Gadis_Venus This user has been deleted
|
'PEWARIS' ANTARA PEGAWAI DIIKTIRAF
AZAM untuk meneruskan kerjaya yang 'diwarisi' daripada bapa dan datuknya mendorong Mejar Abdul Razak Abdul Raheem menjalankan tugas sebaiknya dalam Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).
Sikap beliau yang tidak pernah mengeluh dalam menjalankan tugas itu akhirnya diberi pengiktirafan apabila beliau dinaikkan pangkat kepada Leftenan Kolonel (1) berkuatkuasa bulan depan.
'Tugas ini memang mencabar dan menyeronokkan. Saya sering terdorong melakukan tugas dan suka melalui saat-saat yang mendebarkan,' ujarnya sambil menambah bahawa bapa dan datuknya juga pernah bertugas dalam pasukan beruniform.
Berusia 38 tahun, beliau merupakan Penolong Pengarah (Publisiti & Perhubungan Media) Jabatan Ehwal Awam (PAD) SCDF dan merupakan antara 2,400 pegawai Home Team yang dinaikkan pangkat tahun ini. Majlis Kenaikan Pangkat Home Team bagi pegawai kanan diadakan semalam.
Sejak berkhidmat bersama SCDF selama 12 tahun Mejar Abdul Razak telah menerima lebih 10 anugerah.
'Tugas di SCDF mempunyai kepelbagaian dan jabatan-jabatan yang pernah saya berkhidmat berlainan antara satu sama lain,' kata bapa dua orang anak itu.
Namun, sebahagian besar tugasnya di SCDF dihabiskan di PAD.
Menceritakan pengalamannya, Mejar Abdul Razak menyebut dua peristiwa - Latihan Northstar V dan runtuhan Nicoll Highway - kerana beliau menjadi wakil SCDF sebagai jurucakapnya.
Selain beliau, ASP Shamrudy Abdul Kader juga dinaikkan pangkat kepada Timbalan Superintenden (DSP).
Berusia 34 tahun, ASP Shamrudy sudah berkhidmat bersama Penguasa Imigresen dan Cekpoint (ICA) selama 10 tahun.
Isterinya, Cik Junaidah Ismail, 28 tahun, juga merupakan pegawai ICA dan mereka baru berkahwin selama enam bulan.
ASP Shamrudy juga pernah menyertai seminar Pengawalan Imigresen di Tokyo.
Ditanya tentang perasaannya apabila dinaikkan pangkat, beliau berkata: 'Saya gembira kerana ia mengiktiraf usaha saya selama ini.' |
|
|
|
|
|
|
Gadis_Venus This user has been deleted
|
GUNA SMS SEBAR MAKLUMAT DENGGI
PENDUDUK kawasan Majlis Bandaran Bishan-Toa Payoh telah mula menerima berita terkini mengenai penyakit denggi menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).
Diberi nama DengueALERT, majlis bandaran itu mula menghantar SMS Jumaat lalu selepas seorang lelaki berusia 85 tahun meninggal akibat denggi.
Dalam kenyataannya semalam, Pengerusi Majlis Bandaran Bishan-Toa Payoh, Encik Zainudin Nordin, berkata:
'Kami perlu menghubungi penduduk dengan pantas supaya mereka tahu bahawa situasi ini tidak harus diambil ringan dan mereka perlu lebih sedar. Sudah terdapat satu kematian, meskipun bukan dalam GRC kami tetapi pencegahan perlu diambil.'
Encik Zainudin berkata SMS mungkin dihantar sekali lagi jika keadaan memaksa, namun beliau menekankan ia dilakukan secara selektif, atau kesannya akan hilang.
Sejauh ini, majlis bandaran itu mempunyai pangkalan data SMS untuk sekitar 11,000 penduduk.
Mereka yang berminat mendapat maklumat terkini menerusi khidmat itu boleh mendaftarkan di laman Majlis Bandaran di www.btptc.org.sg.
Bulan lalu sebanyak 23 kes denggi dilaporkan dalam GRC Bishan-Toa Payoh.
Sementara itu, Setiausaha Parlimen Kanan (Sekitaran dan Sumber Air), Dr Amy Khor, berkata membuang sampah sebarangan membentuk salah satu daripada tiga tempat pembiakan nyamuk di tempat awam.
