Alif Hadi sahkan putus cinta dengan Yasmin Hani
Alif meraih trofi Aktor Pembantu Filem Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-36, Jumaat lalu. Foto NSTP
KUALA LUMPUR: Aktor Alif Hadi mendedahkan hubungan cinta bersama Yasmin Hani selama tiga tahun, berakhir, kira-kira dua bulan lalu. Alif yang diumum Aktor Pembantu Filem Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-36, bagaimanapun enggan mendedahkan punca perpisahan mereka. "Saya sudah kembali solo sejak dua bulan lalu iaitu, Ogos lalu. Kalau boleh, memang tidak mahu kongsi mengenai hal putus cinta ini kepada umum sebab tidak elok untuk diuar-uarkan. "Tapi, kalau sudah tiba waktunya orang tahu, akan tetap diketahui juga," katanya ditemui pada malam kemuncak ABPBH 36 di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Wisma MBSA, Shah Alam, Jumaat lalu.
Persoalan mengenai status pelakon filem Jangan Pandang Belakang 2 itu timbul selepas kehadirannya ke acara anugerah berkenaan bersendirian, tanpa kelibat Yasmin seperti kebiasaan. Biarpun sudah tidak mempunyai hubungan istimewa, Alif berkata, dia dan Yasmin yang juga pelakon dan pengacara, masih berkawan baik. Malah, katanya, apa yang berlaku terhadap hubungannya bersama Yasmin menghadirkan rasa sedih dalam diri. "Perpisahan ini keputusan bersama. Kami masih berhubung, kadang-kadang anak-anaknya ada hubungi menerusi panggilan video apabila mereka rindu. "Mereka kata hendak jumpa, mungkin akan cari masa untuk bertemu dengan mereka. Hubungan saya dengan Yasmin pun masih baik, tidak bergaduh pun. "Sejujurnya memang ada rasa sedih sebab kami sudah bercinta selama tiga tahun. Namun, pada masa sama, tidak mahu buang masa dan perlu 'move on'. "Tuhan Maha Perancang, satu nikmat diambil dan pasti akan diganti dengan perkara lebih manis lagi," katanya. Yasmin pernah mendirikan rumah tangga dengan ahli muzik, Sha'arin, namun, dilaporkan berpisah pada 2021. Hasil perkahwinan itu, Yasmin dikurniakan dua cahaya mata lelaki iaitu Noah Ismail Wong, 10 dan Eissa Elzander Wong yang berusia tujuh tahun.
https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2024/10/1310647/alif-hadi-sahkan-putus-cinta-dengan-yasmin-hani
|