Mereka hanya menyerahkan Yin kepada ibu bapanya selepas menjaganya selama dua minggu.

Sementara itu, pasangan Myanmar itu mengucapkan rasa bersyukur mereka dan berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang memberi perhatian kepada mereka. - Utusan Malaysia.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Gadis_Venus This user has been deleted
Post time 18-5-2007 12:25 PM | Show all posts
PEKERJA SEKTOR AWAM TAK BOLEH KELUAR MINUM
KUALA TERENGGANU: Kesempatan untuk 'jom minum' atau masa berehat sebentar menikmati minuman ringan di luar kawasan pejabat dalam waktu bekerja akan hanya menjadi satu kegiatan masa lalu bagi para pekerja perkhidmatan awam Terengganu.
Mulai 1 Jun ini, sekitar 13,000 kakitangan perkhidmatan awam Terengganu yang mahu minum atau berehat boleh melakukan demikian di bilik makanan atau pantry yang disediakan.
Difahamkan keputusan itu dicapai selepas kebanyakan kakitangan awam itu didapati meluangkan masa rehat berlebihan di restoran dan gerai makanan.
Ada juga beberapa kakitangan awam yang didapati 'menghilangkan diri' daripada tempat kerjanya selama hampir sejam.
Setiausaha Negeri, Datuk Mokhtar Nong, berkata mulai bulan depan semua kakitangan awam tidak lagi dibenarkan meninggalkan pejabat mereka untuk minum kopi, teh atau makanan ringan di gerai 'mamak'.
Surat pekeliling telah dikeluarkan mulai semalam kepada semua ketua jabatan. Mereka yang melanggar arahan itu akan menghadapi tindakan disiplin.
'Kami akan mengarahkan semua ketua untuk memantau orang bawahannya dan menyerahkan nama mereka yang ingkar, supaya tindakan disiplin boleh diambil,' kata Datuk Mokhtar. - The Star.
Reply

Use magic Report

Gadis_Venus This user has been deleted
Post time 18-5-2007 12:27 PM | Show all posts
MAHKAMAH SETUJU DENGAR RAYUAN ISTERI HINDU YANG CUBA DICERAI SUAMI MUSLIM PUTRAJAYA: Seorang wanita beragama Hindu semalam berhasil meyakinkan Mahkamah Persekutuan agar menimbang rayuan beliau untuk menghalang suaminya, yang kini beragama Islam, daripada menceraikannya di Mahkmah Syariah.
Hakim Datuk Abdul Hamid Mohamad, yang bersidang bersama Hakim Datuk Seri S. Augustine Paul dan Hakim Datuk Abdul Aziz Mohamad, membenarkan permohonan itu dengan keputusan sebulat suara.
Cik R. Subashini, seorang setiausaha berusia 28 tahun, sejak setahun lalu berusaha menghalang suaminya, Encik T. Saravanan, atau nama Islamnya, Encik Muhammad Shafi Abdullah, 31 tahun, daripada memansuhkan perkahwinan mereka di Mahkamah Syariah dan menghalang pengislaman salah seorang anak lelaki mereka.
'Mahkamah Persekutuan akan mendengar rayuan Cik Subashini,' kata peguamnya, Encik K. Shanmuga.
Pertikaian Cik Subashini dengan suaminya bermula apabila Encik T. Saravanan memeluk agama Islam pada Mei 2006 bersama anak lelakinya, Dharvin Joshua, empat tahun.
Encik Muhammad kemudian memulakan prosiding di sebuah Mahkamah Syariah untuk menceraikan isterinya dan mendapatkan hak jagaan ke atas seorang lagi anak lelaki mereka, Sharvin, dua tahun.
'Sudah setahun lamanya anak guam saya tidak berjumpa dengan anak sulungnya, sejak dia dipisahkan dari beliau,' kata Encik Shanmuga.
Cik Subashini memohon injunksi di Mahkamah Tinggi, kemudian di Mahkamah Rayuan tetapi ditolak dan diberitahu supaya pergi ke Mahkamah Syariah.
Sekarang beliau mengharapkan satu injunksi daripada Mahkamah Persekutuan, kata Encik Shanmuga.
'Beliau mahu menghalang suaminya daripada pergi ke Mahkamah Syariah untuk memansuhkan perkahwinan mereka dan mengislamkan anak mereka,' katanya.
'Pada saat ini, itulah langkah pertama, yakni menghalang suaminya daripada mengambil langkah selanjutnya di Mahkamah Syariah kerana beliau bukan Muslim,' katanya.
Encik Shanmuga berkata beliau juga akan mencabar pengislaman Dharvin Joshua di sebuah Mahkamah Tinggi di Selangor atas alasan keizinan kedua-dua ibu dan bapa diperlukan bagi menukar agama anak bawah umur 18 tahun. - AFP, Bernama.
Reply

Use magic Report

Gadis_Venus This user has been deleted
Post time 18-5-2007 12:28 PM | Show all posts
Tentukan tidak langgar akta percetakan dan penerbitan

KUALA LUMPUR: Kementerian Keselamatan Dalam Negeri Malaysia sedang mengkaji kandungan sebuah buku mengenai peristiwa Mei 13 yang diterbitkan baru-baru ini sama ada ia melanggar Akta Pencetakan dan Penerbitan 1984 ataupun tidak.

