|
Universiti terbaik: UM, UIA, UTM
Abdul Rahim Sabri | May 16, 08 6:47pm
dikemaskini Tiga universiti awam mendapat pengiktirafan sebagai universiti terbaik dalam kelas masing-masing daripada 17 institusi pengajian tinggi (IPT) yang dikaji taraf kualitinya.
Universiti Malaya mendahului dalam kategori universiti penyelidikan, Universiti Islam Antarabangsa mendapat tempat teratas (universiti umum) dan Universiti Teknologi Malaysia tempat pertama (universiti khusus).
Berdasarkan markah keseluruhan enam bidang yang dikaji, Universiti Malaya memperolehi 5 mata atau "cemerlang", Universiti Islam Antarabangsa mendapat 4 mata (sangat baik) dan Universiti Teknologi Malaysia (3 atau baik).
Keputusan ini, yang pertama kali diumumkan, hasil penilaian Sistem Penarafan Institusi Pengajian Tinggi Awam (Setara) selama dua tahun yang diselia oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
Ketika mengumumkan keputusan tersebut hari ini di kementeriannya di Putrajaya, menteri pengajian tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata penarafan ini bertujuan mengukur mutu, kebertanggungjawaban dan prestasi IPT.
Setara bermula dengan data yang dikutip dan dianalisis dalam projek rintis pada 2005 di 16 IPT dan penilaian tarafnya dijalankan setahun kemudian.
Kajian pertama sistem itu pula pada 2007 yang dibuat di 17 IPT awam dan melibatkan data-data tahun sebelumnya.
Satu pasukan tujuh anggota yang diketuai profesor Dr Che Husna Azhari dari Universiti Kebangsaan Malaysia melaksanakan Setara dan urusetianya di MQA.
Sistem Setara ini berasaskan enam bidang utama yang mengandungi 87 pengukur hasil perundingan dengan semua universiti tempatan.
Mohamed Khaled berkata, sistem ini berbeza dengan kaedah yang diguna pakai oleh Times Higher Education Supplement (THES).
"Domain yang mereka pakai antaranya ialah peer review (semakan rakan sejawat) dan persepsi majikan yang kebanyakan berdasarkan kepada persepsi, berbanding sistem kita lebih komprehensif yang menggunakan enam domain yang mengandungi 87 indikator," katanya.
Dalam kategori universiti penyelidikan, tempat kedua jatuh kepada Universiti Putra Malaysia dan ketiga Universiti Kebangsaan Malaysia (masing-masing 4 mata).
Bagi kategori umum, Universiti Teknologi Mara dan Universiti Malaysia Sabah masing-masing mendapat 4 dan 3 mata.
Universiti Teknologi Tun Hussein Onn dan Universiti Pendidikan Sultan Idris masing-masing berada di tempat kedua dan ketiga bagi kategori universiti khusus (kedua-duanya 2 mata atau memuaskan).
Mata 1 yang paling bawah dikategorikan sebagai lemah, diikuti memuaskan, baik, sangat baik, cemerlang dan terbilang (6 mata).
Mohamed Khaled berkata, keputusan lengkap kajian ini tidak didedahkan kepada media, sebaliknya diserahkan kepada IPT untuk tindakan.
"Saya fikir, sudah memadai masyarakat mengetahui setakat ini," katanya.
http://eputra.com/um-uia-utm-universiti-terbaik/ |
|