Berucap di pelancaran Program Duta Bebas Pembuangan Sampah Sebarangan semalam, Dr Khor menambah:
'Membuang sampah secara sebarangan bukan sahaja menjadikan sekitaran kita tidak elok, tetapi juga menimbulkan ancaman kesihatan awam.' |
|
|
|
|
|
|
Gadis_Venus This user has been deleted
|
SEORANG LAGI ANGGOTA NS MENINGGAL DUNIA
SEORANG anggota Perkhidmatan Negara (NS) sepenuh masa yang mengalami kelecuran serius menyusuli nahas membabitkan sebuah jet pejuang di Taiwan meninggal dunia pagi semalam.
Lans Koperal (LCP) Calvin Chow Han Min diterbangkan ke Singapura bagi rawatan lanjut menyusuli kejadian itu tetapi gagal diselamatkan.
Dalam kenyataannya, Kementerian Pertahanan (Mindef) berkata mendiang Chow meninggal dunia di Hospital Besar Singapura (SGH) pada 6.37 pagi selepas keadaannya menjadi bertambah buruk.
Menurut Mindef, LCP Chow mengalami kelecuran teruk selepas pesawat pejuang Taiwan F-5F terhempas di sebuah stor tempat lans koperal berada pada 11 Mei lalu. Mendiang diterbangkan ke Singapura dari Taiwan pada hari berikutnya.
Pemergian LCP Chow meningkatkan bilangan anggota Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) yang terkorban akibat nahas ini kepada tiga orang. Dua yang meninggal dunia sebelum ini ialah Sarjan Ketiga (3SG) Isz Sazli Sapari, 19 tahun, dan Prebet Fan Yao Jin, 24 tahun.
Seorang lagi anggota tentera SAF yang cedera ialah Sarjan Ketiga (3SG) Ramakrishnan Karthigayan, yang kini berada di Unit Penjagaan Rapi SGH.
Menteri Pertahanan, Encik Teo Chee Hean, melahirkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang LCP Chow.
Mindef dan SAF akan terus membantu keluarga yang terjejas, ujar kenyataan itu. |
|
|
|
|
|
|
Gadis_Venus This user has been deleted
|
DR YAACOB KE ARAB SAUDI
MENTERI Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, berangkat ke Arab Saudi hari ini untuk menghadiri pertemuan haji tahunan peringkat menteri.
Semasa lawatan itu, beliau dijadual bertemu Menteri Haji Arab Saudi, Dr Fouad Abdulsalam Al Farsy; Menteri Dalam Negeri Arab Saudi, Putera Nayef bin Abdul Aziz Al Saud; dan Menteri Air dan Elektrik, Encik Abdullah Al Husseyen.
Beliau akan juga berucap di Seminar Singapura anjuran Muis bagi pelajar Singapura.
Dr Yaacob ditemani Presiden Muis, Haji Mohd Alami Musa. |
|
|
|
|
|
|
Gadis_Venus This user has been deleted
|
570 kes dilapor setakat ini
Oleh
Soraya Salim
LANGKAH-LANGKAH mencegah penularan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) semakin diperketatkan di pusat jagaan kanak-kanak di sini.
Selain menjalankan pemeriksaan suhu badan ke atas kanak-kanak sepanjang hari, guru-guru juga akan memeriksa tangan, kaki dan mulut mereka untuk mencari tanda-tanda ruam atau lepuhan.
Para pegawai kesihatan pula telah dikerah untuk menjalankan pemeriksaan kerap di pusat-pusat tersebut untuk memastikan kesemua prosedur kesihatan dijalankan dengan rapi.
Demikian menurut Menteri Negara (Pembangunan Masyarakat, Belia dan Sukan), Cik Yu-Foo Yee Shoon, ketika memberi laporan terkini mengenai keadaan HFMD di sini semalam.
Menurutnya, terdapat 570 kes HFMD sehingga Jumaat lalu.
'Berbanding tahun lalu, ia masih dapat dikawal. Kali ini penyakit ini tidak begitu serius, justeru tiada kanak-kanak yang terjejas teruk dan kebanyakan mereka telah pulih.
