Nah...
Teks Ucapan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) March 17, 2021Speeches
TEKS UCAPAN
YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN PERDANA MENTERI MALAYSIA PROGRAM STRATEGIK MEMPERKASA RAKYAT DAN EKONOMI (PEMERKASA) 17 MAC 2021 (RABU) BERSAMAAN 3 SYAABAN 1442H
Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera, Apa khabar semua? Saya harap saudara dan saudari sihat wal-afiat.
1. Kini, genap setahun negara kita melaksanakan pelbagai bentuk Perintah Kawalan Pergerakan atau PKP untuk menangani wabak COVID-19. Sepanjang tempoh ini, Kerajaan terus melakukan apa sahaja yang diperlukan bagi menjamin kesejahteraan rakyat, memastikan kelangsungan perniagaan dan menyokong pemulihan ekonomi. 2. Pada masa ini, negara kita sedang berada pada tahap kelima Strategi 6R Pelan Komprehensif Pemulihan Ekonomi, iaitu ‘Revitalize’ atau Memperkasa ekonomi. Pada tahap ini, strategi pemulihan ekonomi ditumpukan kepada usaha untuk merancak dan melonjakkan semula aktiviti ekonomi, atau jump-start the economy. 3. Sehubungan itu, Kerajaan telah mengenal pasti 5 Fokus Utama program pemulihan dan pemerkasaan ekonomi sepanjang tahun 2021 iaitu mengawal penularan COVID-19, memacu pemulihan ekonomi,memperkukuh daya saing negara, melaksanakan agenda keterangkuman wilayah dan masyarakat dan mentransformasi ekonomi.
PROGRAM STRATEGIK MEMPERKASA RAKYAT DAN EKONOMI (PEMERKASA) 4. Bagi melonjakkan semula aktiviti ekonomi, sukacita saya umumkan Kerajaan akan melaksanakan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi atau PEMERKASA bernilai 20 bilion ringgit, dengan suntikan fiskal baharu oleh Kerajaan berjumlah 11 bilion ringgit. 5. PEMERKASA akan menumpukan 20 inisiatif strategik bagi melonjakkan pertumbuhan ekonomi, menyokong perniagaan dan meneruskan bantuan bersasar kepada rakyat dan sektor yang masih terkesan.
FOKUS PERTAMA: MENGAWAL PENULARAN COVID-19
Inisiatif Pertama: Program Imunisasi COVID-19 6. Bagi fokus pertama, iaitu mengawal penularan COVID-19, Kerajaan sedang melaksanakan pelbagai tindakan kesihatan awam untuk membendung COVID-19 di samping memulakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan. Setakat ini, lebih 300 ribu rakyat telah pun menerima suntikan pertama vaksin. 7. Kerajaan akan menaikkan peruntukan bagi program imunisasi daripada 3 bilion kepada 5 bilion ringgit untuk mempercepatkan sasaran imunisasi berkelompok pada Disember 2021, berbanding sasaran awal iaitu pada suku pertama tahun 2022. 8. Untuk mencapai sasaran ini, seramai 15 ribu petugas akan ditempatkan di hampir 950 Pusat Pemberian Vaksin atau PPV di seluruh negara. Mengambil kira pertambahan tugas tersebut, Kerajaan bersetuju Bantuan Khas COVID-19 dengan kadar 200 ringgit sebulan dipanjangkan kepada petugas penjawat awam yang terlibat dalam program imunisasi di PPV berkenaan.
Inisiatif Kedua: Tiada lagi Pelaksanaan PKP Menyeluruh 9. Kerajaan juga akan melaksanakan strategi kawalan penularan COVID-19 secara lebih bersasar dengan bersandarkan sains dan data untuk mengurangkan impak negatif terhadap aktiviti ekonomi negara. Pada masa yang sama, dengan mengambil kira pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Kerajaan berkemungkinan tidak perlu lagi melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh merangkumi seluruh negara atau sesuatu negeri. Sebaliknya, kawalan pergerakan hanya dilaksanakan mengikut lokaliti dan secara tertumpu kepada kluster berkaitan sahaja.
