Home » Pengguna cemas Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak ‘banjir’
Terkini
Pengguna Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) hari ini digemparkan dengan kejadian limpahan air di atas jalan sehingga menghalang laluan sehala ke dari Karak ke arah Kuala Lumpur
Pengguna cemas Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak ‘banjir’
- Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN
- 1 Mac 2022, 9:14 pm
BENTONG – Pengguna Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) hari ini digemparkan dengan kejadian limpahan air di atas jalan sehingga menghalang laluan sehala ke dari Karak ke arah Kuala Lumpur.
Kejadian kira-kira pukul 6.30 petang yang berpunca daripada air bukit itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengguna jalan raya risiko kejadian tanah runtuh berulang selepas kejadian terbaharu penghujung tahun lalu.
Seorang pengguna jalan raya, Zulkhairi Adek Awang,32 berkata, dia yang dalam perjalanan dari Karak ke Kuala Lumpur ‘tersangkut’ hampir satu jam selepas laluan berkenaan tidak dapat dilalui kerana dilimpahi air.
“Sebaik sahaja sampai berhampiran kawasan Benus saya terkejut apabila mendapati air memenuhi jalan menghala ke Kuala Lumpur dan air dari bukit masih mengalir deras ke arah jalan.
“Saya dan pengguna jalan raya lain menunggu sehinggalah bomba datang dan membenarkan kenderaan ringan lalu selepas dipastikan selamat,”katanya di sini hari ini.
Dalam pada itu seorang lagi pengguna jalan raya, Ahmad Aziz, berkata, kejadian berkenaan menyebabkan laluan berkenaan mengalami kesesakan kira-kira satu kilometer.
Katanya, air yang laju turun daripada kawasan bukit itu mencetuskan keresahan kerana dibimbangi boleh menyebabkan kejadian tanah runtuh yang membahayakan penggguna jalan raya.
“Saya harap pihak berkaitan dapat memastikan kejadian seperti ini tidak berulang dan memantau keadaan di kawasan itu supaya tragedi tanah runtuh tidak berlaku lagi,”ujarnya.
Sementara itu Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) melalui Facebook menyatakan terdapat kenaikan air di Kilometer 68 menyebabkan trafik perlahan.
– KOSMO! ONLINE.
|