. Anwar tiba di Peru, lawatan sulung ke benua Amerika Selatan
PM Anwar akan menerima pingat tertinggi Kerajaan Peru, El Sol del Peru sebagai satu penghormatan tertinggi kepada Ketua Kerajaan. - Foto ihsan PMO
LIMA, PERU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selamat tiba di sini, pada jam 11.15 malam Selasa waktu tempatan bagi memulakan lawatan rasmi sulung beliau ke benua Amerika Selatan. Ketibaan beliau menerusi pesawat khas di Pangkalan Udara Ketenteraan Kumpulan No.8, Aeronaves, Peru disambut oleh Duta Besar Malaysia ke Republik Peru, Ahmad Irham Ikmal Hisham. Mengiringi beliau dalam pesawat sama dari Kaherah, Mesir adalah Menteri Luar Negeri Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz. Turut sama adalah Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Huang Tiong Si.
Kerajaan Peru pula diwakili oleh Menteri Pengeluaran Peru, Sergei Gonzalez Guerrero; Ketua Protokol, Kementerian Luar Negeri Peru, Luis Escalante Schuler dan Panglima Pangkalan Udara, Jeneral Julio Cesar Gutierrez. Beliau kemudian menerima tabik hormat daripada pasukan tentera Peru sebelum ke hotel penginapan bagi meneruskan mesyuarat pramajlis. Malah, wakil-wakil syarikat ternama dunia seperti Tik Tok dan Google turut dijadual akan menemui Perdana Menteri. Pada 14 November pula, Anwar akan menghadiri Sidang Kemuncak CEO APEC sebagai salah seorang ahli panel dalam sesi bertajuk "Opportunities and Challenges in the AI Revolution." Pada 15 November, Perdana Menteri akan menyertai Dialog Tidak Rasmi Pemimpin APEC dengan Tetamu dan Dialog Pemimpin Ekonomi APEC bersama Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) selain akan menyampaikan intervensi Malaysia semasa Sesi Pemukiman AELM pada 16 November. Di sela-sela AELM, Perdana Menteri juga dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan-rakan sejawatnya dari Ekonomi APEC yang lain termasuklah dari Jepun dan New Zealand. Anwar berkata dalam persidangan itu, beliau akan menekankan komitmen Malaysia ke arah memperkukuh kerjasama ekonomi selain memupuk pembangunan yang saksama dan inklusif buat semua. "Selain APEC, saya juga dijadual mengadakan pertemuan bersama Presiden Peru, Dina Ercilia Boluarte Zegarra serta berinteraksi bersama komuniti perniagaan Malaysia dan Peru. "Insya-Allah, saya akan lakukan yang terbaik buat negara dan rakyat," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/11/1323290/anwar-tiba-di-peru-lawatan-sulung-ke-benua-amerika-selatan
|