Mohon maaf jika muak dengar saya nyanyi lagu Masing Masing - Bella
Sehingga kini, Bella masih belajar memperbaiki vokalnya, malah turut belajar dengan beberapa guru vokal termasuk ayahnya. - NSTP/Eizairi Shamsudin
KUALA LUMPUR: Menyedari ada kekurangan dalam penyampaian nyanyiannya, penyanyi dan pelakon, Bella Astillah mengakui masih memiliki ruang memperbaiki kualiti vokalnya. Bella atau nama sebenarnya, Dayang Ara Nabella Awang Astillah berkata, sehingga kini masih belajar memperbaiki vokalnya, malah turut belajar dengan beberapa guru vokal termasuk ayahnya. "Saya sudah mula menghadiri kelas vokal dan bukan dengan seorang guru vokal sahaja, malah dua guru. Di rumah juga saya belajar dengan ayah, jadi saya takkan berhenti belajar. "Komen mengenai nyanyian, itulah sebenarnya menguatkan semangat lagi untuk berusaha. Saya percaya perkara itu yang buat saya bersemangat untuk melakukan lebih baik.
"Mana lagu yang kurang sesuai dengan suara, saya takkan buat. Saya juga manusia biasa dan ingin mencuba, tapi atas nasihat keluarga dan guru, saya tahu arah tuju, lebih berhati-hati dan cuba memperbaiki kekurangan. "Saya faham kekurangan saya dan minta maaf. Sebab saya tahu kadang-kadang saya penat, tak cukup latihan dan sebagainya. Saya akan buat lebih baik selepas ini, insya-Allah," katanya kepada BH Online.
Dalam pada itu, Bella juga mengambil kesempatan untuk memohon maaf apabila ada segelintir pihak yang kurang gemar menyanyikan lagu yang dipopularkan oleh Ernie Zakri, Masing Masing. "Saya ambil kesempatan ini, saya mohon maaf sebab ada orang kata sudah muak dan tak nak dengar saya menyanyikan lagu Masing Masing. Saya minta maaf, tapi sebenarnya bila saya diundang, penganjur sendiri yang minta lagu ini. "Jadi, saya tak boleh nak tolak. Malah, saya sendiri sudah bercakap dengan Ernie dan tiada masalah. Saya pun sedih bila orang cakap penat nak dengar, tapi kalau anda sedih saya lagi sedih. "Saya tahu ia bukan lagu saya, tapi bila orang minta, saya kena nyanyi tambah lagi, orang yang minta adalah penganjur yang bayar saya menyanyi. Bayaran ini adalah rezeki untuk anak-anak, takkanlah saya nak tolak. "Jadi, saya minta maaf, tapi sekarang saya sudah ada lagu saya sendiri dan hari-hari boleh menyanyikan lagu sendiri," katanya. Bella baru sahaja tampil dengan single Tapi Bukan Denganmu ciptaan dan terbitan komposer, Sharon Paul. Single Tapi Bukan Denganmu adalah karya yang dekat di hatinya kerana liriknya ditulis sendiri.
https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2024/10/1314498/mohon-maaf-jika-muak-dengar-saya-nyanyi-lagu-masing-masing-bella
|