Inisiatif Ketiga: Penguatkuasaan Perundangan Yang Ketat dan Telus 10. Selaras dengan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, pematuhan SOP dan penguatkuasaan perundangan yang lebih ketat dan telus akan terus dilaksanakan bagi mengawal penularan wabak COVID-19. 11. Bagi melindungi golongan pekerja, MITI akan melaksanakan inisiatif Safe @work yang mempertanggungjawabkan majikan untuk menyediakan tempat kerja dan penginapan yang kondusif bagi para pekerja. Syarikat yang berdaftar dengan MITI untuk program Safe@Work akan dibenarkan beroperasi dalam keadaan di mana pekerja-pekerja kontak rapat diasingkan daripada komuniti setempat dan pekerja-pekerja lain dengan meletakkan mereka di dalam “safe work bubble” sehingga kesemua pekerja kontak rapat disahkan selamat daripada COVID-19. 12. Sebagai galakan kepada syarikat untuk menyertai program yang bersifat sukarela ini, Kerajaan bersetuju memberikan potongan cukai tambahan kepada syarikat pengilangan dan syarikat perkhidmatan berkaitan pengilangan ke atas perbelanjaan sewaan premis dan asrama pekerja. Perbelanjaan yang layak mendapat potongan cukai tambahan ini dihadkan kepada 50 ribu ringgit bagi setiap syarikat yang berdaftar dengan MITI dan telah lulus audit pematuhan Safe@Work. Syarikat boleh mendaftar mulai 1 April 2021. 13. Selain itu, majikan yang membuat ujian pengesanan COVID-19 untuk pekerjanya dibenarkan membuat potongan cukai tambahan ke atas kos ujian pengesanan COVID-19 bagi perbelanjaan yang dibuat sehingga 31 Disember 2021.
FOKUS KEDUA: MEMACU PEMULIHAN EKONOMI 14. Kerajaan juga komited untuk memulihkan semula sektor ekonomi yang terkesan melalui pelaksanaan segera projek pembangunan, penyediaan insentif penggajian serta pemberian insentif percukaian dan kemudahan pembiayaan mikro kredit.
Inisiatif Keempat: Pelaksanaan Projek-Projek Kecil Seluruh Negara 15. Sehubungan itu, bagi terus merancakkan aktiviti projek-projek berskala kecil di peringkat akar umbi, Kerajaan bersetuju menambah peruntukan projek berskala kecil tahun 2021 daripada 2.5 bilion ringgit kepada 5 bilion ringgit.
16. Antara jenis projek kecil yang akan dikhususkan kepada kontraktor kelas G1 hingga G4 ialah pembaikan infrastruktur dan fasiliti awam yang rosak akibat banjir, pembaikan jalan, program ameniti sosial, baik pulih perumahan berstrata termasuk penggantian lif di perumahan awam, serta pembinaan gerai di kawasan PBT.
17. Kerajaan akan memudahkan tatacara perolehan bagi mempercepatkan pelaksanaan projek. Sebagai contoh, kaedah kerja secara undian bagi pembaikan bencana banjir telah ditingkatkan daripada 100 ribu kepada 200 ribu ringgit. Di samping itu, kerja-kerja kecil bagi kontraktor tempatan akan dikhususkan kepada negeri dan daerah berkenaan.
Inisiatif Kelima: Geran Khas Prihatin 3.0 18. Kerajaan akan terus memberi sokongan untuk memastikan kelangsungan perniagaan, khususnya kepada PKS tempatan. Untuk itu, Kerajaan bersetuju untuk meneruskan Geran Khas Prihatin atau GKP 3.0 supaya perniagaan mendapat bantuan untuk beroperasi semula. Setiap perusahaan mikro dan PKS yang layak akan menerima bantuan one-off sebanyak 1,000 ringgit. Permohonan bagi GKP 3.0 akan dibuka mulai 1 April bagi PKS yang tidak menerima GKP sebelum ini. Geran ini dijangka akan memanfaatkan lebih sejuta usahawan.
Inisiatif Keenam: Kemudahan Mikro Kredit
19. Semasa pengumuman Belanjawan 2021 yang lalu, Kerajaan telah meluluskan peruntukan sejumlah 1 bilion ringgit bagi kemudahan pembiayaan mikro kredit. Prihatin dengan situasi yang mencabar ini, Kerajaan bersetuju untuk menyediakan dana pembiayaan tambahan sebanyak 500 juta ringgit bagi kemudahan pembiayaan mikro kredit melalui program-program di bawah BSN, TEKUN, MARA dan SME Corp. 20. Melalui BSN, dana sebanyak 300 juta ringgit akan disediakan dengan had pembiayaan sehingga 50 ribu ringgit, di mana kadar faedah telah dikurangkan daripada 3.5 kepada 3 peratus. Tempoh pinjaman adalah untuk 5 tahun dan bayaran ansuran hanya bermula selepas bulan keenam.