Timbalan Menteri kementerian itu, Datuk Fu Ah Kiow, mengesahkan bahawa buku itu tidak diharamkan dan pegawainya sedang membaca kandungannya untuk memastikan adakah ia menjejas keamanan, moral atau keselamatan awam.

'Kami tidak akan mengambil sebarang tindakan buat masa ini kerana sedang mengkaji kandungan buku itu dan melihat jika ia mungkin menjejas pandangan awam,' kata Datuk Fu.

Dilaporkan beberapa orang pegawai kementerian tersebut merampas 10 naskhah buku berkenaan dari sebuah kedai buku di pusat membeli-belah Mid-Valley Megamall di sini Selasa lalu.

Seorang penerbit berkata buku-buku dirampas apabila menyentuh isu-isu kontroversial.

Buku mengenai peristiwa rusuhan pada 1969 yang bertajuk May 13: Declassified Doucuments on the Malaysian Riots of 1969, dilancarkan Ahad lalu di Dewan Perhimpunan Cina di sini.

Aktivis Dr Kua Kia Soong, yang juga mantan pensyarah Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Anggota Parlimen Petaling Jaya dari 1990 hingga 1995, berkata buku itu ditulis berdasarkan kajian beliau di Pejabat Rekod Awam di London.

Kelmarin, Dr Kua berkata jika buku tersebut diharamkan, maka penerbitnya, Suara Rakyat Malaysia (Suaram), akan menyiarkannya dalam talian.

Menurutnya, buku itu ditulis untuk mendedahkan kebenaran dan sejajar dengan Wawasan 2020 yang dimajukan kerajaan Malaysia.

Buku tersebut habis dijual di kebanyakan kedai buku. - The Star.
Reply

Use magic Report

Gadis_Venus This user has been deleted
Post time 18-5-2007 12:28 PM | Show all posts
DUA BERADIK MAUT DIREMPUH KERETA POLIS
BALING: Dua beradik terbunuh setelah motosikal yang mereka tunggangi dirempuh kereta peronda polis yang sedang mengejar penjenayah dalam satu kemalangan di Jalan Kupang Grik dekat Kupang di sini kelmarin.

Kejadian menyayat hati itu disaksikan pasangan kembar salah seorang mangsa yang mendengar dentuman kuat di belakangnya sebelum kenderaan itu mengheret kedua-dua mangsa sejauh kira-kira 20 meter dari tempat kejadian.

Lebih memilukan, mayat kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan berpelukan.

Mereka baru pulang dari Sambutan Hari Guru di Sekolah Menengah Kuala Pegang pada sebelah pagi.

Dua beradik yang maut itu ialah Mohamad Naziman, 16 tahun, dan abangnya, Mohamad Nazri Mustafa, 17 tahun, yang menunggang motosikal berkenaan.

Pasangan kembar Mohamad Nazri, Mohamad Nazirul, berkata dia bersama seorang lagi rakan, Mohd Hamim Ismail, 17 tahun, ketika itu menunggang sebuah motosikal lain yang berada di hadapan motosikal mangsa.

'Kejadian berlaku kira-kira 1.15 petang semasa kami sedang dalam perjalanan menuju ke Iboi dari Kuala Pegang untuk bertemu seorang rakan selepas meraikan sambutan hari guru di sekolah mereka,' katanya.

'Saya menyedari kemalangan tersebut berlaku apabila mendengar bunyi dentuman kuat di belakang. Saya melihat dengan jelas bagaimana kejadian ngeri itu terjadi,' tambahnya semasa ditemui di pekarangan Hospital Baling.

Menurutnya, dia dan adik-beradiknya tinggal bersama nenek mereka di Kampung Mengkuang Masjid sejak setahun lalu apabila ibu bapa mereka berpisah dan tinggal berasingan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Mat Daud Mat Hassan, mengesahkan kejadian itu dan kematian dua beradik berkenaan. - Utusan Malaysia.
Reply

Use magic Report

Gadis_Venus This user has been deleted
Post time 18-5-2007 12:29 PM | Show all posts
RAJA NAZRIN DAN ZARA DIIJAB KABUL
KUALA KANGSAR: Pasangan diraja, Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah, dan Cik Zara Salim Davidson, semalam diijab kabul dalam satu istiadat pernikahan diraja di Istana Iskandariah, Bukit Chandan, di sini.

Istiadat akad nikah dijalankan Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria, di hadapan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah; Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun; serta kerabat diraja Perak dan keluarga Cik Zara.

Walaupun istiadat itu diadakan secara sederhana dan ringkas di Balai Istiadat, ia dijalankan dengan penuh adat istiadat diraja.