'Namun, kita tidak harus menganggap ringan perkara ini,' katanya ketika ditemui pemberita setelah lawatannya ke pusat jagaan kanak-kanak NTUC Jurong.
Oleh itu, kementeriannya akan mengagihkan risalah-risalah mengenai HFMD kepada para ibu bapa untuk mendidik mereka bagaimana mencegah penularan penyakit tersebut.
HFMD ialah penyakit yang disebabkan virus usus, selalunya virus Coxsackie atau Enterovirus 71.
Mereka yang dijangkiti HFMD menunjukkan tanda-tanda seperti demam, sakit tekak, ruam di tapak tangan dan kaki dan ulser mulut.
Orang dewasa dan kanak boleh dijangkiti HFMD, namun kanak-kanak, khususnya yang berusia lima tahun ke bawah, paling mudah dijangkiti.
Mengulas lanjut tentang langkah-langkah kawalan yang telah diambil sejauh ini, Cik Yu-Foo berkata:
'Kami memastikan (pusat-pusat) mempunyai risalah, bahan pendidikan dan video untuk mengajar kanak-kanak bagaimana mencuci tangan mereka dengan cara yang betul, bagaimana mempraktikkan kebersihan di rumah dan di samping itu, menasihatkan ibu bapa tentang langkah berjaga-jaga.'
Pada Jumaat depan, MCYS akan menganjurkan seminar kesihatan yang memberi fokus kepada HFMD. |
|
|
|
|
|
|
Gadis_Venus This user has been deleted
|
TINJAUAN: PELAJAR POLY DAN UNIVERSITI CENDERUNG BERKAHWIN, INGIN ANAK
SEJUMLAH 96 peratus penuntut universiti dan politeknik berhasrat mendirikan rumah tangga pada masa depan.
Dan 65 peratus berpendapat perkahwinan mereka tidak lengkap jika mereka tidak mempunyai anak.
Demikian menurut tinjauan Unit Pembangunan Sosial (SDU) yang didedahkan Menteri Negara (Pembangunan Masyarakat, Belia dan Sukan), Cik Yu-Foo Yee Shoon, semalam.
Tinjauan tahun lalu itu melibatkan 2,041 pelajar berusia antara 17 dengan 25 tahun - 870 mahasiswa dan 1,171 pelajar politeknik.
Ia bertujuan memahami tanggapan pelajar terhadap interaksi sosial dan perkahwinan.
Lebih 80 peratus orang bujang yang ditinjau juga menyuarakan hasrat untuk berkahwin.
Namun, 74 peratus daripada mereka lebih mengutamakan kejayaan dalam kerjaya atau pelajaran daripada mendirikan rumah tangga.
Diminta komennya tentang dapatan tinjauan itu, Cik Yu-Foo berkata:
'Jika berdasarkan respons daripada para mahasiswa dan orang bujang di Singapura, kita masih ada harapan.
'Namun hari ini, ramai menganggap kese imbangan antara kerjaya dengan keluarga amat penting. Orang muda, terutama wanita, ingin memenuhi cita-cita mereka dan berdikari dari segi kewangan dan tidak sekadar menjadi ibu sahaja.'
Justeru, usaha lebih harus dilakukan untuk memastikan para majikan berusaha menjadikan tempat kerja lebih fleksibel dan mesra keluarga, katanya lagi.
Di samping itu, prasarana dan khidmat bantuan untuk menjaga warga tua dan kanak-kanak juga penting. |
|
|
|
|
|
|
Gadis_Venus This user has been deleted
|
PERLUMBAAN TEROKA ALAM DI TAMAN HAIWAN
SERAMAI 30 peserta program Youth In Action dan Max-Out berpeluang meneroka Taman Haiwan Singapura semalam dalam satu perlumbaan ala The Amazing Race.
Berusia antara 10 dengan 12 tahun, pengetahuan kanak-kanak itu mengenai alam semula jadi, khususnya tentang tumbuh-tumbuhan dan haiwan, diuji dalam perlumbaan setengah hari itu.
Perlumbaan yang dinamakan Medagascar Explorace itu dianjurkan para relawan dan mentor dua program tersebut dan bertujuan mengembangkan pengetahuan dan minat peserta dalam haiwan dan tumbuh-tumbuhan.