21. Bagi usahawan sektor informal, TEKUN Nasional akan menyediakan dana tambahan sebanyak 60 juta ringgit, terutamanya untuk Skim Pembiayaan Informal dengan had pembiayaan sehingga 5,000 ringgit bagi perniagaan secara kecil-kecilan daripada rumah, pasar malam dan pasar tamu.
22. Selain itu, program TEKUN Mobilepreneur akan diperluaskan untuk pembiayaan membaik pulih atau membeli motosikal baharu dengan had sehingga 10 ribu ringgit. Bagi melengkapi inisiatif ini, motosikal pemasangan tempatan dengan kapasiti enjin 150cc dan ke bawah akan diberi pengecualian 100 peratus duti eksais mulai 1 April hingga 31 Disember 2021.
23. TEKUN juga akan memperkenalkan program TEKUN POS-preneur di mana pemohon dapat menjana pendapatan melalui kontrak penghantaran barangan. Bantuan pembiayaan diberikan sehingga 20 ribu ringgit untuk tujuan baik pulih kenderaan, dan sehingga 50 ribu ringgit untuk pembelian van atau lori.
24. Melalui MARA, Skim Pembiayaan Perniagaan Prihatin Mikro akan dilaksanakan dengan keutamaan untuk membantu 1,000 PKS mikro Bumiputera untuk meneruskan kelangsungan perniagaan. Sebanyak 50 juta ringgit disediakan dengan nilai pembiayaan sehingga 50 ribu ringgit pada kadar faedah serendah 3 peratus.
25. Di samping itu, SME Corp. akan menyediakan 50 juta ringgit untuk membantu PKS tempatan mendapatkan pembiayaan sehingga 250 ribu ringgit pada kadar faedah juga serendah 3 peratus.
Inisiatif Ketujuh: Pengekalan Pekerjaan dan Insentif Penggajian
Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,
26. Sejak pelancaran program PenjanaKerjaya 2.0 di bawah PERKESO, hampir 200 ribu pekerja dalam sektor formal berjaya ditempatkan. Bagi membantu golongan yang kehilangan pendapatan atau pekerjaan, Kerajaan akan terus menambah baik program ini dengan memperluaskan skop insentif pengambilan pekerja untuk meliputi pekerjaan sementara dan pekerjaan gig, iaitu:
• Menyediakan peruntukan 300 juta ringgit yang akan memanfaatkan 60 ribu pekerja, di mana setiap pekerja akan menerima 600 ringgit sebulan selama tempoh maksimum 6 bulan; dan • Bagi majikan yang menawarkan pekerjaan jangka pendek ataupun platform penyedia perkhidmatan gig yang berdaftar dengan PERKESO, mereka akan menerima 200 ringgit bagi setiap pekerja yang ditempatkan.
27. Di samping itu, sehingga 5 Mac 2021, Kerajaan telah menyalurkan lebih daripada 14.4 bilion ringgit bagi membiayai program subsidi upah yang telah membantu 2.7 juta orang pekerja dan lebih daripada 330 ribu majikan.
28. Namun, Kerajaan sedar bahawa masih terdapat sektor yang terkesan. Oleh itu, Kerajaan akan memperuntukkan 700 juta ringgit bagi melanjutkan Program Subsidi Upah 3.0 selama tiga bulan lagi secara lebih bersasar. Ini terutamanya kepada sektor pelancongan, perdagangan borong dan runcit, serta perniagaan lain yang ditutup semasa PKP seperti pusat sukan gimnasium dan spa. Inisiatif ini dijangka akan membantu 400 ribu pekerja dan 37 ribu majikan.
29. Di samping itu, program perantisan di bawah PenjanaKerjaya juga akan ditambah baik setelah mengambil kira maklumbalas daripada pihak industri yang mendapati tempoh 3 bulan program perantisan ini agak
singkat dan tidak mencukupi. Oleh itu, Kerajaan akan melanjutkan tempoh program perantisan selama 6 bulan, di mana pelatih yang mengikuti program ini akan diberi insentif sebanyak 800 ringgit bagi tempoh perantisan 6 bulan.
30. Bagi menangani masalah pengangguran, Kerajaan telah menubuhkan Majlis Pekerjaan Negara, atau NEC. Bagi tahun ini, NEC menyasarkan pewujudan 500 ribu peluang pekerjaan, di mana sehingga akhir Februari, 66 ribu peluang pekerjaan telah berjaya diwujudkan.
