|
Aizuddin, Nurun bersaing dalam kelas
Mohamad Aizuddin dijulang rakan-rakan selepas mendapat keputusan di sekolahnya, SMK Agama Sheikh Haji Mohd. Said di Seremban, semalam.
SEREMBAN 12 Mac - Berteraskan faktor orang lelaki harus menjadi pemimpin, pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Mohamad Aizuddin Mohd. Yaakob, 18, sentiasa memastikan dia tidak 'ditewaskan' rakan pesaing daripada kalangan pelajar perempuan.
Dia yang memperoleh keputusan 13 1A dalam semua mata pelajaran yang diambil dan muncul antara pelajar cemerlang negeri ini berkata, dia menterjemahkan 'keegoan' itu pada usaha yang lebih gigih supaya ia menjadi sandaran untuk memperoleh keputusan cemerlang.
''Saya tidak mahu kalah dengan rakan perempuan dan sebab itulah saya terus gigih untuk memastikan prestasi tahunan terus kekal di tangga teratas," kata pelajar yang pernah memperoleh keputusan 13 1A dalam peperiksaan percubaan di sekolah.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Haji Mohd. Said di sini itu berkata, dia juga menggunakan pendekatan mengikut ajaran agama dengan melakukan segala perintah Tuhan.
''Hubungan dengan manusia pula, kita janganlah sakiti perasaan dan hati ibu, ayah, saudara, rakan dan sesiapa sahaja. Sebab itulah apabila kita hendak memasuki dewan peperiksaan, kita perlu bermaaf-maafan dengan semua orang," kata anak kepada pasangan guru itu.
Bapanya, Mohd. Yaakub Khalid adalah guru di sekolah tersebut manakala ibunya, Nafizah Mohamad mengajar di Kolej Tunku Kurshiah di sini.
Katanya, dia akan bangun seawal pukul 3 pagi untuk mengulangkaji pelajaran dan bercita-cita mahu menjadi seorang doktor pakar selain berhasrat melanjutkan pengajian di Asia Barat atau Ireland.
Mohamad Aizuddin memperoleh 1A dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Bahasa Arab Tinggi, English Sains Teknologi, Fizik, Kimia, Biologi, Matematik, Matematik Tambahan, Pendidikan Syariah Islamiah, Pendidikan al-Quran dan As-Sunnah, Sejarah dan Tasawwur Islam.
Sementara itu, rakannya, Nurun Nazahan Mohd. Mazwil, 18, yang memperoleh 12 1A juga merupakan rakan baik dalam kelas dan sentiasa berlumba untuk menduduki tempat pertama dengan Mohamad Aizuddin.
''Saya tidak sangka memperoleh keputusan cemerlang. Saya hanya berharap mendapat A dalam semua mata pelajaran tetapi ini 12 1A. Alhamdullilah," katanya yang ditemani ibu, Nurul Huda Abdullah, 45, seorang juruaudit dalaman di Tokio Marine Insurans (M) Berhad dan bapanya, Mohd. Mazwil Md. Nor, 45, kakitangan Ternak Ikan Jelebu.
Nurun berharap dapat melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi Petronas (UTP) dalam bidang Petrol Kimia kerana meminati bidang tersebut.
''Saya belajar seperti pelajar lain dan tidak mahu berada dalam tekanan. Jika bermain komputer pun, saya akan memilih permainan yang membuka minda dan strategi, bukan yang berbentuk fantasi," kata anak sulung daripada tiga beradik.
Nurun mendapat keputusan A1 dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Matematik Tambahan, Bahasa Arab Tinggi, Fizik, Kimia, Biologi, Pendidikan al-Quran dan As- Sunnah, Pendidikan Syariah Islamiah dan English Sains Teknologi. |
|