Untuk menggalak keharmonian kaum, turut serta dalam acara itu ialah kanak-kanak bukan Melayu/Islam.
Program Youth In Action adalah antara inisiatif Rangkaian Pembangunan Belia Forum Pemimpin yang disasarkan kepada pelajar darjah empat hingga menengah dua yang berisiko menghadapi keciciran sekolah.
Max-Out pula merupakan satu inisiatif bagi membantu belia yang tidak bersekolah mendapatkan pendidikan. |
|
|
|
|
|
|
Gadis_Venus This user has been deleted
|
MAYAT DITEMUI Oleh
Khalid Khamis
MAYAT Allahyarham Khoka Mohammed Burhan yang hilang di Kolam Air Lower Seletar kelmarin ditemui pagi semalam.
Mayatnya ditemui sekitar 11.15 pagi - hampir 24 jam selepas dilaporkan hilang ketika berkayak bersama isterinya, Cik Noorliza Yahya, 27 tahun, kelmarin.
Allahyarham Khoka, 32 tahun, ditemui terapung-apung 50 meter dari tempat kayaknya terbalik, dekat tebing Orchid Country Club.
Seorang pengendali bot penyelamat Pasukan Pertahanan Awam Si ngapura (SCDF) menemui bahagian bahu Allahyarham di permukaan air, kira-kira 100 meter dari tebing kolam itu.
Operasi mencari dan menyelamat SCDF bermula sekitar 12.30 tengah hari kelmarin.
Namun, usaha itu dihentikan sekitar 8.30 malam sebelum diteruskan lagi pada 7 pagi semalam.
Pegawai berkuasa Balai Bomba Yishun, Kapten Raihan Rafiek, berkata bahawa operasi menyelamat terhambat kerana air keruh dan tumbuhan bawah air yang tebal hingga menjejas penglihatan.
Allahyarham ditemui di perairan sedalam sekitar 2.5 meter dengan jarak terdalam kolam itu adalah 5 meter.
Operasi menyelamat melibatkan 20 pegawai Pasukan Menyelamat dan Bantuan Bencana (Dart).
Allahyarham Khoka, warga India bertaraf penduduk tetap (PR), dikatakan mendayung ka yak melepasi kawasan pusat Water Venture yang tidak mempunyai tanda-tanda sempadan yang jelas.
Tragedi tersebut berlaku hanya dua minggu selepas kolam itu dibuka kepada orang ramai bagi kegiatan riadah air, seperti berkayak.
Allahyarham Khoka dan Cik Noorliza yang mempunyai adik-beradik kembar menetap di flat lima bilik ibu bapa Cik Noorliza di Yishun Ring Road.
Ketika dikunjungi wartawan semalam, anggota keluarga terdekat enggan diinterviu manakala ibu Cik Noorliza, yang enggan memberi namanya, merayu supaya mereka tidak diganggu.
'Apa dah berlaku, tak boleh diubah lagi. Mak cik cuma mahu anak menantu mak cik selamat dikebumikan,' katanya dengan tenang.
Seorang mak cik yang dikenali sebagai Cik Ha limah pula memberitahu wartawan bahawa sekumpulan pekerja Bangladesh telah menyelamatkan Cik Noorliza ketika beliau berada di kolam air itu.
'Dia kata selepas suaminya menolaknya ke kayak, dia nampak jaket keselamatannya terus terbuka dan beberapa saat kemudian dia tenggelam,' kata Cik Halimah.
Cik Noorliza dan Encik Khoka telah berkahwin sekitar setahun lalu.
Anggota Parlimen GRC Ang Mo Kio, Cik Lee Bee Wah, yang prihatin dengan nasib mangsa kini membantu menguruskan visa abangnya supaya beliau dapat datang ke Singapura.
|
|
|
|
|
|
|
Gadis_Venus This user has been deleted
|
SATU LAGI MANGSA DI TEMPAT SAMA
SEORANG lagi mangsa ditemui di Kolam Air Lower Seletar.
Mangsa kedua itu seorang wanita India berusia 60-an tahun, yang ditemui terapung-apung di jeti Yishun - sekitar 200 meter dari tempat mayat Allahyarham Khoka Mohammed Burhan ditemui.