Pernikahan itu bermula pada 10.30 pagi semalam dengan ketibaan Sultan Azlan Shah dan Tuanku Bainun ke Balai Istiadat.

Raja Nazrin, 50 tahun, yang kelihatan segak dan tampan dengan berbaju Melayu putih serta bersamping sedondon, dengan tenang melafazkan akad nikah dengan sekali lafaz dan disaksikan sekitar 300 tetamu.

Adik beliau, Raja Datuk Seri Ashman Shah, iaitu Raja Kecil Tengah Perak, serta Datuk Seri Mohd Salleh Ismail, suami kepada adik perempuannya, Raja Datuk Seri Azureen, menjadi saksi pernikahan itu.

Bapa Cik Zara, Encik Salim Davidson, mewakilkan wali kepada Datuk Harussani untuk mengijabkabulkan anaknya itu, yang turut disaksikan ibu Cik Zara, Sharifah Azaliah Tan Sri Syed Omar Shahabudin, dan abangnya, Encik Jeffri. - Bernama.
Reply

Use magic Report

Follow Us
Gadis_Venus This user has been deleted
Post time 18-5-2007 12:30 PM | Show all posts
DI SEBALIK PANDANGAN KONTROVERSIAL MUFTI PERLIS
Oleh
Suhana A. Samat

NAMA Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin tiba-tiba menjadi tumpuan media di Malaysia kerana keberaniannya mengeluarkan pandangan menarik serta kontroversial dalam isu agama.

Pandangannya juga dianggap tidak konservatif - daripada isu skuad khalwat kepada isu mewajibkan orang bukan Islam yang memeluk agama Islam mengekalkan nama bapa atau nama keturunan mereka.

Baru-baru ini pula, Dr Mohd Asri menegaskan adalah tidak salah bagi orang Islam menjawab salam, Assalamualaikum, yang diberikan oleh golongan bukan Islam.

Siapa sebenarnya Dr Mohd Asri? Sebelum ini, beliau pernah dipetik sebagai berkata golongan konservatif kelihatan 'ketinggalan' dalam fatwa yang dikeluarkan.

'Saya bukan seorang yang liberal. Saya pendukung pemodenan yang ingin merombak keadaan,' katanya.

Anak jati Bukit Mertajam itu dilantik sebagai Mufti Perlis pada 1 November 2006 pada usia 35 tahun. Beliau mufti termuda di Malaysia.

Dr Mohd Asri mendapat pendidikan di Kolej Islam Klang sebelum me nyambung pelajaran peringkat Sarjana Muda di Universiti Jordan dalam Bahasa Arab dan Syariah.

Beliau selanjutnya menyambung pelajaran ke peringkat sarjana di Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang Pengajian Islam dan doktor falsafah (PhD) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam bidang Pengajian Hadis.

Dr Mohd Asri memulakan kerjaya sebagai pensyarah USM pada 2003 sebelum ditawarkan jawatan Mufti Perlis, tetapi pada masa yang sama, beliau juga pensyarah Pengajian Islam di universiti tersebut. Beliau dikatakan menguasai ilmu hadis, bahasa Arab dengan mendalam dan banyak mengetahui fatwa pelbagai mazhab.

Penguasaan beliau dalam bidang hadis dikatakan memberinya kelebihan untuk mengeluarkan pandangan yang terkini dan kontemporari dengan masalah umat Islam masa kini.

Dr Mohd Asri pernah juga berkata bahawa Islam mesti menunjukkan satu keharmonian imej.

'Masanya telah tiba untuk berubah. Ini satu percubaan. Kita kena bayar harga percubaan itu, kita harus berani mengambil risiko. Agama Islam tidak ada masalah. Ini kerana berlaku salah pentafsiran dan ia perlu dibaiki,' jelas beliau.

Namun, bagaimanakah penerimaan pandangan beliau di kalangan golongan asatizah di sini?

Diminta mengulas oleh Berita Harian, Ustaz Azmi Abdul Samad, Konsultan Agama Al-Qiblah International Consultants, mengaku sebahagian daripada fatwa Dr Mohd Asri memang menarik walaupun ia agak kontroversial di kalangan sebahagian masyarakat.

'Tertimbulnya kontroversi ada kalanya kerana hukum itu adalah ijtihad yang dilakukan demi menangani isu semasa dan tidak pernah atau jarang diketengahkan oleh sebahagian ulama atau para asatizah ke tengah masyarakat. Tetapi, kadangkala, berlaku juga kontroversi semata-mata kerana masyarakat memang kurang terdedah kepada masalah khilafiah yang dibincangkan oleh para fuqaha,' jelas Ustaz Azmi.

Beliau menambah, secara umum, seseorang yang mendalami ilmu agama akan mendapati ulama memang kadangkala mempunyai pandangan yang berbeza.

Menurutnya, ini berlaku kerana terdapat perbezaan pendapat ketika mentafsirkan sesuatu ayat suci Al-Quran atau hadis Nabi.