31. Di bawah seliaan Perbadanan Sumber Manusia Berhad atau HRDF, beberapa inisiatif telah diperkenalkan. Ini termasuklah:
Pertama: Platform UpskillMalaysia yang berperanan sebagai pusat maklumat bagi program peningkatan kemahiran dan latihan semula; dan Kedua: Portal e-LATiH yang mengandungi lebih 300 kursus latihan dalam talian yang ditawarkan secara percuma.
Inisiatif Kelapan: Merangsang Semula Sektor Pelancongan dan Peruncitan
Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,
32. Industri pelancongan merupakan antara sektor yang terjejas teruk akibat penularan wabak COVID-19. Bagi mengurangkan beban dan menyokong pemulihan sektor ini, Kerajaan akan: • Melanjutkan pengecualian cukai pelancongan dan cukai perkhidmatan ke atas penginapan yang disediakan oleh pengendali hotel sehingga 31 Disember 2021; • Melanjutkan galakan cukai kepada syarikat pengendali pelancongan sehingga tahun taksiran 2022; • Membenarkan penangguhan pembayaran ansuran cukai pendapatan bulanan mulai 1 April hingga 31 Disember 2021 diberikan kepada syarikat industri pelancongan dan industri terpilih seperti panggung wayang dan spa; • Memberi pengecualian duti hiburan ke atas bayaran kemasukan ke tempat hiburan seperti taman tema, persembahan pentas, acara sukan dan pertandingan serta tayangan filem pawagam di semua Wilayah Persekutuan; • Memperluas skop pelepasan khas cukai pendapatan individu sehingga 1,000 ringgit untuk meliputi perbelanjaan pembelian pakej pelancongan melalui ejen pelancongan yang berdaftar dengan MOTAC; dan • Memberi pengecualian levi HRDF bagi syarikat sektor pelancongan dan peruncitan yang terjejas untuk tempoh sehingga Jun 2021. 33. Selain itu, Kerajaan bersetuju untuk menyalurkan Geran Bantuan Khas secara one-off sebanyak 3,000 ringgit kepada lebih 5,000 agensi pelancongan yang berdaftar dengan MOTAC. 34. Kerajaan juga bersetuju untuk menyediakan bantuan tunai secara one-off sebanyak 600 ringgit kepada pengusaha homestay yang berdaftar dengan MOTAC. Bantuan ini dijangkakan dapat memanfaatkan lebih 4,000 tuan rumah atau pengusaha Program Pengalaman Homestay. 35. Saya percaya, sedikit masa lagi apabila sudah ramai antara kita telah mengambil vaksin, Kerajaan sedia untuk membenarkan pergerakan rentas negeri secara berperingkat, malah mewujudkan special green lane bagi perjalanan sempadan yang melibatkan pengangkutan udara. Berikan sedikit masa dan ruang untuk pihak Kerajaan meneliti segala risiko sebelum sesuatu keputusan diambil. 36. Untuk membantu aliran tunai dan mengurangkan kos perniagaan pengendali hotel, taman tema, pusat konvensyen, pusat membeli belah, pejabat syarikat penerbangan tempatan dan agensi pengembaraan dan pelancongan, pemberian diskaun khas bil elektrik sebanyak 10 peratus akan dilanjutkan selama 3 bulan lagi sehingga 30 Jun 2021. Dengan pemanjangan tempoh diskaun ini, Kerajaan akan menanggung jumlah kos sebanyak 135 juta ringgit.
