|
Dalglish puji aksi Liverpool
![](http://www.utusan.com.my/pix/2011/0829/Utusan_Malaysia/Sukan_Luar_Negara/sl_04.1.jpg)
Pemain Liverpool, Martin Skrtel (kiri) menanduk bola ke gawang Bolton dalam saingan Liga Perdana Inggeris di Anfield, semalam. Liverpool menang 3-1. - REUTERS
--------------------------------------------------------------------------------
LIVERPOOL - Kenny Dalglish berkata, Liverpool mempamerkan persembahan berpasukan yang hebat ketika membenam Bolton 3-1 semalam, untuk menerajui takhta Liga Perdana Inggeris buat sementara.
Dua pendatang baru kelab, Jordan Henderson dan Charlie Adam menjaringkan gol kompetitif pertama bersama Liverpool manakala tonggak pertahanan, Martin Skrtel menanduk gol cantik untuk turut menyumbang jaringan dalam perlawanan di Anfield.
Selepas mempamerkan aksi menghiburkan di depan penyokong sendiri, kegembiraan peminat Reds tersentak apabila kesilapan benteng pertahanan yang membenarkan Bolton menyumbat gol sagu hati beberapa saat sebelum tamat permainan menerusi Ivan Klasnic.
Keputusan terbaru ini menyaksikan Liverpool kini mengekalkan rekod tanpa kalah dalam tiga perlawanan pembukaan musim baru, persembahan yang mendapat pujian pengurus pasukan, Dalglish.
"Kami sangat gembira. Saya rasa kami bermain dengan amat baik, menghantar bola kemas dan bergerak sempurna, kami memang berhak menang. Sesiapa saja yang menonton perlawanan ini pasti akan berterima kasih kepada permainan menghiburkan yang ditunjukkan pemain-pemain kami.
"Ia memang sesuatu yang indah untuk menjaringkan gol pertama anda di Anfield, malah lebih bagus kalau jaringan itu menghadiahkan kemenangan. Itu yang dirasai Jordan dan Charlie apabila berjaya menyumbat gol sulung masing-masing, mereka sangat puas kerana membantu pasukan menang.
"Stewart Downing juga bermain dengan bijak, sayang sekali dia tidak menjaringkan gol. Luis (Suarez) dinamakan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan oleh televisyen tetapi dia juga tidak menjaringkan gol, namun mempamer persembahan menakjubkan,'' kata Dalglish.
Menurut Dalglish, perkara paling penting buat Liverpool adalah melihat bukan hanya seorang atau dua pemain menonjol tetapi ramai pemain yang menjadi tajuk utama berita kerana itu menunjukkan pasukan memiliki usaha berpasukan yang hebat.
Jaringan Henderson dan Adam membuktikan betapa pantasnya pemain-pemain baru Liverpool berjaya menyesuaikan diri dengan kehidupan di Merseyside.
Bagaimanapun Dalglish percaya, kedua-dua pemain itu mampu mempamerkan peningkatan dan memainkan peranan lebih besar kepada persembahan keseluruhan pasukan.
Henderson dan Adam hanya menyertai Reds pada musim panas lalu bersama dua lagi pembelian baru, Jose Enrique dan Stewart Downing. Keempat-empat pemain tersebut berada dalam kesebelasan pasukan, semalam.
Meskipun tidak menjaringkan gol, Suarez mempamerkan aksi cemerlang sebelum dikeluarkan pada minit ke-76, di mana dia mendapat tepukan gemuruh daripada penonton. Pemain antarabangsa Uruguay itu telah menunjukkan prestasi hebat sepanjang musim 2011-2012.
"Saya tidak tahu bagaimana mereka (pertahanan lawan) hendak mengendalikan Luis tetapi ia nampaknya memerlukan usaha ramai pemain untuk menyekatnya hari ini. Saya percaya, suatu hari nanti Luis akan menjadi pemain yang lebih baik daripada pemain terbaik yang ada ketika ini,'' kata Dalglish.
Suarez bagaimanapun digantikan dengan Andy Carroll dan Dalglish diajukan soalan oleh wartawan apakah rasional kepada tindakannya meletakkan penyerang berjersi No. 9 itu di bangku simpanan.
"Seperti yang saya katakan sebelum ini, kami memiliki skuad yang sangat kuat, skuad lebih cemerlang daripada pasukan. Tanpa skuad yang kuat, anda tidak akan dapat apa-apa, ia mudah saja,'' katanya. - Agensi |
|