|
***********
Wardah menuang air suam ke dalam gelas, dan menghampiri Syifa yang duduk di ruang tamu, masih dengan sisa tangisnya. Dia melabuhkan punggung di sisi gadis itu yang sudahpun menanggalkan tudungnya lalu menghulurkan gelas. Syifa mengangkat muka, menyambut gelas tanpa sepatah kata.
Senyap seketika. Sengaja dia membiarkan gadis itu tenang terlebih dahulu. Hanya kedengaran bunyi kipas siling berkeriut berpusing, melayangkan angin segar untuk mereka. Dia sekadar memerhati Syifa menghirup air perlahan, dan setelah agak lama menyepi barulah dia bersuara lembut. "Apa terjadi?"
Syifa menarik nafas, mengesat pipinya yang masih basah. "Zul..."ucapnya perlahan. Wardah mengerut dahi. "Kenapa dengan Zul? Dia tak apa-apa kan?," Wajah Zulfadli, tunang Syifa terbayang di minda. Lelaki yang banyak membantu Syifa di KL ini, mencarikan rumah sewa untuk mereka malah mendapatkan pekerjaan untuk gadis kecil molek itu.
"Dia....dia..." Syifa kelihatan agak sukar berkata-kata. Matanya kembali bergenang. Dia menarik nafas dalam-dalam, dan Wardah memegang bahunya lembut. Dia sukar mengagak apa yang berlaku pada Zul sehingga menyebabkan Syifa menjadi sedemikian rupa. "Zul tinggalkan aku, Wardah," ucapnya Syifa agak payah dan air matanya kembali jatuh berderai.
Wardah terkelu seketika. Zulfadli...putuskan pertunangan mereka?Kenapa? Mahu saja dia melontarkan pertanyaan itu, namun hatinya pantas menegah. Syifa mengesat air matanya lagi. "Aku tak tahu kenapa, tapi Zul kata, mak ayah dia dah carikan jodoh lain untuk dia. Dia tak boleh nak bantah keputusan mereka. Dia...dia terpaksa terima," begitu payah sekali gadis itu menyusun kata-kata. Wardah masih menyepi. Dirinya seakan berada di dalam perahu yang dilambung ombak kuat, terumbang-ambing. Mengapa sebegitu mudah Zulfadli membuat keputusan sebegitu? Mengapa sebegitu lembut hati lelakinya? Tidak kasihankah dia pada Syifa yang setia menunggunya walaupun banyak rintangan melanda? Apa salah Syifa sehingga orang tuanya enggan menerima sebagai menantu? Hanya kerana dia anak yatim, maka hubungan cinta mereka tidak direstui dan diberkahi. Hanya kerana itu?
Dia tahu perihal kedua orang tua lelaki itu. Syifa, teman sehati sejiwa yang membesar bersama di Rumah Anak Yatim Sri Sentosa. Hubungannya dengan Zulfadli bermula sejak di zaman universiti lagi, dan lelaki itu seorang yang cukup baik baginya, kerana sudi menerima diri Syifa seadanya meskipun gadis itu senasib dengan Wardah, cuma lebih malang lagi, Syifa ditinggalkan ibu di dalam semak seawal usia 2 hari. Atas alasan itu, kedua orang tua lelaki itu menolak keras Syifa, bimbang adanya keturunan tidak baik dalam keluarga mereka. Pun begitu, Zulfadli tetap berkeras dan akhirnya terjalin jua pertunangan antara mereka hujung tahun lepas. Insya Allah, hati mereka akan lembut jua nanti, itu janji Zulfadli.
Tetapi kini, janji tinggal janji. Syifa ditinggalkan tanpa sebarang notis mahupun kata maaf dari kedua orang tuanya. Terdetik rasa marah di hati. Harapkan keluarga je kaya, tetapi perasaan rendah diri dan sifat keterbukaan tak ada. Mungkin kerana kekayaanlah, maka mereka menjadi sebegitu, desis hatinya. Hati tenggelam dalam sifat haloba dan pentingkan diri. Zulfadli juga tidak sekuat yang disangkanya. Begitu mudah mengalah walaupun berjanji akan berjuang demi Syifa. Alangkah mudahnya hati lelaki berubah! Dia menarik nafas.
"Aku tak tau kenapa Zul buat aku macam ni," Syifa kembali bersuara, dalam sedunya yang tertahan. "Aku tak kisah siapa dia, Wardah. Asalkan iman dan agama dia terpelihara, itu sudah cukup baik. Tergamak mak dan ayah dia buat aku macam ni,"
"Istighfar, Syifa. Dia memeluk bahu temannyai itu, cuba menenangkan. "Sabar bebanyak. Mungkin ini ujian dari Allah untuk kita. Ada hikmah di sebalik semua ini,"pujuknya lembut. Syifa tidak menjawab, hanya kedengaran sedunya memenuhi suasana. Wardah menarik nafas. Beginilah mereka, tiada saudara mara yang dapat membantu. Hanya sesama mereka saling berpaut, dan kepada Allah jua bersandar harapan. Ya Allah, teguhkanlah hati sahabatku ini. Peliharalah iman dan kuatkanlah hatinya dalam menempuh dugaan ini, doanya dalam hati. |
|