Inisiatif Kesembilan: Mengurangkan Beban Syarikat dan Memperkasa Koperasi
37. Bagi memastikan pembiayaan alternatif terus berkembang, pihak Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) akan menambah baik peraturannya berdasarkan perkembangan semasa. Antara lain, had pengumpulan dana akan dinaikkan daripada 10 juta kepada 20 juta ringgit serta Equity Crowdfunding akan diperluaskan kepada syarikat berhad yang tidak tersenarai. 38. Untuk terus menggalakkan syarikat mengumpul dana menerusi pasaran saham, fi berkaitan penyenaraian akan dikecualikan selama 12 bulan bagi syarikat yang memohon penyenaraian di pasaran MAIN, LEAP atau ACE. Selain itu, rebat untuk fi penyenaraian tahunan bagi tahun 2021 juga akan diberikan kepada syarikat tersenarai yang telah melaporkan kerugian berdasarkan laporan suku tahunan mereka. 39. Seterusnya, bagi membantu mengurangkan beban syarikat yang menghadapi masalah kewangan dan boleh menyebabkan risiko penggulungan, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bersetuju nilai ambang keterhutangan atau indebtedness threshold dinaikkan daripada 10 kepada 50 ribu ringgit. 40. Pada masa yang sama, SSM juga memberi kemudahan pendaftaran perniagaan percuma kepada kumpulan B40 dan pelajar IPT sepenuh masa yang ingin menceburi bidang keusahawanan. 41. Kerajaan menyedari bahawa gerakan koperasi turut terjejas berikutan pandemik COVID-19. Susulan itu, Suruhanjaya Koperasi Malaysia akan menyediakan insentif pembiayaan sehingga 100 ribu ringgit tanpa cagaran bagi membantu koperasi yang terkesan. Permohonan pembiayaan ini akan dipermudahkan dan proses kelulusan akan dipercepatkan dengan memberi kelonggaran bayaran balik selepas enam bulan pembiayaan diluluskan. Sejumlah 50 juta ringgit dari Tabung Modal Pusingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia akan diperuntukkan yang dijangka dapat membantu lebih 14,000 koperasi. 42. Selain itu, Kerajaan telah meluluskan geran padanan sebanyak 30 juta ringgit untuk menggalakkan pelaburan dalam mekanisasi dan automasi industri sawit. Kerajaan akan menambah peruntukan sebanyak 20 juta ringgit dalam bentuk geran padanan bagi tujuan pembelian jentera kepada Koperasi Penanaman Sawit Mampan. Ini dijangka memanfaatkan 65 koperasi dengan keahlian sebanyak 6,000 pekebun kecil. 43. Geran Padanan Digitalisasi di bawah BSN yang sebelum ini dimanfaatkan oleh syarikat turut diperluaskan kepada koperasi bagi mengembangkan aktiviti perniagaan mereka melalui platform digital.
FOKUS KETIGA: MEMPERKUKUH DAYASAING NEGARA 44. Dalam memperkukuh daya saing negara, Kerajaan komited untuk menarik pelaburan, memperkasa perdagangan luar, meningkatkan adaptasi penggunaan teknologi digital dan menjamin pertumbuhan lestari.
Inisiatif Kesepuluh: Mengukuhkan Persekitaran Perniagaan 45. Untuk itu, Kerajaan melalui Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan atau PEMUDAH sentiasa komited untuk memastikan peraturan yang tangkas atau agile regulation dilaksanakan bagi mendorong pelaburan semula perniagaan domestik. Ini termasuk perluasan program Authorised Economic Operator Nasional yang memberi kemudahan laluan hijau kepada syarikat yang layak bagi urusan eksport dan import dan pemendekan tempoh memproses permohonan pelaburan.
Inisiatif Kesebelas: Automasi dan Digitalisasi 46. Bantuan moratorium bersasar yang diumumkan oleh Kerajaan melalui Bank Negara Malaysia telah berjaya mengurangkan beban 1.4 juta peminjam individu dan PKS yang terjejas, dengan kadar kelulusan sehingga 95 peratus. Saya ingin menekankan bahawa bantuan ini masih dibuka kepada orang ramai.
47. Bagi membantu PKS mendapatkan pinjaman, Bank Negara Malaysia telah meningkatkan Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar sebanyak 2 bilion ringgit dan Fasiliti Automasi dan Digitalisasi sebanyak 700 juta ringgit. Dengan penambahan ini, kemudahan yang disediakan oleh Bank Negara untuk manfaat PKS berjumlah 6 bilion ringgit.
48. Di bawah MIDF, sebanyak 200 juta ringgit disediakan untuk skim pembiayaan pembangunan automasi, digitalisasi dan penggunaan teknologi hijau. MIDF juga telah bersetuju untuk mengurangkan kadar faedah pinjaman dari 5 kepada 3 peratus bagi tempoh 12 bulan, bermula 1 April 2021.
49. Di samping itu, dana tambahan sebanyak 50 juta ringgit bagi Geran Automasi Pintar di bawah MIDA turut disediakan supaya lebih banyak PKS dan Syarikat Tahap Pertengahan, atau Mid-Tier Companies dapat meningkatkan kecekapan operasi dan pembuatan menerusi teknologi tinggi. Selain itu, bagi menyokong IR4.0, peruntukan berjumlah 50 juta ringgit akan diberi kepada program Industry4WRD di bawah MITI.
50. Bagi menggalakkan PKS meningkatkan automasi yang dapat mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing, SME Bank akan menyediakan dana pinjaman 200 juta ringgit untuk membiayai pembelian mesin dengan insentif geran sehingga 20 peratus ke atas nilai mesin.
|