'Umat Islam haruslah menerima perbezaan pendapat ini dengan lapang dada dan fikiran terbuka. Kita tidak harus menjadikan perbezaan pendapat sebegini sebagai penyebab untuk berselisih pendapat, saling tuduh-menuduh atau bermusuhan,' jelasnya.

Menurut Ustaz Azmi, dalam zaman teknologi maklumat, memang masyarakat Islam Singapura terdedah kepada maklumat yang begitu luas dan boleh mendapati pandangan-pandangan agama atau fatwa-fatwa daripada pelbagai sumber.

Namun, beliau menasihatkan agar sekiranya mereka tidak faham, adalah lebih baik bertanya kepada golongan yang ahli.

'Ini kerana kadangkala sesuatu jawapan yang diberikan oleh seorang ustaz adalah berdasarkan soalan yang dikemukakan oleh orang yang bertanya atau keadaan beliau yang berada di sesuatu tempat.

'Maka sesuatu fatwa atau pandangan agama yang diberikan oleh ulama kadangkala khas untuk seseorang atau sesuatu golongan tetapi tidak semestinya sesuai untuk orang atau golongan yang lain,' jelasnya.

ANTARA ISU YANG DIKETENGAHKAN DR MOHD ASRI


Skuad khalwat
Meminta supaya kaedah penguat kuasa agama yang mengintip dan menyerbu bilik-bilik hotel untuk menangkap pasangan yang berkhalwat dan kemudian dibesar-besarkan di media dihentikan segera kerana ia mengaibkan pasangan yang terlibat.


Pameran alam misteri
Mengesyorkan pameran alam misteri bertemakan Hantu & Jin...? anjuran Muzium Negeri Sembilan dihentikan kerana 'ia hanya mengkhayalkan masyarakat'.


Ekspedisi ke Kutub Utara
Menegur hasrat penjelajah Malaysia, Datin Paduka Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir, menanam Al-Quran selepas menyempurnakan ekspedisi di Kutub Utara kerana menanam Al-Quran sebenarnya tidak melambangkan penghormatan kepada kitab suci umat Islam itu.


Tukar nama bukan Islam
Mewajibkan orang bukan Islam yang memeluk agama Islam mengekalkan nama bapa atau nama keturunan mereka pada dokumen pengenalan masing-masing bagi menangani masalah di kalangan orang bukan Islam yang sebelum ini sering merungut hak mereka dinafikan untuk mengekalkan nama keturunan mereka apabila memeluk agama Islam.


Menjawab salam orang bukan Islam
Menjelaskan adalah tidak salah menjawab salam daripada orang bukan Islam.

Menurutnya, terdapat kekeliruan hadis Nabi saw yang menyuruh dijawab 'waalaika' (ke atas kamu) terhadap salam golongan ahli kitab. Ia disebabkan ada ahli kitab pada zaman Nabi apabila memberi salam menyebut 'assamualaikum' yang bermaksud 'maut atau kemusnahan ke atas kamu'. Nabi lantas menyuruh ucapan itu dijawab dengan ungkapan 'waalaikum' sahaja.

Hadis ini merujuk suatu kejadian atau keadaan apabila orang Yahudi memberikan ucapan salam secara main-main dan berniat mempersendakan dengan mengubah lafaznya yang kedengaran hampir sama tetapi maksudnya amat berbeza.

Tetapi, hadis ini bukan untuk semua keadaan. Keadaan sekarang berbeza apabila terdapat orang bukan Muslim memberikan salam dengan cara yang betul dan penuh serta tujuannya betul pula iaitu mengucapkan kesejahteraan kepada kita.
Reply

Use magic Report

Gadis_Venus This user has been deleted
Post time 18-5-2007 12:30 PM | Show all posts
ISU PINGGAN MANGKUK DI RUMAH BUKAN ISLAM
SOALAN: Sebagai seorang bukan Islam, saya dimaklumkan terdapat juga orang Islam yang berasa tidak selesa berkongsi peralatan dapur seperti pinggan dan cawan di rumah saya. Bagaimanakah Islam memandang persoalan ini?

Jawapan Dr Mohd Asri Zainul Abidin: Mengarut! Apa perlu berkunjung rumah seseorang kenalan bukan Islam kalau kita menganggap tidak boleh makan atau minum di situ? Saya kecewa dengan pentafsiran Islam begini. Agama itu sebenarnya membuatkan kita menjadi lebih bijak. Pandangan ini menjadikan seseorang lebih bodoh.

Selagi sesuatu yang dijamu kepada kita itu halal, maka ia boleh dimakan, sama ada buah, ikan atau sebagainya. Kemungkinan-kemungkinan yang kita tidak nampak itu tidak wajib diambil kira. Kerahmatan ini tidak terhad kepada orang Islam sahaja.

Kalau kita buat baik kepada orang bukan Islam, kita juga mendapat pahala, macam kita memberi sedekah kepada orang bukan Islam. Perkara ini soal keinsanan dan nilai agama yang tamadun.

