Pendakwaan teruskan kes pecah amanah terhadap Najib
[size=14.399999618530273px]Najib hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan tuduhan pecah amanah membabitkan harta Kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion hari ini. NSTP/ROHANIS SHUKRI
KUALA LUMPUR: Pendakwaan meneruskan pendakwaan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah yang didakwa dengan enam tuduhan pecah amanah. Tuduhan itu membabitkan harta Kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC). Pada prosiding di Mahkamah Tinggi hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi, memaklumkan pihaknya tidak mengguna pakai Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah dalam kes berkenaan.
Seksyen itu menyentuh mengenai Pendakwa Raya yang boleh menolak untuk meneruskan pendakwaan pada mana-mana peringkat. Muhammad Saifuddin berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin, ketika mengemukakan hujahan sama ada mahkamah boleh membenarkan Najib dan Mohd Irwan dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) walaupun tiada permohonan daripada pendakwaan. Sementara itu, Muhammad Saifuddin berkata, pendakwaan tidak mempunyai kawalan terhadap dokumen sulit yang akan dinyahklasifikasi sebelum digunakan dalam perbicaraan kes berkenaan.
Muhammad Saifuddin berkata, ia membabitkan dokumen daripada Kementerian Kewangan, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang kini Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD). "Bagi dokumen membabitkan PETRA, ia masih dalam proses nyahklasifikasi, manakala bagi SPAD, oleh kerana ia dibubarkan, kami dimaklumkan dokumen kini tiada lagi dalam simpanan mereka. "Proses turun taraf dokumen berstatus rahsia dan sulit ini bukan di bawah kawalan pihak pendakwaan dan ia tertakluk kepada agensi terbabit yang memiliki dokumen berkenaan… sama ada dokumen boleh diturun taraf atau sebaliknya," katanya. Membalas hujahan itu, peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, dalam hujahannya menempelak pendakwaan kerana masih meneruskan pendakwaan ke atas anak guamnya. Muhammad Shafee mempersoalkan mengapa bekas Perdana Menteri dan Menteri Kewangan itu masih didakwa sedangkan dokumen yang akan digunakan dalam perbicaraan belum siap. "Mengapa dakwa anak guam saya sedangkan (pendakwaan) tidak bersedia? Beliau sudah dibebani dengan (begitu banyak kes lain)," katanya. Sementara itu, peguam Datuk SeriK Kumaraendran yang mewakili Mohd Irwan memohon anak guamnya diberikan DNAA kerana kes sudah berjalan selama enam tahun sejak ia kali pertama disebut di mahkamah. Bagaimanapun, Kumaraendran berkata, pendakwaan masih gagal menyerahkan semua dokumen dimohon pembelaan malah ada dokumen yang sehingga kini tidak diserahkan kepada pihaknya bagi menyediakan pembelaan.
"Yang Arif menetapkan tarikh perbicaraan tetapi kami tidak dapat meneruskan kerana kebanyakan dokumen penting tidak diberikan kepada kami dan mahkamah tidak dapat menjalankan perbicaraan yang adil. "Malah, ada dokumen yang tidak ada dalam milikan pendakwaan, bagaimana mereka hendak meneruskan kes? "Ini kali ketiga kami memohon DNAA kerana mahkamah memberi masa mencukupi untuk pendakwaan… Oleh itu, saya memohon mahkamah memberikan anak guam saya perintah DNAA," katanya. Muhammad Jamil kemudian menetapkan 27 November ini untuk mendengar hujahan lanjut semua pihak.
Pada 25 Oktober 2018, Najib dan Mohd Irwan Serigar mengaku tidak bersalah atas enam tuduhan pecah amanah ke atas harta Kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC). Mereka didakwa melakukan semua kesalahan itu di Kompleks Kementerian Kewangan di Putrajaya antara 21 Disember 2016 hingga 18 Disember 2017. Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/11/1328678/pendakwaan-teruskan-kes-pecah-amanah-terhadap-najib
|