Akta 852 diteruskan, tiada istilah 'berpatah balik' - Dr Dzulkefly
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad melakukan gimik perasmian pada Majlis Pelancaran Cik Era Chatbot Melalui Sesawang Jomquit di Prince Court Medical Centre. - NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan mengubah penetapan terhadap pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang dikuatkuasakan bermula 1 Oktober lalu. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata ketetapan itu bukan hanya membabitkan Kementerian Kesihatan (KKM) tetapi komitmen kerajaan. "Kerajaan tidak berbelah-bahagi terhadap komited melaksanakannya selepas bertungkus-lumus membentangkan Akta 852 ini dan memastikan Dewan Rakyat serta Dewan Negara meluluskannya. "Kita turut memperoleh kelulusan Jabatan Peguam Negara.
"Sebarang cadangan daripada industri komersial mengenai antirokok ketika ini, kerajaan tidak akan berpatah balik daripada ketetapan yang dibuat. "Ini komitmen kerajaan," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran 'Cik Era Chatbot' melalui Laman Sesawang Jomquit di Prince Court Medical Centre di sini, hari ini. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Prince Court Medical Centre, Dr Shuba Srinivasan dan Pengarah Urusan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Dr M Murallitharan. Pendirian itu juga sebagai mengulas mengenai gesaan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang mahu KKM tidak tunduk dengan permintaan industri komersial atau membuat 'pusingan U' berhubung pelaksanaan akta itu. Ia merangkumi sekatan ketat terhadap pembekalan, pengiklanan, paparan dan promosi produk merokok. Akta 852 yang diwartakan pada 2 Februari lalu, berkuat kuasa serentak dengan peraturan dan perintah di bawahnya bermula 1 Oktober. Penguatkuasaannya akan membabitkan beberapa aspek yang akan dikuatkuasakan secara serta-merta dan berperingkat. Dalam pada itu, Dr Dzulkefly berkata, KKM akan melaksanakan pendekatan berhemah dengan penuh tanggungjawab dan akauntabiliti. "Tiada isu 'berpatah balik' kerana kerajaan komited melaksanakannya dengan penuh bertanggungjawab. "Kita mahu pemilik dan pemain industri mereka bersama kerajaan serta memahami mengapa produk tembakau perlu dikawal selia. "Ini bertepatan dengan program berhenti merokok, sangat mustahak mereka memahami bukan sahaja dari sudut komersial tetapi mengambil tahu hasrat KKM berkenaan akta itu. "Kerajaan masih terbuka untuk berunding, melakukan libat urus tetapi bukan untuk membuat keputusan berpatah balik," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/10/1311167/akta-852-diteruskan-tiada-istilah-berpatah-balik-dr-dzulkefly
|