LPT 2 Dari Bukit Payung Ke Bukit Besi Buka Akhir Tahun Ini
KUALA TERENGGANU, 14 April (Bernama) -- Lebuhraya Pantai Timur fasa dua (LPT 2), pakej Bukit Payung ke Bukit Besi dijangka dibuka pada akhir tahun ini setelah kerja-kerja menyiapkan lebuh raya di kawasan itu kini hampir siap 90 peratus.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri Datuk Za'aba Mohd Adib berkata, pembukaan lebuh raya Bukit Payung ke Bukit Besi itu melibatkan jalan sepanjang 64 kilometer.
"Bagaimanapun pakej-pakej lain masih ada yang belum siap, dan kita buka dulu pakej itu untuk kemudahan penduduk terutama dari Kuala Terengganu ke Bukit Besi, Dungun," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan mesyuarat Agung Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Terengganu (DPMMT) kali ke-38 di sini Khamis yang turut dihadiri oleh Pengerusinya Datuk Ir Tengku Ismail Tengku Jaafar.
Projek LPT 2 sepanjang 184 kilometer bermula dari Jabor, Kemaman dekat sini ke Kampung Gemuruh, bahagian utara Kuala Terengganu merupakan kesinambungan projek lebuh raya LPT Fasa 1 iaitu dari Karak ke Kuantan sepanjang 159 kilometer yang dimulakan pada Mac 2006 dengan anggaran kos awal projek sebanyak RM3.7 bilion.
Projek itu terbahagi kepada 16 pakej di mana 15 pakej dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya yang ditawarkan secara tender terbuka konvensional dan satu pakej lagi secara rundingan terus dikendalikan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia.
Projek yang sepatutnya siap pada akhir tahun lepas itu bagaimanapun mengalami masalah apabila beberapa orang kontraktor yang dilantik gagal menyiapkan kerja mengikut jadual yang ditetapkan berikutan masalah kenaikan harga barangan pembinaan di pasaran.
-BERNAMA- |