Syabu RM6 juta ditemui dalam Toyota Vellfire terbabas
[size=14.399999618530273px]Mohd Khairi (tengah) menunjukkan rampasan dadah jenis syabu dianggarkan seberat 200kg bernilai RM6 juta, pada sidang media di IPD Setiu, hari ini. - NSTP/Ghazali Kori
[size=14.399999618530273px]
SETIU: Polis Terengganu merampas 200 kilogram (kg) dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM6 juta ditemui dalam sebuah kenderaan mewah jenis Toyota Vellfire yang terbabas di Kampung Guntong Luar, di sini, kelmarin. Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin, berkata terdahulu polis menerima maklumat awam berhubung kegiatan disyaki pengedaran dadah menggunakan sebuah Toyota Vellfire berwarna hitam melalui jalan persekutuan. Beliau berkata, Unit Kereta Peronda Polis (MPV) kemudian berjaya mengesan kenderaan itu yang bergerak dari Kota Bharu, Kelantan, ke Kuala Terengganu melalui Kampung Bintang, kira-kira jam 11.45 pagi. "Susulan itu, polis mengekori kenderaan terbabit sejauh lima kilometer sebelum ia hilang dari pandangan disebabkan aliran trafik yang padat dan bentuk muka bumi berbukit. "Bagaimanapun, rondaan lanjut berjaya menjumpai kenderaan dijejaki itu dalam keadaan terbabas di hujung jalan di Kampung Guntong Luar. "Polis kemudian membuat pemeriksaan ke atas kenderaan itu tetapi mendapati tiada pemandu di dalamnya," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu, di sini, hari ini. Turut hadir ialah Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Wan Rukman Wan Hassan. Mohd Khairi berkata, hasil pemeriksaan lanjut ke atas Toyota Vellfire itu, polis menjumpai lapan guni berwarna putih dengan setiap satu mengandungi 25 peket plastik lutsinar disyaki berisi dadah jenis syabu yang keseluruhannya dianggarkan seberat 200kg dan bernilai RM6 juta. "Rampasan dadah itu adalah yang terbesar di Terengganu, tahun ini. Dadah itu dipercayai dibawa masuk dari negara jiran untuk pasaran sekitar Lembah Klang untuk kegunaan kira-kira 200,000 penagih," katanya. Beliau berkata, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan sindiket pengedaran dadah itu didalangi lebih daripada seorang suspek yang berjaya meloloskan diri dalam kejadian kelmarin. "Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9), Polis Diraja Malaysia (PDRM), serta pemeriksaan cap jari oleh pasukan forensik. "Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan itu mendapati nombor casis telah diganggu, selain menggunakan nombor pendaftaran palsu yang didaftarkan atas sebuah syarikat beralamat di Wilayah Persekutuan," katanya sambil memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/11/1325587/syabu-rm6-juta-ditemui-dalam-toyota-vellfire-terbabas
|