Tonjolkan imej Islam dalam wajah yang indah agar Islam dipandang sebagai agama yang benar.

Apa kata Ustaz Azmi Abdul Samad: Bagi golongan yang mempersoalkan mengenai pinggan mangkuk yang tidak disertu, sebenarnya hukum menyertu pinggan mangkuk yang terkena daging khinzir juga adalah sebahagian daripada masalah yang dikhilafkan oleh sebahagian ulama.

Yang masyhurnya, seperti yang kita pelajari, pinggan mangkuk tersebut mestilah disertu.

Namun, sebenarnya ada juga sebahagian ulama, termasuk ulama dalam mazhab Syafii, yang berpendapat bahawa pinggan mangkuk sedemikian tidak perlu disertu. Memadai ia dibasuh seperti me nyucikan najis-najis biasa.

Telah berkata Imam Nawawi, seorang alim mazhab Syafii, dalam ensiklope dianya yang bertajuk Al-Majmuk:

'Ketahuilah sesungguhnya bahawa pendapat yang kuat dari segi dalil adalah ia memadai dengan satu kali basuhan tanpa menggunakan tanah. Demikian itu jugalah yang dikatakan oleh ramai ulama yang mengatakan bahawa khinzir itu najis.' (Jilid 2/417)

Ulama fiqah tersebut mengatakan demikian kerana sekiranya diteliti, kita tidak akan menjumpai satu dalil pun dalam Al-Quran atau hadis yang sahih apabila umat Islam disuruh menyertu sekiranya terkena daging babi. Nabi juga tidak memerintah para sahabat melakukan demikian - berbeza daripada suruhan baginda kalau terkena jilatan anjing.

Namun, saya tidak menafikan masalah ini agak sensitif kerana ia jarang diketengahkan. Apa yang penting adalah masyarakat perlu faham bahawa hukum menyertu kalau terkena daging babi adalah satu masalah yang tidak disepakati oleh ulama.

Dengan adanya pandangan sebegini, ia akan memberi jalan keluar sekiranya kita menziarahi kawan atau kenalan kita yang bukan beragama Islam.

Ia juga akan dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh sebahagian golongan pekerja kita yang terpaksa makan di kantin kerja atau pusat makanan yang hanya mempunyai satu pusat tempat membasuh yang menggunakan mesin membasuh pinggan mangkuk elektrik.

Namun, memandangkan ramai anggota masyarakat kita masih kurang terdedah kepada isu sebegini, saya tetap menasihati golongan orang bukan Islam supaya memastikan pinggan mangkuk mereka disertu terlebih dahulu atau menggunakan pinggan pakai buang sekiranya ingin menjamu umat Islam dalam sesuatu majlis.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Gadis_Venus This user has been deleted
Post time 18-5-2007 12:31 PM | Show all posts
Dr M sebenarnya sakit jantung

KUALA LUMPUR: Mantan perdana menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, 81 tahun, mengalami serangan sakit jantung sebelum beliau dikejarkan ke hospital awal minggu ini tetapi keadaannya kini 'beransur baik', kata para doktor Institut Jantung Negara (IJN) Malaysia semalam. - AFP.
Reply

Use magic Report

Gadis_Venus This user has been deleted
Post time 18-5-2007 12:32 PM | Show all posts
Kumpulan samun ditumpas

JOHOR BAHRU: Polis Johor menumpaskan empat kumpulan samun warga Indonesia dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.

Mereka telah menahan 22 lelaki yang disyaki terbabit dalam lebih 30 kes pecah rumah serta samun bersenjata di tiga daerah di Johor. - BHM.
Reply

Use magic Report

Gadis_Venus This user has been deleted
Post time 18-5-2007 12:32 PM | Show all posts
Kebocoran di Parlimen teruk

KUALA LUMPUR: Bangunan Parlimen kini mengalami kebocoran yang 'teruk' dan memerlukan penyenggaraan segera.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu, berkata masalah di bumbung itu serius yang memerlukan pembinaan semula semua struktur bumbung dan dipasang an alat kalis air dan siling penahan. - Bernama.
Reply

Use magic Report

Gadis_Venus This user has been deleted
Post time 18-5-2007 12:33 PM | Show all posts
Berjaya kekal jawatan datuk bandar Makati

MANILA: Datuk bandar calon parti pembangkang semalam diisytiharkan sebagai pemenang di daerah kewangan Manila, Makati, sedang calon Senat pembangkang terus mendahului calon pemerintah dalam pengiraan undi pilihan raya separuh penggal Filipina.

Presiden Filipina, Cik Gloria Arroyo, berkata beliau menjangkakan parti campuran yang menyokong pemerintahnya meraih majoriti lebih besar dalam Dewan Perwakilan apabila keputusan pilihan raya pada 14 Mei lalu diumumkan.

Dengan menguasai Dewan Perwakilan, sebarang percubaan untuk membicarakan Cik Arroyo atas tuduhan menipu dalam pilihan raya presiden pada 2004 akan dapat ditepis.