Mayat wanita itu ditemui pengunjung di sana sekitar 1.45 petang dan disahkan meninggal dunia setengah jam kemudian.
Saksi di tempat kejadian berkata mangsa berkulit gelap dengan rambut sepanjang bahu.
Salah seorang saksi itu, Encik Nurzatiman Astha, 23 tahun, berkata beliau sedang berjalan ke jeti apabila ternampak tangan mangsa.
Polis menyifatkan kes itu sebagai kematian luar biasa.
Penemuan mangsa kedua itu berlaku selang 24 jam selepas Allahyarham Khoka dilaporkan hilang selepas kayak yang dinaiki bersama isterinya, Cik Noorliza Yahya, terbalik di kolam air tersebut kelmarin. |
|
|
|
|
|
|
Gadis_Venus This user has been deleted
|
Kan Seng: F1, Apec 2009 dan IR antara cabaran
Oleh
Chairul Fahmy Hussaini
AGENSI-AGENSI Home Team perlu membuat persiapan dan perancangan keselamatan jauh lebih awal bagi menghadapi projek-projek gah yang bakal diadakan di negara ini.
Menyatakan demikian semalam, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik Wong Kan Seng, berkata projek-projek baru itu mengemukakan cabaran baru bagi pasukan Home Team.
Projek-projek tersebut termasuk perlumbaan kereta Formula Satu, Mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) 2009 dan pembinaan resort bersepadu (IR) di Marina Bay dan Sentosa.
Berucap di majlis kenaikan pangkat pegawai kanan Home Team di Pusat Persidangan dan Pameran Antarabangsa Suntec (Sicec) malam tadi, Encik Wong berkata:
'Kita perlu membuat persiapan awal. Dengan rekod pencapaian Home Team yang terbukti dalam menangani keadaan baru dan dinamik yang timbul, kesungguhan para pegawai kita dan kepimpinan yang anda berikan, saya yakin anda dapat menghadapinya.'
Beliau tidak menafikan tahun ini agensi Home Team sibuk menjayakan acara antarabangsa, seperti Mesyuarat Dana Kewangan Antara bangsa (IMF)-Bank Dunia dan persidangan Global Security Asia 2007.
Dalam ucapannya, Encik Wong juga mengumumkan tentang pengenalan konsep baru Home Team Plus.
Di bawah skim itu, pegawai Home Team dijadikan pegawai serba boleh dan berkemahiran untuk menjalankan tugas me rentasi pelbagai jawatan.
'Melihat kepada sekitaran keselamatan baru dengan ancaman pengganasan yang masih berleluasa, pelaksanaan Home Team Plus ini akan membolehkan pegawai kita memberi respons secara kolektif, pantas dan berkesan apabila menghadapi krisis dan ancaman yang tidak tentu bentuk nya,' katanya.
Lebih 800 pegawai kanan Home Team menikmati kenaikan pangkat mulai 1 Jun ini.
Menurut Encik Wong, jabatan-jabatan di bawah Home Team memberi penekanan kepada latihan dan mempunyai sistem yang berkesan.
Misalnya, Jabatan Penjara memperkenalkan kaedah pembelajaran elektronik (e-learning) bagi pegawainya yang merangkumi topik seperti perhubungan, pengurusan konflik dan kemahiran teknologi maklumat.
Akademi Home Team pula menyediakan pelbagai peluang untuk pegawai dan keseluruhan kakitangan Home Team menjalani latihan dan belajar daripada satu sama lain.
Kata Encik Wong, Home Team tidak boleh bergerak secara sendirian.
Keberkesanannya dapat ditingkatkan menerusi rangkaian sokongan yang saling berhubung dan bekerjasama yang diadakan dengan pelbagai agensi di dalam mahupun di luar negara. |
|
|
|
|
|
|
Gadis_Venus This user has been deleted
|
Restoran misalnya jual Milo ais lebih mahal dan tidak letak tanda harga
KUALA TERENGGANU: Peniaga yang mahu mengambil kesempatan mengadakan 'pesta naik harga' ekoran berita kenaikan gaji kakitangan kerajaan bermula Julai ini perlu berfikir dua kali selepas ini.
