Khutbah Jumaat Perak tegaskan sikap taasub sucikan pemimpin melebihi had dibenarkan syarak
Foto hiasan
IPOH: Sikap taasub serta mengikut secara membuta tuli terhadap sesuatu keyakinan atau tokoh boleh membawa kepada kewujudan fahaman serta keyakinan melampau, sekali gus bertentangan ajaran Islam. Itu antara inti pati utama khutbah Jumaat bertajuk 'Mencegah Fahaman Melampau' dikeluarkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) yang disampaikan di seluruh masjid di negeri ini. Antaranya menyatakan bentuk kelakuan dipengaruhi keyakinan melampau seperti menyucikan kepemimpinan melebihi had dibenarkan syarak. Menurut khutbah itu, bentuk lain kelakuan dipengaruhi keyakinan sedemikian adalah seperti menyalahgunakan sumbangan yang disalurkan kepada rumah perlindungan amal selain melakukan amalan bertentangan syariat atau mengandungi unsur mempersendakan syariat seperti mengatur perkahwinan tanpa kebenaran wali.
"Dalam aspek akidah, akibat ketaasuban yang melampau maka lahirnya keyakinan yang menyucikan dan mentakdiskan kepimpinan melebihi had dibenarkan syarak, sehingga menganggap pemimpin tertentu mempunyai karamah atau keberkatan khusus yang perlu dimuliakan. "Dalam akhlak, menyalahgunakan sumbangan yang disalurkan kepada rumah perlindungan amal dengan sanggup menipu dan berbohong atau mempergunakan anak yatim untuk tujuan mendapat simpati bagi manfaat dan keuntungan kumpulan. "Hakikatnya tiada siapa pun yang boleh mendakwa dirinya sentiasa benar atau tindakannya sentiasa betul selain daripada rasul dan nabi. Sesungguhnya, manusia amat memerlukan nasihat dan teguran supaya dapat memperbetulkan kesilapan yang tidak disedari, ketelanjuran tidak disengajakan atau fahaman yang melampau," menurut khutbah itu. Khutbah itu turut menyatakan bentuk pengaruh keyakinan melampau dalam aspek politik iaitu menggunakan wasilah (perantara) yang sepatutnya digunakan untuk mentadbir urus hal ehwal kepemimpinan dengan jujur, ikhlas, amanah dan telus; namun bertukar kepada medan untuk mengaut sebanyak mungkin pengaruh. Ia juga menyatakan beberapa faktor yang menimbulkan fahaman melampau antaranya terpengaruh dengan ajaran salah yang disampaikan oleh orang yang tiada kelayakan bidang agama, selain kurang kefahaman ilmu hingga cenderung mentafsirkan teks dan nas-nas agama di luar maksud sebenar. "Tergamak melakukan fitnah, mengadu domba, bersifat munafik dalam persaingan serta dalam tujuan menjatuhkan pihak tertentu hingga bersedia mengorbankan kebenaran serta kepentingan umum tanpa mempedulikan kesan yang menjejaskan kesejahteraan dan ketenteraman negara," kata khutbah itu. "Selain itu, ianya adalah disebabkan sikap mengikut secara membuta tuli tanpa menyelidiki sesuatu tafsiran, ajaran dan pembawaan; serta terkandas dengan pengaruh hawa nafsu serta taksub yang berlebihan terhadap sesuatu keyakinan atau tokoh yang dipuja. "Lantaran taasub melampau, hati tertutup daripada menerima kebenaran dan sukar menerima teguran atau nasihat sekali pun fahaman yang diamalkan jelas bertentangan dengan ajaran Islam," menurut khutbah itu. Menurut khutbah itu lagi, Islam menuntut umatnya mengambil pendekatan sederhana yang lebih bersifat mengimbangi semua keadaan dengan kebaikan supaya menatijahkan fahaman dan kelakuan yang membawa kepada kesejahteraan hidup, termasuk menjauhi tindakan menjejaskan perpaduan sedia terjalin. "Sifat sederhana berupaya memupuk sifat keterbukaan dalam kalangan umat Islam, mengakui kelemahan dan kesilapan diri, maaf memaafkan sesama saudara seagama, menghindari fitnah dan adu domba serta menjauhi sifat mazmumah yang tercela. "Mimbar menyenaraikan kesimpulan iaitu Islam menekankan kesederhanaan dalam semua perkara dan fahaman serta tindakan melampau wajib dicegah kerana membawa kesan buruk yang boleh mengancam kesucian Islam serta memecahbelahkan kesatuan ummah dan perpaduan kaum," menurut khutbah itu.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/10/1312600/khutbah-jumaat-perak-tegaskan-sikap-taasub-sucikan-pemimpin-melebihi
|