'Dalam pilihan raya kongres dan tempatan, undi besar bagi calon yang menyokong pemerintah mencerminkan undi untuk stabiliti politik dan pembaharuan ekonomi,' kata Cik Arroyo semalam.

Sebelum ini, pembangkang dijangka mengekalkan majoriti kerusi dalam Dewan Senat.

Semalam, Encik Jejomar Binay berjaya mengekalkan kerusinya sebagai datuk bandar Makati.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada Cik Arroyo atas kemenangannya, Encik Binay mendakwa pentadbiran Cik Arroyo bertanggungjawab ke atas percubaan menggantungnya daripada tugas atas dakwaan rasuah.

Beliau menegaskan tuduhan itu membantunya menang.

Di Manila pula, calon pembangkang bagi jawatan datuk bandar, Encik Alfredo Lim, mendahului lawannya. Kedua-dua Encik Binay dan Encik Lim dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan dua mantan presiden, Cik Corazon Aquino, dan Encik Joseph Estrada.

Keputusan rasmi pilihan raya itu dijangka mengambil masa berminggu-minggu sebelum diumumkan. - AFP, AP, Bloomberg.
Reply

Use magic Report

Gadis_Venus This user has been deleted
Post time 18-5-2007 12:33 PM | Show all posts
AUSTRALIA BEBASKAN PERANCANG SERANGAN KE ATAS KEDUTAAN ISRAEL
PERTH: Seorang warga Britain yang dilatih kumpulan pengganas Al-Qaeda dan didapati bersalah merancang untuk meletupkan kedutaan Israel di Australia dibebaskan semalam setelah menjalani separuh daripada hukuman sembilan tahun penjara yang dijatuhi ke atasnya.

Jack Roche, 53 tahun, yang telah memeluk agama Islam, mengaku bersalah pada Mei 2004 terhadap tuduhan terlibat dalam konspirasi yang didalangi Osama bin Laden itu semasa dia melawat Afghanistan dan Pakistan pada 2000.

Rancangan itu bagaimanapun tidak dilaksana.

Roche boleh dikenakan hubungan penjara sehingga 25 tahun tetapi ia dikurangkan kepada sembilan tahun selepas dia bersetuju untuk memberitahu pegawai perisikan mengenai pelibatannya dalam Al-Qaeda dan Jemaah Islamiyah (JI).

Dia layak menjalani parol sekarang kerana tempoh tahanannya sejak 2002 turut diambil kira.

Roche enggan ditemu ramah sejurus keluar dari penjara Casuarina semalam, tetapi apabila ditemui di rumahnya di sini, dia berkata: 'Saya rasa lega telah dibebaskan.'

Apabila ditanya adakah dia masih berhubungan dengan pengganas, Roche menjawab: 'Tidak.'

Ditanya pula adakah dia akan melalui kehidupan aman, Roche berkata: 'Sudah tentu.'

Peguam Roche, Encik Hylton Quail, memberitahu stesen televisyen Australian Broadcasting Corporation Roche berharap pihak media akan menghormati privasinya.

Roche, yang sebelum ini seorang pekerja kilang, memeluk agama Islam pada awal 1990-an apabila dia cuba mengatasi masalah ketagihan arak.

Dia mengaku telah ke Afghanistan dan bertemu Osama sebelum menjalani latihan dengan Al-Qaeda. - AP, AFP.
Reply

Use magic Report

Gadis_Venus This user has been deleted
Post time 18-5-2007 12:35 PM | Show all posts
THAKSIN HUBUNGI SALURAN RADIO THAI
BANGKOK: Mantan perdana menteri Thailand, Encik Thaksin Shinawatra, menghubungi tiga saluran radio di sini lewat kelmarin dan menggesa agar demokrasi dipulihkan di negara itu.

Ini kali pertama beliau menghubungi media sejak diguling September lalu. Encik Thaksin, yang kini tinggal di London, berbual selama 15 minit, kata juruhebah saluran radio Confidante, Encik Chupong Theethuan.

'Saya terkejut dan tergamam apabila saya sedar bahawa orang yang menghubungi talian ialah beliau. Beliau menggesa agar pilihan raya dijalankan segera dan berkata kerajaan tidak harus bimbang tentang dirinya kerana beliau tidak akan datang dekat rantau ini lagi,' ujar beliau.

Menurut beliau, Encik Thaksin turut menyuarakan keprihantinannya terhadap tindakan kerajaan mengurangkan jumlah biasiswa kerajaan. Beliau menggesa 'kanak-kanak yang menderita' agar menghubungi yayasannya.

Encik Thaksin turut bertanyakan khabar rakyat Thai menyusuli gempa bumi sekuat 6.1 pada skala Richter di Laos kelmarin yang gegarannya turut dirasakan di Bangkok dan utara Thailand.

'Saya memberitahu beliau bahawa kami rindukannya. (Gempa bumi) itu mengingatkan saya pada tsunami dan beliau sangat cepat bertindak semasa bencana itu,' kata Encik Chupong.

