"Namun, banjir ialah pengalaman traumatik," katanya pada sesi rapat umum Indeks Keselamatan Kebangsaan (IKK) 2023 di sini hari ini.
Beliau berkata, situasi itu menarik perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sering memberikan keutamaan dan memandang serius projek tebatan banjir di seluruh negara.
"Kita tengok di dada akhbar, selalu keluar, bila Perdana Menteri (Anwar) pergi mana-mana, mesti fokus dia pada projek tebatan banjir sebab isu banjir ini makin lama menjadi lebih penting," katanya.
Untuk rekod, kerajaan memperuntukkan RM11.8 bilion bagi tujuan pelaksanaan 33 projek tebatan banjir berkeutamaan tinggi di seluruh negara melalui Belanjawan 2024.
Raja Nurshirwan berkata, IKK amat penting dalam usaha meningkatkan kesedaran rakyat terhadap bencana serta tahap keselamatan negara, sekali gus mempersiapkan rakyat dalam berhadapan sebarang bencana.
"Kalau kita tiada IKK, tugas kita untuk tingkat kesedaran isu keselamatan akan jadi masalah.
"Saya harap menerusi sesi penglibatan seperti ini, orang awam akan lebih berpengetahuan mengenai sebahagian cabaran ini," katanya.
Menerusi IKK, kerajaan mendapat maklum balas dan meningkatkan kesedaran rakyat mengenai aspek keselamatan serta memastikan wujud konsensus tentang isu keselamatan dalam kalangan rakyat di negara ini.
Sesi rapat umum IKK membincangkan mengenai sembilan teras digariskan dalam Dasar Keselamatan Negara (DKN) 2021-2025 iaitu kedaulatan dan keutuhan Malaysia, kestabilan sosiopolitik, tatakelola yang baik, keutuhan ekonomi, keadilan sosial, pembangunan mampan, keselamatan rakyat dan pengiktirafan antarabangsa.
IKK dilancarkan Anwar pada 30 Julai lalu sempena Bulan Keselamatan Negara 2024. Indeks itu instrumen pengukuran rasmi terhadap tahap keselamatan negara.