|
Usia FAS kini genap 72 tahun
Oleh WAN FAKHRUL BAKAR
JIKA anda seorang penyokong setia pasukan bola sepak Selangor, perhatikan lambang Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) pada jersi skuad Gergasi Merah itu yang tertera perkataan 'ditubuhkan 1936'.
Pastinya, anda akan mendapati 'usia' FAS kini sebenarnya telah mencecah 72 tahun.
Mungkin anda tidak mengetahui bilakah tarikh sebenar ia ditubuhkan, namun secara rasminya, pada tarikh 22 Februari lepas, FAS genap 'berusia' 72 tahun.
Namun, bagi yang tidak mengetahui sejarah awal penubuhannya, ia telah ditubuhkan pada tahun 1905 dikenali sebagai Selangor Association Football League (SAFL).
SAFL berperanan menjalankan liga bola sepak secara liga untuk merebut piala yang dihadiahkan Residen Inggeris di Selangor ketika itu, RG Watson.
Namun, pada tahun 1926, berlaku pergolakan dalam SAFL yang membawa kepada penubuhan sebuah lagi persatuan dikenali sebagai Selangor Football Association (SFA) yang menganjurkan pula pertandingan bola sepak secara kalah mati.
Persengketaan antara SAFL dengan SFA berakhir 10 tahun kemudian dengan kedua-dua persatuan itu bersetuju dibubarkan bagi membentuk satu persatuan baru yang dinamakan Football Association of Selangor (FAS) pada 22 Februari 1936.
Kini, setelah 72 tahun berlalu, FAS dilihat masih utuh dalam menguruskan perjalanan pasukan Selangor dalam saingan Liga Malaysia serta turut masih meneruskan penganjuran liga-liga bola sepak tempatan di Selangor.
Dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo kini bertindak sebagai Presiden FAS, tugas-tugas harian pentadbiran persatuan turut giat dijalankan Setiausaha Agung FAS, Hamidin Mohd. Amin.
Umum mungkin tidak mengetahui, Hamidin sebenarnya merupakan Setiausaha Agung FAS yang pertama meskipun FAS kini sudah pun mencecah usia 72 tahun.
"Saya mula menjinakkan diri dengan bola sepak Selangor pada 1988 apabila menjadi Bendahari Kelab Penyokong Bola Sepak Selangor di bawah naungan FAS.
"Selepas itu, dari tahun 1991 hingga 1994 saya terus bersama bola sepak Selangor apabila menjadi pengurus pasukan Perwira Affin Bank yang beraksi dalam Liga Dunhill anjuran FAS.
"Pada 1 Ogos 1995, bermulalah secara rasmi saya menyertai FAS sebagai Setiausaha Eksekutif di mana ketika itu masih wujud satu lagi jawatan lebih tinggi iaitu Setiausaha Kehormat.
"Pada tahun 1998, perlembagaan FAS diubah dan kedua-dua jawatan setiausaha itu digantikan dengan satu jawatan baru iaitu Setiausaha Agung. Saya dilantik ke jawatan baru itu sehinggalah ke hari ini," kata Hamidin ketika ditemui di pejabatnya di Wisma FAS, Kelana Jaya kelmarin.
Menurut Hamidin, usia 72 tahun FAS semakin menampakkan kematangan persatuan itu apabila dianggap sebagai antara persatuan negeri terbaik yang dapat mengekalkan statusnya itu sehingga ke hari ini.
"Buat masa ini, FAS secara konsisten mengendalikan sejumlah 1,500 perlawanan liga peringkat Selangor sepanjang tahun dengan penglibatan sebanyak 110 buah kelab.
"Selain itu, FAS juga kekal sebagai kilang menghasilkan pemain tidak kiralah buat pasukan Selangor atau pasukan lain. Sebagai contoh, setiap kali ada pemilihan pasukan kebangsaan, pasti ada ramai pemain Selangor yang dipilih," ujarnya.
Di samping sistem pentadbiran dan pengurusannya yang teratur, FAS juga menjadi satu-satunya persatuan negeri yang menyediakan penginapan di hotel sepanjang musim buat para pemainnya yang beraksi dalam Liga Super, Piala Presiden dan Piala Belia.
"Bermula awal tahun lalu, FAS telah mula menempatkan pemain dari tiga skuad ini di Hotel Carlton Holiday Shah Alam. Pemain Liga Super ditempatkan sebilik dua pemain manakala pemain Piala Presiden dan Piala Belia ditempatkan sebilik untuk lapan pemain," jelas Hamidin.
Dengan segala kemudahan lengkap yang sememangnya perlu ada bagi seseorang pemain bola sepak profesional telah disediakan FAS, Hamidin menanam satu azam dan impian yang diharap dapat dicapai oleh pasukan Selangor bermula tahun 2008 ini.
"Di peringkat tempatan, Selangor sudah diiktiraf sebagai pasukan paling banyak memenangi kejuaraan dan piala sepanjang zaman. Jadi, kini saya mahu lihat Selangor mencipta nama di peringkat Asia pula.
"Harapan FAS ialah untuk menjadikan Selangor sebagai sebuah pasukan terbaik di rantau Asia dengan sasaran untuk memenangi Piala Liga Juara-Juara Asia atau Piala AFC dalam tempoh beberapa tahun terdekat ini," katanya.
- Kosmo -
|
|