Saluran radio Confidante terletak di wilayah Nonthaburi dan ditubuhkan Disember lalu. Sebelum ini, ia lantang mengkritik junta tentera yang mengguling Encik Thaksin.

Pihak junta telah mengeluarkan amaran pada Januari lalu, menegaskan media yang menyiarkan kenyataan Encik Thaksin akan ditutup. - AFP.
Reply

Use magic Report

Gadis_Venus This user has been deleted
Post time 18-5-2007 12:36 PM | Show all posts
Empat lagi korban dua serangan udara Israel di Rafah

BANDAR GAZA: Sekurang-kurangnya 25 rakyat Palestin terkorban apabila kumpulan bersenjata Fatah pimpinan Presiden Palestin, Encik Mahmoud Abbas, bertempur dengan kumpulan Hamas bagi menguasai Gaza kelmarin.

Serangan udara Israel ke atas bangunan yang digunakan pasukan keselamatan Hamas di bandar Rafah pula menyebabkan empat rakyat Palestin terkorban.

Israel berkata serangan itu tiada kaitan dengan pertempuran rakyat Palestin sesama sendiri, yang sejauh ini membunuh 45 orang, tetapi sebagai tindak balas terhadap serangan roket yang dilancarkan Hamas ke selatan Israel.

Penduduk Gaza yang ketakutan bersembunyi dalam rumah sewaktu orang-orang bertopeng bertempur di jalan-jalan raya, menyebabkan lebih 20 orang terkorban.

Dua aktivis Fatah dan tiga militan Hamas mati dalam pertempuran berasingan, hanya beberapa jam selepas Encik Abbas dan Perdana Menteri Palestin, Encik Ismail Haniyeh, bersetuju untuk mengadakan gencatan senjata.

Awal kelmarin, lima anggota Fatah terbunuh dalam satu serangan Hamas ke atas rumah seorang pegawai keselamatan pro-Fatah di Gaza, Encik Rashid Abu Shbak, yang dapat menyelamatkan diri.

Malam kelmarin, sekumpulan orang tidak dikenali menyerang rumah Encik Haniyeh di Gaza, tetapi tiada sesiapa cedera.

Sementara itu, tujuh anggota pasukan keselamatan pimpinan Encik Abbas cedera akibat bedilan mortar oleh kumpulan militan Hamas.

Perkembangan ini menimbulkan kesangsian pemerintahan campuran dua puak itu dapat bertahan.

Keganasan yang mencengkam Gaza diburukkan lagi oleh dua serangan udara Israel yang menyebabkan empat orang terbunuh.

Perdana Menteri Israel, Encik Ehud Olmert, mengarahkan serangan itu sebagai membalas 26 serangan roket yang dilancarkan militan Palestin ke bandar Sderot di selatan Israel sejak Ahad lalu, yang sejauh ini mencederakan empat orang awam. - AP, AFP, Reuters.
Reply

Use magic Report

Gadis_Venus This user has been deleted
Post time 18-5-2007 12:42 PM | Show all posts
KHIDMAT KERETA API DUA KOREA PULIH LEPAS 56 TAHUN
MUNSAN (Korea Selatan): Dua kereta api, satu dari Korea Utara dan satu lagi dari Korea Selatan, semalam merentasi sempadan satu sama lain, sekali gus memulihkan perkhidmatan yang terputus selama 56 tahun sejak Perang Korea 1950-1953.

Kereta api itu, yang membawa 100 rakyat Korea Selatan dan 50 rakyat Korea Utara, termasuk tokoh politik dan selebriti, merentasi Zon Gencatan Senjata selebar empat kilometer yang memisahkan dua negara itu.

Perkhidmatan sulung sejauh 25 kilometer itu dilancarkan sesudah beberapa kali ditangguh sejak landasan di dua negara itu disambungkan pada 2003.

'Ia bukan semata-mata satu perjalanan ujian. Ia bermakna menghubungkan semula pertalian darah yang terputus antara rakyat kita,' kata Menteri Penyatuan Korea Selatan, Encik Lee Jae-joung, dalam satu majlis di stesen Munsan, kira-kira 50 kilometera ke barat laut Seoul dan 12 kilometer ke selatan Zon Gencatan Senjata, sebelum menaiki kereta api itu.

'Kereta api ini melambangkang impian, harapan dan masa depan dua negara Korea,' kata Encik Lee.

'(Kedua-dua Korea) tidak seharusnya tergelincir dari landasan atau teragak-agak dalam langkah menuju penyatuan,' kata seorang anggota kabinet kanan Korea Utara, Encik Kwon Ho Ung. - Reuters.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Gadis_Venus This user has been deleted
Post time 18-5-2007 12:43 PM | Show all posts
LAPORAN: IRAQ HADAPI BEBERAPA PERANG SAUDARA
LONDON: Iraq sedang menghadapi beberapa perang saudara antara beberapa puak yang berebut kuasa dan telah berpecah menjadi beberapa kelompok kuasa wilayah, demikian laporan satu badan penasihat kepada kerajaan Britain semalam.

