Sultan Selangor sudah disembah maklum permohonan maaf Sanusi
SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sudah disembah maklum dengan surat permohonan maaf daripada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. Menerusi muatnaik di Facebook Selangor Royal Office, surat bertarikh 25 September itu antaranya memuatkan permohonan ampun atas kenyataan beliau seperti yang dipertuduhkan terhadapnya di mahkamah, yang dianggap menghina dan tidak menghormati Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor. "Menurut surat itu, Muhammad Sanusi juga mengakui bahawa kenyataan beliau telah menimbulkan rasa tidak selesa dan telah mengguris hati dan perasaan Duli Yang Maha Mulia Tuanku. "Beliau benar-benar kesal atas segala kesan negatif yang telah timbul daripada kenyataan itu," menurut kenyataan itu.
Semalam, media melaporkan Muhammad Sanusi sekali lagi mengemukakan permohonan maaf kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Ia berhubung kenyataannya yang didakwa mempertikaikan kewibawaan institusi kesultanan Selangor dalam pemilihan Menteri Besar negeri berkenaan.
Itu adalah permohonan maaf kedua oleh Menteri Besar Kedah itu kepada Sultan Selangor selepas kali pertama pada 14 Julai tahun lalu. Patik, Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Kedah dengan penuh hormat dan takzimnya merafak sembah memohon keampunan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, Tuanku Sultan Selangor. "Atas kenyataan patik pada 11 Julai 2023 di Taman Selayang Mutiara dalam Daerah Gombak, Selangor seperti mana yang telah dipertuduhkan terhadap patik di mahkamah yang dianggap menghina dan tidak menghormati Tuanku. "Patik menyedari bahawa kata-kata patik telah menimbulkan rasa tidak selesa dan telah mengguris hati dan perasaan Tuanku dan patik benar-benar kesal atas segala kesan negatif yang telah timbul daripada kenyataan patik tersebut. "Patik ingin menyembah maklum kepada Tuanku bahawa tiada niat di hati patik untuk mempersendakan Tuanku yang amat patik hormati dan sanjungi selama ini," demikian permohonan maaf beliau dalam warkah berkenaan.
https://www.bharian.com.my/berit ... mohonan-maaf-sanusi
|