Kelmarin, Restoran Nasi Kandar Tanjung di Jalan Hiliran di sini yang menjual Milo ais dengan harga RM1.80 ($0.81) segelas - melebihi harga biasa - menerima 'padah' apabila dikenakan kompaun berjumlah RM22,500 ($10,130).
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri, Encik Abdul Ghani Harun, berkata kompaun itu ialah bagi kesalahan tidak meletakkan tanda harga dan kerana mempamerkan harga mengelirukan.
'Ini merupakan kali pertama KPDNHEP negeri mengenakan hukuman maksimum terhadap peniaga yang didapati tidak meletakkan tanda harga pada barangan yang dijual serta menaikkan harga barang sesuka hati,' katanya.
Sabtu lalu, restoran yang baru beroperasi beberapa bulan lalu itu diserbu oleh sepasukan pegawai penguat kuasa kementerian tersebut dan merampas pelbagai barangan makanan bernilai RM750 selepas peniaganya didapati menaikkan harga makanan dan minuman keterlaluan, selain mempamerkan harga mengelirukan.
Encik Abdul Ghani berkata pemilik restoran berkenaan diberi tempoh 14 hari untuk menjelaskan kompaun tersebut sebelum dihadapkan ke mahkamah.
Sebelum ini, restoran itu dilaporkan menjual Milo ais pada harga RM1.80 segelas, lebih tinggi antara 20 dengan 30 sen berbanding harga biasa.
Encik Abdul Ghani menjelaskan tujuan pihaknya mengenakan kompaun maksimum itu adalah untuk mengingatkan para peniaga agar tidak menaikkan harga sesuka hati.
Menurutnya, sejak kenaikan gaji kakitangan awam diumumkan pada 21 Mei lalu, pihaknya mengerahkan lebih 90 anggota menjalankan pemantauan harga di seluruh negeri. - Utusan Malaysia. |
|
|
|
|
|
|
Gadis_Venus This user has been deleted
|
KEPINGAN SILING DI HOSPITAL RUNTUH DUA KALI
SUNGAI PETANI: Kira-kira 20 keping siling di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini runtuh dalam dua kejadian berasingan kelmarin dan Sabtu lalu.
Kejadian pertama berlaku pada 1.45 petang Sabtu lalu apabila 12 keping siling setiap satu bersaiz 0.6 meter lebar dan 1.2 meter panjang di Wad Pembedahan Lelaki runtuh secara tiba-tiba.
Bagaimanapun, siling yang runtuh itu tidak menimpa pesakit di wad berkenaan, yang dijadikan lokasi transit menempatkan mereka yang menunggu untuk dibedah atau dipindahkan selepas pembedahan.
Dalam kejadian kedua sekitar 12 tengah hari kelmarin, lapan keping siling bersaiz sama di bahagian pantri Unit Jagaan Rapi Bayi (Nicu) hospital berkenaan tiba-tiba runtuh tetapi tidak menyebabkan sebarang kecederaan.
Difahamkan, kepingan siling itu runtuh apabila struktur kerangka aluminium penyokong tempat siling itu disusun dipercayai bengkok.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, Dr Hasnah Ismail, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan pihak kontraktor yang membina HSAH sudah mula memperbaiki kerosakan itu. - BHM. |
|
|
|
|
|
|
Gadis_Venus This user has been deleted
|
TAK TAHU TULIS 'J'? KENA TAMPAR...
ALOR SETAR: Hanya kerana tidak tahu menulis huruf 'J', seorang ibu mendakwa anak lelakinya berusia enam tahun ditampar seorang guru wanita sehingga cedera telinga kanannya di Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Kampung Keriang Pulau di sini minggu lalu.
Mohd Anas Md Rozi turut mengadu pening dan sakit kepala selama dua hari selepas kejadian itu.
Ibunya, Cik Rusnawati Saad, 41 tahun, mendakwa beliau hanya menyedari kejadian itu selepas melihat kesan lebam di telinga Mohd Anas sekitar 11.45 pagi.
'Saya faham tindakan guru memukul anak murid dengan tujuan mendidik. Bagaimanapun, perbuatan guru itu melampau kerana anak saya baru berusia enam tahun dan kesalahannya kecil saja,' katanya.