Iraq kini dilanda 'banyak perang saudara dan serangan pengganas' dan negara itu kini berpecah kepada 'wilayah-wilayah yang dikuasai kelompok agama, kaum atau kelompok politik suku kaum', menurut laporan berjudul Menerima Hakikat di Iraq yang disiahatham House, sebuah pertubuhan ehwal antarabangsa berpangkalan di London, Chatham House, yang menasihati para pemerintah Eropah, termasuk Britain.

Di Baghdad, kelompok Sunni dan Syiah berperang untuk menguasai pemerintah, manakala di Kirkuk, sudah muncul konflik antara penduduk Kurdi dan bukan Kurdi, kata penulis laporan itu, Encik Gareth Stansfield.

Beberapa kumpulan Sunni kini bertempur dengan gerila yang setia pada Al-Qaeda di wilayah Al-Anbar, barat Iraq.

Di selatan Iraq pula, beberapa kumpulan Syiah sedang bertempur bagi menguasai Basra, menjelang pengunduran askar Britain dari wilayah itu tidak lama lagi, kata Encik Stansfield.

Kumpulan militia Tentera Mahdi pimpinan ulama radikal Moqtada al-Sadr yang anti-Amerika kini sedang berbalah dengan kumpulan Syiah lain, terutama militia Badr, yang ada hubungan rapat dengan Iran.

Selain itu, ketika puak Sunni memerangi askar Amerika di tengah dan utara Iraq, kumpulan militia Syiah pula sedang menyerang askar Britain di sekitar Basra di selatan, kata laporan itu. - Bloomberg.
Reply

Use magic Report

Gadis_Venus This user has been deleted
Post time 18-5-2007 12:49 PM | Show all posts
WOLFOWITZ MAHU UNDUR DARI BANK DUNIA SECARA TERHORMAT
WASHINGTON: Presiden Bank Dunia, Encik Paul Wolfowitz, semalam berusaha mendapatkan satu perjanjian yang membolehkan beliau meletak jawatan secara terhormat atas syarat-syarat beliau sendiri, berhubung skandal kenaikan pangkat dan gaji temanitanya, Cik Shaha Riza.

Rundingan itu, yang didedahkan para pegawai bank tersebut Rabu lalu, berlangsung semasa lembaga pengarah bank bersidang untuk menentukan nasib Encik Wolfowitz.

Beliau dilaporkan bersedia meletak jawatan asal saja pihak bank turut bertanggungjawab di atas skandal itu kerana nasihat yang silap berhubung kenaikan pangkat dan gaji yang beliau usahakan untuk Cik Riza pada 2005.

Negara-negara Eropah menggesa agar Encik Wolfowitz meletak jawatan ketika sokongan Rumah Putih ke atas mantan timbalan setiausaha pertahanan Amerika itu mulai menurun.

Rumah Putih, yang mencadangkan Encik Wolfowitz bagi jawatan tersebut, membayangkan buat pertama kali Selasa lalu bahawa ia bersedia menimbang pucuk pimpinan baru bagi bank itu.

Laporan panel penyiasat Bank Dunia awal minggu ini mendapati Encik Wolfowitz melanggar peraturan bank, tetapi ia juga berkata pihak bank memberi arahan samar-samar dalam kes itu. - AP, AFP, Reuters.
Reply

Use magic Report

Gadis_Venus This user has been deleted
Post time 18-5-2007 12:49 PM | Show all posts
Khaleda tangguh ke Singapura

DHAKA: Mantan Perdana Menteri Bangladesh, Cik Khaleda Zia, telah menangguhkan rancangan ke Singapura lewat kelmarin bagi mendapatkan rawatan perubatan.

Menurut seorang pegawai semalam, penangguhan itu dibuat selepas satu kes ugutan difailkan ke atas anak lelakinya.

Bulan lalu, Cik Zia dilaporkan bersetuju untuk hidup dalam buangan jika sebagai ganti pemerintah mengenakan hukuman ringan ke atas dua anaknya yang menghadapi tuduhan rasuah. - AFP.
Reply

Use magic Report

Gadis_Venus This user has been deleted
Post time 18-5-2007 12:50 PM | Show all posts
Semakin ramai bunuh diri dek stres kerja

TOKYO: Bilangan rakyat Jepun yang membunuh diri kerana stres kerja meningkat 52 peratus tahun lalu.

Menurut pegawai Kementerian Kesihatan, pampasan telah diberi pepada 65 keluarga pekerja yang membunuh diri ekoran stres bekerja tahun lalu, berbanding 42 keluarga tahun sebelumnya.

Jumlah pekerja yang menerima pampasan kerana mengalami tekanan jiwa ekoran kerja pula meningkat 62 peratus kepada 205 orang. - AP.
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

19-12-2024 10:01 AM GMT+8 , Processed in 0.048836 second(s), 27 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list