Kuala Lumpur: Sebanyak 300 cakera padat album terbaru Datuk Siti Nurhaiza berjudul Simetri Siti yang dijual secara ‘online’ hari ini habis ditempah dalam tempoh 20 minit. Siti berkata, jualan yang dibuat secara pra tempahan itu adalah eksklusif buat peminat dengan muka depan album khas yang turut disertakan sekeping poskad. “Mengikut perancangan tempahan awal album ini dibuka bermula hari ini hingga Selasa depan. Kami hanya meletakkan 300 unit, tetapi tak sangka pula ia habis awal. "Saya memang tak sangka dengan sambutan diberikan. Saya melihat ia kejayaan awal buat album ini. Semoga penjualannya lebih bagus selepas ini," katanya ketika ditemui di majlis pelancaran album itu, di sini, hari ini.
Single pertama album ini berjudul Segala Perasaan masih berada di kedudukan Top 10 carta iTunes sejak dilancarkan pada 24 April lalu. Sempena pelancaran album ini, Siti turut berkongsi dia menerima lebih 300 lagu sebelum memilih 10 lagu terbaik bagi dimuatkan dalam album ini. "Simetri Siti adalah album yang saya didedikasikan kepada peminat sebagai tanda terima kasih atas sokongan selama ini. Perkara itu dapat dilihat menerusi konsep album yang ditampilkan. "Selain itu saya turut mencipta sebuah lagu berjudul Penghiburku yang juga ditujukan khas untuk peminat," katanya. Album ke-18 Siti yang dipasarkan dalam format cakera padat dan digital itu mula berada di pasaran pada 10 Mei ini. Sumber: Harian Metro
|