Pasukan undang-undang GISBH mohon siasatan secara aman, tidak guna SOSMA
Peguam, Datuk Rosli Kamaruddin (kanan) serta Najib Hisham Isa pada sidang media wakil Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) di Shah Alam. - NSTP / FAIZ ANUAR
SHAH ALAM: Pasukan undang-undang yang mewakili GISB Holdings (GISBH) merayu kerajaan supaya tidak menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) dalam siasatan membabitkan ahlinya kerana mereka bukan organisasi pengganas. Peguam mewakili GISBH, Rosli Kamaruddin, berkata tiada keperluan untuk penahanan berulang kali terhadap pengurusan tertinggi serta ahli kumpulan itu seperti yang berlaku ketika ini. "Tahanan berulang kali ini ada yang sampai mencecah lebih 20 hari dan kemudian ada yang dikenakan SOSMA. "Justeru, GIBSH merayu bahawa tidak perlulah undang-undang ini digunakan terhadap mereka kerana mereka bukanlah kumpulan pengganas, sebaliknya tangani kes ini dengan aman.
"Jika siasatan itu berkaitan akidah, biarlah pihak berkuasa agama negeri menyiasat dan menentukan dan menguruskan akidah GISBH. Jika ada kes jenayah berlaku di mana-mana dalam komuniti mereka, siasat dan tuduhlah (di mahkamah)," katanya pada sidang media di sini, semalam. Beliau berkata, pihak GISBH memohon dibenar menjalankan semula perniagaan bagi meneruskan kesinambungan hidup, selain menegaskan tiada perniagaan haram dilakukan kumpulan itu. "Kami mendapati tiada pusat perjudian 'online', pusat-pusat ataupun rumah pelacuran yang dibuka oleh GISBH. Maka, lakukan siasatan pengikut penuh tertib undang-undang dan ihsan kerajaan. "Majoriti tahanan yang sudah dibebaskan memaklumkan hanya beberapa hari siasatan dijalankan dan ada yang ditahan sampai 20 hari, ini suatu yang tidak ihsan," katanya. Sebelum ini, kira-kira 415 individu ditahan bagi membantu siasatan berhubung isu GISBH termasuk eksploitasi terhadap kanak-kanak. Seramai 620 mangsa berusia dua bulan hingga 28 tahun diselamatkan. Sejumlah 553 orang remaja ditempatkan di 13 pusat perlindungan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) manakala 77 lagi sudah diserahkan kepada keluarga masing-masing.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/10/1310664/pasukan-undang-undang-gisbh-mohon-siasatan-secara-aman-tidak-guna
|