Lawatan PM ke Bahrain perkasa hubungan diplomatik 50 tahun

[size=14.399999618530273px]Datuk Seri Anwar Ibrahim
[size=14.399999618530273px]
MANAMA, BAHRAIN: Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selama tiga hari ke Bahrain bermula hari ini akan mengukuhkan lagi hubungan diplomatik yang terjalin di antara kedua-dua negara sejak 50 tahun lalu. Ini kunjungan pertama Anwar ke negara ini sebagai Perdana Menteri dan ia menjadi lebih bersejarah dengan jemputan Putera Mahkota, Sheikh Salman Hamad al-Khalifa yang juga Perdana Menteri Bahrain. Perdana Menteri akan diiringi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan serta pegawai kanan kerajaan. Duta Besar Malaysia ke Bahrain, Shazryll Zahiran, berkata dalam lawatan itu, Anwar dijadual mengadakan kunjungan ke atas Putera Mahkota Bahrain dengan kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan perkembangan dan kemajuan hubungan kedua-dua negara. Katanya, antara tumpuan yang akan dibincangkan ialah pengukuhan dan peningkatan kerjasama dalam sektor utama berkepentingan bersama termasuk perdagangan dan pelaburan, pertahanan, keterjaminan makanan, perbankan Islam, industri halal, kesalinghubungan dan pelancongan serta isu serantau dan global. "Selaku Pengerusi ASEAN, Perdana Menteri juga akan menyampaikan jemputan kepada Putera Mahkota untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-GCC kedua dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC + China yang julung kali diadakan sewaktu Kepengerusian ASEAN Malaysia.
Perdana Menteri juga dijadual menghadap Raja Bahrain, Sheikh Hamad Isa Al Khalifa sewaktu lawatan rasmi ini dan sesi menghadap ini adalah satu penghormatan tinggi kepada Malaysia di samping menzahirkan keutuhan hubungan dua hala antara Malaysia dan Bahrain," katanya pada sidang media di sini.
Perdana Menteri turut dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Menteri Kewangan dan Ekonomi Bahrain, Shaikh Salman Khalifa Al Khalifa bagi membincangkan peluang kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.
Di sela lawatan rasmi, Perdana Menteri akan menyertai Persidangan Dialog Intra-Islamik (IIDC) dan menyampaikan ucapan pada sesi utama persidangan berkenaan.
"IIDC adalah persidangan anjuran tiga organisasi Islam iaitu Al-Azhar Al-Sharif, Supreme Council Islamic Affairs (Bahrain) dan Muslim Council Of Elders yang akan dihadiri 298 agamawan dari 75 negara. "Ucapan Perdana Menteri sewaktu persidangan itu akan menzahirkan kedudukan Malaysia sebagai negara Islam yang progresif bertepatan dengan konsep MADANI," katanya.
Selain program rasmi, Perdana Menteri dijadual menghadiri majlis makan malam bersama Diaspora Malaysia di Bahrain. "Lawatan julung kali Perdana Menteri ke Bahrain adalah sangat signifikan bagi mencerminkan hubungan akrab antara kedua-dua negara. "Lawatan rasmi ini juga akan menjadi wadah terbaik untuk Perdana Menteri mengetengahkan dasar luar Malaysia, terutama pendirian negara terhadap isu serantau dan global di pentas antarabangsa serta fokus kepada Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia," katanya. Bahrain adalah rakan dagang kesembilan terbesar Malaysia bagi rantau Asia Barat pada tahun lalu manakala Malaysia pula adalah rakan dagang ketiga terbesar Bahrain dalam kalangan negara ASEAN dan ke-18 terbesar di peringkat global pada 2023. Berdasarkan statistik 2024, nilai perdagangan Malaysia dan Bahrain adalah sebanyak RM1.19 bilion dengan jumlah eksport sebanyak RM251.2 juta dan import sebanyak RM934.3 juta.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/02/1362647/lawatan-pm-ke-bahrain-perkasa-hubungan-diplomatik-50-tahun
|