Cik Rusnawati kemudian membawa Mohd Anas ke klinik, dan doktor mengesahkan terdapat kesan pukulan yang kuat pada telinga kanan kanak-kanak itu.
Beliau telah membuat laporan di Balai Polis Alor Setar. Difahamkan, guru wanita terbabit pernah melakukan perkara yang sama kepada seorang murid di tempat sama pada 2001, menyebabkannya ditukarkan ke tempat lain.
Bagaimanapun, guru wanita itu kembali ditugaskan di tabika kampung berkenaan mulai tahun ini.
Pengerusi Tabika Kampung Keriang Pulau, Encik Abdul Jalil Abdul Manaf, menafikan kejadian itu.
'Ia hanya salah faham,' katanya. - Harian Metro. |
|
|
|
|
|
|
Gadis_Venus This user has been deleted
|
Blog dipantau bagi ajaran sesat
PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang memantau semua laman web dan blog yang membincangkan soal akidah dan keagamaan untuk memastikan ia tidak menimbulkan kekeliruan di kalangan umat Islam.
Ketua Pengarahnya, Datuk Mustapa Abdul Rahman, berkata walaupun Jakim tiada kuasa perundangan untuk mengambil tindakan terhadap laman web atau blog, pihaknya sedia bekerjasama dengan agensi lain.
Sebelum ini, akhbar melaporkan mengenai blog yang memutarbelitkan ajaran Islam dan memiliki banyak persamaan dengan ajaran Kahar Ahmad atau 'Rasul Melayu' yang difatwakan sesat. - BHM. |
|
|
|
|
|
|
Gadis_Venus This user has been deleted
|
Lagi 30 peguam akan didedah
KUALA LUMPUR: Polis akan mendedahkan identiti 30 lagi peguam yang disyaki terbabit dalam pelbagai kes berkaitan pecah amanah dan salah guna kuasa membabitkan wang pelanggan berjumlah jutaan ringgit minggu ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Ramli Yusof, berkata pihaknya sudah mengenal pasti identiti peguam berkenaan dan kini menyiapkan laporan penuh.
Mereka ialah kumpulan kedua daripada 100 yang disenaraikan sebagai dikehendaki polis untuk membantu siasatan tersebut. - BHM. |
|
|
|
|
|
|
Gadis_Venus This user has been deleted
|
Penipu mengaku diri 'anak raja'
SHAH ALAM: Dua wanita yang mengaku 'anak raja' dengan dibantu seorang anggota polis berpangkat sarjan didakwa memperdaya sepasang peniaga pakaian untuk menyediakan pakaian istiadat kebesaran diraja berwarna kuning dan pelbagai kelengkapan lain, menyebabkan mangsa kerugian lebih RM500,000 ($225,341).
'Anak raja' sebuah negeri di utara Semenanjung itu sebenarnya hanya tinggal di rumah papan di Kapar, Klang. - Harian Metro. |
|
|
|
|
|
|
Gadis_Venus This user has been deleted
|
Rundingan peringkat tinggi antara duta besar buat julung-julung kali dalam 27 tahun
BAGHDAD: Para duta besar Iran dan Amerika Syarikat semalam bertemu di rumah Perdana Menteri Iraq, Encik Nouri Al-Maliki, untuk mengadakan rundingan dua hala peringkat tinggi buat pertama kali dalam masa 27 tahun.
Duta besar Amerika ke Iraq, Encik Ryan Crocker, bertemu duta besar Iran, Encik Hassan Kazemi, di Baghdad buat pertama kali sejak kedua-dua negara memutuskan hubungan diplomatik pada 1980, menyusuli penahanan tebusan di kedutaan Amerika di Teheran selepas berlaku revolusi Islam di negara itu.
'Saya berharap mesyuarat ini akan menjadi permulaan satu bab yang baik dan satu langkah penting bagi rantau ini,' kata Encik Al-Maliki sebelum sidang bermula.
Rundingan semalam bertujuan membincangkan bagaimana Washington dan Teheran - secara bersama atau berasingan - dapat mengekang keganasan di Iraq.
