Dan segala susah payah itu bagaikan terbayar sebaik saja melihat lebih 3000 pengunjung membanjiri ruang legar Plaza Kotaraya semata-mata untuk menyaksikan finalis kesayangan mereka secara lebih dekat. Perasaan gusar dan debaran akibat bimbang dengan sambutan penonton gara-gara perubahan lokasi hilang serta merta apabila mengetahui pengunjung sudah berada di pusat beli belah sejak awal lagi iaitu 12 tengah hari biarpun persembahan hanya akan bermula pada jam 3 petang.
Bintang Akademi Fantasia 4, Diddy diberi tanggungjawab untuk menjadi pembuka tirai persembahan. Memilih single pertama Hilang sebagai pertaruhan, Diddy berjaya merubah emosi penonton supaya turut larut dalam alunan irama balada itu sebelum kembali menghangatkan suasana dengan lagu rancak Lena serta Sedang Ingin Bercinta yang disampaikannya bersama Farah Asyikin dan vokalis kumpulan Sofaz Are Meer. Riuh rendah suasana apabila Farah bergelek sakan saat mendendangkan lagu yang pernah dipopularkan kumpulan Dewa 19 itu.