KKM terima Tecovirimat untuk cacar monyet Selasa lalu
Dr Dzulkefly (tengah) ketika lawatan beliau ke Pusat Kesiapsiagaan dan Kecemasan Kebangsaan untuk taklimat perkembangan MPox dan keadaan banjir yang melanda Kedah. - Foto ihsan Dzulkefly Ahmad
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan sudah menerima ubat antivirus Tecovirimat untuk cacar monyet atau Mpox Selasa lalu dengan pengagihannya akan ditumpukan kepada empat kumpulan berisiko tinggi. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata kerajaan juga meneruskan pengawasan rapi meskipun tiada jangkitan baharu Mpox dikesan di negara ini selepas 10 kes sejak 26 Julai lalu. "Antiviral MPox (Tecovirimat) diterima KKM pada 24 September lalu tetapi ia hanya akan diberikan kepada empat kumpulan berisiko tinggi termasuk mereka yang mempunyai penyakit teruk dan memiliki tahap sistem imun rendah. "Selain itu, perjanjian Vaksin MPox dimuktamadkan dan kita menunggu pelaksanaan dan penghantaran untuk kumpulan berisiko tinggi," katanya menerusi hantaran di platform X, hari ini.
Pada 1 September lalu, Dr Dzulkefly mengumumkan kerajaan akan menerima ubat antivirus Tecovirimat (TPOXX) dan Vaksin MVA-BN bagi virus MPox atau cacar monyet melalui 'COVID-19 ASEAN Response Fund' dalam masa terdekat.
Beliau berkata, Tecovirimat diguna dalam rawatan MPox khususnya kepada mereka yang mengalami jangkitan teruk atau mereka yang mempunyai imuniti lemah.
Katanya lagi, pemberian vaksin MVA-BN mpox hanya diberi berdasarkan pemeriksaan dan penilaian pakar perubatan.
Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan KKM tidak akan melakukan vaksinasi umum kepada orang ramai.
Dalam perkembangan berkaitan, pada 17 September lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan mengesahkan satu kes positif cacar monyet dalam varian Clade II (dua) dikesan menjadikan semua 10 kes bermula 26 Julai lalu hanya membabitkan Clade ll.
Virus Mpox Clade I dikategorikan sebagai mudah berjangkit dan mempunyai kadar kematian 10 peratus, manakala Clade II mempunyai kadar kematian yang lebih rendah.
Dalam pada itu, Dr Dzulkefly melalui satu muat naik berasingan turut berkongsi mengenai lawatan beliau ke Pusat Kesiapsiagaan dan Kecemasan Kebangsaan (CPRC Dashboard) untuk taklimat perkembangan MPox dan keadaan banjir melanda Kedah.
"Petugas kesihatan (HCWs) barisan hadapan sudah digerakkan ke fasiliti di kawasan terjejas. Protokol pencegahan penyakit diaktifkan dan tiada wabak," katanya.
https://www.bharian.com.my/berit ... -monyet-selasa-lalu
|