PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS
Taqarub Kepada Allah
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ اللَّهُ تَعَالَى أَنَا عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِي بِي وَأَنَا مَعَهُ إِذَا ذَكَرَنِي فَإِنْ ذَكَرَنِي فِي نَفْسِهِ ذَكَرْتُهُ فِي نَفْسِي وَإِنْ ذَكَرَنِي فِي مَلَإٍ ذَكَرْتُهُ فِي مَلَإٍ خَيْرٍ مِنْهُمْ وَإِنْ تَقَرَّبَ إِلَيَّ بِشِبْرٍ تَقَرَّبْتُ إِلَيْهِ ذِرَاعًا وَإِنْ تَقَرَّبَ إِلَيَّ ذِرَاعًا تَقَرَّبْتُ إِلَيْهِ بَاعًا وَإِنْ أَتَانِي يَمْشِي أَتَيْتُهُ هَرْوَلَةً
Daripada Abu Hurairah RA berkata, "Nabi SAW bersabda bahawa Allah telah berfirman: "Aku bersikap mengikut sangkaan hamba-Ku terhadap Ku. Aku bersama-sama mereka apabila mereka mengingati Ku. Apabila mereka mengingati Ku dalam dirinya, maka Aku mengingatinya dalam diri-Ku. Apabila mereka mengingati-Ku dalam perkumpulan mereka, maka Aku mengingatinya dalam perkumpulan yang lebih baik daripada mereka. Demi sekiranya mereka mendekatkan diri kepada-Ku sejengkal, maka Aku mendekatkan diri kepadanya sehasta, dan jika ia mendekatkan diri kepada-Ku sehasta, Aku mendekatkan diri kepadanya sedepa. Sekiranya mereka mendatangi-Ku dalam keadaan berjalan, maka Aku akan mendatanginya dalam keadaan berlari (segera)." (HR Bukhari No: 6856) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Allah bersikap seperti sikap hamba terhadapNya. Jika seseorang mengingati Allah dalam dirinya, berzikir dalam hatinya, dan menganggap Allah sentiasa mengingatinya sama ada ketika dia bersendiri atau bersama orang lain, nescaya Allah akan sentiasa mengingati hambaNya.
2. Seseorang yang memuji Allah dengan bersyukur, sentiasa berdoa, bertaubat dan menjaga keimanan di khalayak ramai, pasti Allah akan mengingati dan memujinya di khalayak yang lebih baik dan utama.
3. Seseorang yang mendekatkan diri kepada Allah melalui ibadat dan amal solehnya dengan jarak sejengkal atau sehasta, Allah akan mendekatinya lebih dekat daripada itu. Jika seorang hamba itu mendekati Allah dengan berjalan, nescaya Allah akan mendatanginya lebih cepat daripada itu.
4. Setiap amalan seseorang yang baik bertujuan mendekatkan diri kepada Allah, maka Allah akan menggandakan balasan baik kepadanya. Tambah lagi jika dilakukan pada 10 pertama Zulhijjah ini.
فَٱذۡكُرُونِيٓ أَذۡكُرۡكُمۡ وَٱشۡكُرُواْ لِي وَلَا تَكۡفُرُونِ ١٥٢
“Kerana itu, ingatlah kamu kepada-Ku nescaya Aku ingat (pula) kepadamu, dan bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu mengingkari (nikmat) –Ku” (Al-Baqarah : 152)
Pastikan kita sentiasa taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah dengan membanyakkan zikrullah dan ibadat kepadaNya khususnya pada 10 pertama Zulhijjah ini.
09hb Jun 2024 02hb Zulhijjah 1445H
|