Selain itu, katanya, ia bertujuan memperkukuh kawalan kesihatan awam demi keselamatan dan kesihatan awam, sebaliknya bukan sekadar untuk menghukum atau bersifat punitif.
"Malaysia masih mengambil pendekatan munasabah dan seimbang dalam menetapkan penilaian penalti yang tidak dipinda hampir 35 tahun.
"Di Singapura, kadar denda di bawah penyakit berjangkit A, boleh mencecah hingga SGD10,000 bagi kesalahan pertama, dan SGD20,000 bagi kesalahan berulang.
"Di New Zealand pula NZD500 bagi kesalahan pertama dan boleh meningkat NZD50 sehari jika kesalahan berkenaan berterusan, setiap hari.
"Ini menunjukkan denda boleh meningkat secara signifikan, jika kesalahan berlanjutan. Begitu juga dengan denda pelanggaran serius yang boleh mencapai hingga NZD10,000," katanya, hari ini.
Lukanisman yang juga Ahli Parlimen Sibuti berkata, kadar maksimum denda di Malaysia lebih munasabah berbanding negara lain serta mampu bertindak sebagai instrumen pencegahan bagi golongan yang melanggar undang-undang kesihatan awam.
Kadar itu, katanya, tidak membebankan rakyat secara berlebihan, selain ia menunjukkan penetapan penalti mengambil kira kesejahteraan rakyat dan keadaan sosioekonomi negara, menjadikannya lebih berpatutan berbanding beberapa negara lain.
"Ini membuktikan Malaysia masih mampu mengekalkan keseimbangan antara pencegahan dan keadilan, tanpa membebankan rakyat.
"Kompaun yang akan dikenakan adalah berdasarkan mana-mana kesalahan boleh dikompaun di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) atau mana-mana peraturan dibuat di bawah akta berkenaan.
"Bayangkan jika rakyat tidak mengambil berat terhadap undang-undang berkaitan pengawal penyakit berjangkit, ini akan mengakibatkan penularan penyakit berterusan hingga menyebabkan kejadian wabak dan pandemik.
"Keperluan kemasukan ke hospital dan unit rawatan rapi yang tinggi serta mengakibatkan peningkatan kadar kematian. Ini akan menyebabkan peningkatan kos pengurusan kes penyakit berjangkit melampau yang terpaksa ditanggung kerajaan," katanya.
Mengenai MySejahtera, Lukanisman mengakui ia adalah aplikasi yang baik dan berpotensi besar dengan penggunaannya ketika ini sudah berkembang kepada temu janji pendermaan organ dan beberapa kegunaan lain.
"Penggunaan MySejahtera ketika ini juga sudah berkembang melalui temu janji pendermaan organ dan banyak aplikasi yang dapat dibangunkan dan kini kerajaan sedang dan akan menentukan hala tuju MySejahtera, sama ada mampu menjadi 'super-app' bagi rakyat di negara ini," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, hasil Tinjauan Kebangsaan dan Morbiditi 2023 mendapati, 48.5 peratus golongan dewasa di negara ini memiliki tahap literasi kesihatan mencukupi, meningkat sebanyak 7.8 peratus berbanding pada 2019.
Beliau berkata, ini menunjukkan pemahaman masyarakat akan lebih mudah jika RUU berkenaan dikuatkuasakan kelak.
"Dengan meningkatnya literasi kesihatan, rakyat bukan saja dapat memahami risiko penyakit berjangkit dengan lebih baik tetapi juga dapat mengambil tindakan pencegahan lebih proaktif dalam menjaga kesihatan dan komuniti.
"Ini adalah langkah penting bagi memastikan kesihatan awam terpelihara dan setiap individu dapat membuat keputusan kesihatan lebih baik berdasarkan maklumat tepat dan mudah difahami," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/10/1310688/dewan-rakyat-lulus-pindaan-akta-pencegahan-dan-pengawalan-penyakit