Pertama kali dianjurkan pada tahun 2008, namun dihentikan buat seketika waktu, akhirnya, kempen ‘Hangatkan Sekolahku’ anjuran stesen radio popular negara, Hot FM kembali menggegarkan sekolah-sekolah di seluruh negara sejak sebulan yang lalu.
Kempen ‘Hangatkan Sekolahku’ diadakan bertujuan untuk mengotakan impian pelajar-pelajar sekolah yang ingin membangunkan serta memartabatkan lagi sekolah mereka. Selain mewujudkan suasana persekitaran yang lebih sihat di sekolah, tanggungjawab sosial yang dilakukan oleh Hot FM ini juga merupakan satu inisiatif yang murni bagi menjana idea prositif serta kreatif di kalangan pelajar-pelajar sekolah.
“Hot FM memiliki ramai sangat pendengar dari kalangan pelajar-pelajar sekolah. Justeru, kempen ini merupakan salah satu cara untuk kami bagi balik kepada komuniti yang banyak menyokong kami selama ini. Sekurang-kurangnya ada juga sesuatu untuk mereka walaupun tidak seberapa,” jelas penyampai Hot FM, Sharifah Aleya.
Percubaan sulung adik Naufal Rafiqi bin Suhaimi ternyata membuahkan hasil apabila keinginannya untuk melihat pasukan sofbol sekolahnya berjaya dengan lebih cemerlang tercapai apabila Sekolah Kebangsaan Penderas, Kuala Krau, Pahang dinobatkan sebagai juara bagi pusingan pertama. Dengan kemenangan tersebut, SK Penderas berjaya menerima bekalan peralatan sukan sofbol daripada Hot FM berupa kayu pemukul bola (bat), sarung tangan kulit khas (glove) serta bola kulit. Selain itu, mereka turut dihadiahkan T-Shirt latihan seragam sepasukan untuk pasukan sofbol sekolah mereka. “Kami berasa amat berbesar hati dan gembira apabila stesen radio Hot FM sudi memberi peralatan sofbol untuk sekolah ini. Terima kasih kepada Hot FM. Saya harap mereka dapat meneruskan lagi usaha mereka ini dan datang lagi ke sekolah kami kelak,” ujar Guru Besar SK Penderas, Encik Abdul Khalid Bin Bujang.
Ketika majlis penyampaian peralatan tersebut berlangsung, adik Naufal yang juga merupakan kapten pasukan sofbol sekolah turut meluahkan perasaan terujanya apabila percubaan pertama kali menyertai pertandingan ini menerusi laman web Hot FM berjaya membuahkan hasil. “Saya rasa gembira, teruja dan tak sangka sangat bila kami diumumkan sebagai pemenng. Maklumlah sekolah kami ini sekolah pendalaman. Kami dari pasukan sofbol juga rasa sangat terharu. Manakan tidak, selama ini kami hanya menggunakan peralatan yang murah saja. “Namun, bila kali ini kami terima peralatan yang mahal, kami rasa teruja sangat. Ia sekaligus memberi semangat kepada kami untuk bermain dengan lebih giat lagi. Terima kasih kepada Hot FM kerana memberi peralatan sofbol kepada sekolah kami.”
SK Penderas, Batu Krau memiliki seramai 421 orang pelajar dan 32 guru di mana 99% daripada mereka merupakan orang asli dari masyarakat Jahut. Lebih membanggakan, walaupun tidak cukup peralatan, pasukan sofbol sekolah ini berjaya memenangi tempat ketiga bagi Zon Negeri yang diadakan baru-baru ini,.
Selain dimeriahkan oleh penyampai radio Hot FM, Leya, Suraya dan Chad, kempen kali ini lebih menarik apabila turut diserikan dengan kehadiran artis popular tanah air seperti Akim, Black, Hafiz dan Adira. Kehadiran mereka diraikan penuh meriah apabila disambut dengan cara budaya masyarakat orang asli oleh adik-adik dan guru-guru di sekolah tersebut.
“Tak sangka adik-adik di sini kenal dengan kami, rasa dihargai sangat. Bila tengok mereka dapat apa yang mereka nak, kami rasa sangat teruja dan gembira sangat. Bila Hot FM buat macam ini, saya rasa ia satu pembaharuan yang sangat positif. Inisiatif Hot FM sangat bagus dan ia sekaligus dapat memotivasikan adik-adik kita,” kata Akim mewakili rakan artis yang lain. Sebanyak 2500 penyertaan telah diterima dalam masa dua minggu program ini dianjurkan. Selain SK Penderas, empat sekolah lain yang turut terpilih untuk membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 ialah SMK Kangkar Pulai, Johor, SMK Ismail Petra, Kota Bharu, Kelantan, SMK Taman Bukit Indah, Johor Bharu dan SMK Seri Bintang Utara. Teruskan mendengar Hot FM bagi mengetahui sekolah manakah yang bakal terpilih sebagai pemenang pusingan kedua. Pemenang akan diumumkan pada minggu hadapan.