MetMalaysia lanjutkan amaran ribut petir, hujan lebat hingga jam 5 petang ini
Suasana hujan lebat di sekitar Kuala Lumpur hari ini, ketika negara berada dalam peralihan memasuki Monsun Timur Laut. -NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SALI
KUALA LUMPUR: Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlanjutan melanda beberapa negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak sehingga jam 5 petang ini. Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam kenyataan terbaharunya sebentar tadi memaklumkan, negeri terbabit termasuk Pulau Pinang dan Perak serta lima daerah di Kedah, iaitu Padang Terap, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu. Selain itu, Kelantan (Jeli dan Kuala Krai), Terengganu (Besut, Setiu dan Hulu Terengganu), Pahang (Cameron Highlands, Lipis, Raub, Bentong, Temerloh, Maran, Kuantan, Bera dan Rompin), Selangor (Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling dan Hulu Langat), Kuala Lumpur serta Negeri Sembilan (Jelebu). Di Sarawak, ia membabitkan Mukah (Dalat dan Mukah), Kapit (Song) dan Bintulu (Tatau), manakala di Sabah, pedalaman (Tambunan), Pantai Barat, Sandakan (Kinabatangan) dan Kudat.
"Amaran dikeluarkan apabila ada tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter (mm) setiap jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam. "Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/10/1311129/metmalaysia-lanjutkan-amaran-ribut-petir-hujan-lebat-hingga-jam-5
|