2 pegawai, 10 anggota polis digantung tugas positif dadah di pusat hiburan
KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggantung tugas 12 anggota polis yang didapati positif dadah dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Sungai Petani, Kedah, semalam. Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Hussein menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana anggota yang terbabit kes jenayah dan masalah disiplin. Menurutnya, polis Kedah telah diarahkan untuk menggantung anggota yang terlibat dengan segera.
“Selain itu, kita (polis) juga akan mengambil tindakan terhadap penyelia mereka mengikut Peraturan 3C Pegawai Awam (Tata Kelakuan dan Disiplin) 1993. “Penyelia akan dipindahkan dari jawatan mereka kerana tidak layak mengurus anak buah,” katanya ketika dihubungi hari ini. Terdahulu, tular laporan serbuan Op Noda dilakukan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman di sebuah premis di Sungai Petani, Kedah, semalam.
Menerusi serbuan itu, seramai 48 individu diperiksa dan 31 daripadanya positif dadah. Antara yang didapati positif adalah dua adalah pegawai polis dan sepuluh lagi adalah anggota. Mengulas lanjut, Razarudin mengingatkan anggotanya untuk menjadi contoh dalam masyarakat dan sentiasa berpegang kepada undang-undang serta tanggungjawab. “Jadikan ini amaran tegas kepada warga PDRM. Kita diberi amanah untuk menegakkan undang-undang, tetapi itu tidak bermakna anda berada di atas undang-undang. “Tindakan mengikut undang-undang tetap diambil terhadap anggota yang didapati melakukan kesalahan jenayah. Kami tidak akan berdiam diri dan melindungi ‘epal busuk’ yang boleh mencemarkan pasukan polis,” katanya. Sementara itu, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad, mengesahkan operasi itu dilaksanakan susulan maklumat yang diterima. “Siasatan lanjut dilakukan pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berkenaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE.
https://www.kosmo.com.my/2024/10/03/2-pegawai-10-anggota-polis-digantung-tugas-positif-dadah-di-pusat-hiburan/
|