Pendirian kedua-dua pihak juga jelas. Washington mahu Teheran berhenti daripada membekalkan senjata, biaya dan latihan kepada kumpulan militan, terutamanya kaum Syiah, yang memerangi askar Amerika dan Iraq.
Teheran mahu askar Amerika diundurkan dari Iraq.
'Saya beritahu (wakil) Iran kebimbangan kami mengenai tindak tanduk mereka di Iraq, sokongan mereka kepada militia yang memerangi askar Iraq dan askar Bersekutu,' kata Encik Crocker.
Menurut beliau, banyak bom dan peluru yang digunakan kumpulan militan itu datang dari Iran. Kegiatan itu mesti dihentikan.
Perwakilan Iran, katanya, tidak menjawab secara langsung mengenai perkara itu, tetapi berkata Iran menyokong Iraq dan pemerintah pimpinan Encik Maliki. - AP, AFP, Reuters. |
|
|
|
|
|
|
Gadis_Venus This user has been deleted
|
4 KORBAN BOM DI PASAR SONGKHLA
BANGKOK: Sebutir bom meletup di sebuah pasar yang sibuk di wilayah Songkhla, selatan Thailand, menyebabkan empat orang terkorban dan 25 lagi cedera, menurut polis.
Seorang pegawai polis, Sarjan Mejar Samroeng Chayapan, memberitahu AFP bahawa letupan berlaku di sebuah pasar di daerah Saba Yoi dalam wilayah Songkhla sekitar 3.40 petang semalam.
Seorang pegawai lain berkata bom itu besar kemungkinan dipasang dalam sebuah kereta atau pada motosikal.
Serangan itu berlaku sewaktu polis menyiasat tujuh letupan bom kecil yang melanda bandar Hat Yai, menyebabkan 13 orang cedera malam kelmarin.
Ketua junta tentera Thailand, Jeneral Sonthi Boonyaratglin, enggan mengatakan sama ada ia angkara kumpulan pemisah.
Namun, saiz bom, yang kesemuanya sebesar minuman tin, cuma bertujuan mencetus keadaan kacau-bilau dan bukan menimpakan kerosakan besar.
'Bom berkenaan tidak bertujuan memusnah atau sabotaj, tetapi cuma untuk menimbulkan kekacauan,' kata Jeneral Sonthi kepada stesen televisyen TITV.
Ketua polis wilayah, Leftenan-Jeneral Jetthanakarn Napheethapat, semalam berkata bom yang digunakan berbeza daripada yang digunakan kumpulan militan di tiga wilayah selatan Thailand. - Reuters, AFP. |
|
|
|
|
|
|
Gadis_Venus This user has been deleted
|
Saman malu dek kek senget
MANILA: Tuntutan ganti rugi sebanyak 50,000 peso ($1,608) oleh sepasang suami isteri ke atas sebuah kedai kek di Manila kerana kek perkahwinan 'yang murah, cantik tetapi tidak sedap' berakhir Selasa lalu.
Encik Edgardo Abenina dan isterinya, Cik Stephanie, mengemukakan saman malu itu selepas kek berkrim sebanyak lima tingkat tersebut dikatakan senget semasa majlis perkahwinan mereka pada 1997 di sebuah hotel di Manila.
Mahkamah rayuan menolak tuntutan berlarutan selama 10 tahun itu atas alasan gambar perkahwinan menunjukkan kek tersebut dalam keadaan baik, dan pasangan pengantin tersenyum semasa memotongnya.
Namun, kedai kek itu diperintah menggantikan harga kek sebanyak 4,775 peso. - AFP. |
|
|
|
|
|
|
Gadis_Venus This user has been deleted
|
Rekod baru lahirkan anak?
LONDON: Seorang wanita Britain mendakwa memecah rekod dunia dengan bersalin paling cepat iaitu kurang dua minit!
Akhbar The Sun melaporkan, Cik Palak Vyas melahirkan bayi perempuan dalam tempoh kurang 120 saat di Hospital West Middlesex, di Isleworth.
Kata suaminya, Encik Shashi Vyas, 33 tahun:
'Sebaik saja baring, beliau mula meneran, lantas terus bersalin.'
Pasangan itu sudah menghubungi Guinness Book Of Records untuk memaklumkan kisah mereka. - Agensi berita. |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|