Hanya beberapa bulan selepas dilantik sebagai peneman setia Diraja ataupun dikenali sebagai 'Consort Noble', Sineenat Wongvajirapakdi secara tiba-tiba dilucutkan gelaran dan juga pangkat ketenteraan selepas didakwa derhaka.
Sineenat didakwa melanggar tatacara kelakuan sebagai peneman diraja iaitu Raja Thai Maha Vajiralongkorn dan juga didakwa tidak setia kepada pemerintah Thailand itu.
Penyingkiran itu telah diumumkan secara khas melalui Royal Gazette hanya beberapa bulan selepas beliau dilantik sebagai gundik raja.
Foto: ProGressTH 789
Ianya menjadi isu apabila perlantikan Sineenat sebagai Consort Noble hanya beberapa bulan selepas Raja Thailand itu berkahwin dengan seorang bekas atendan serta timbalan ketua pasukan pengawal peribadinya iaitu Suthida Tidjai, sekali gus menjadikan Suthida sebagai permaisuri Thailand.
Sineenat dikatakan tidak berpuas hati dengan perlantikan Suthida sebagai Permaisuri dan cuba menghentikan upacara pertabalan dan menggesa supaya dirinya dilantik sebagai Permaisuri.
Namun, tiada apa yang berubah seperti diimpikan Sineenat, malah beliau kemudian bertindak licik supaya dirinya dianugerahkan dengan gelaran permaisuri.
Dalam pengumuman pada 28 Julai lalu, Raja Thailand telah menganugerahkan gelaran gundik paling mulia kepada Sineenat dengan harapan supaya isu dan permasalahan ini dapat diredakan dan menghalang sebarang tindakan yang dapat menganggu sistem monarki dan bangsa Thailand.
Beberapa hari kemudian, pihak istana mengeluar dan mengedarkan gambar memperlihatkan Sineenat yang lebih dikenali sebagai Koi berimej rambut pendek sedang memegang senjata dan sedang bersiap sedia untuk melakukan terjunan payung terjun sambil memegang tangan raja.
Menurut Channel Asia, pihak istana juga memakluman sejak perlantikan Sineenat, pelbagai masalah timbul seperti sikap ketidakpatuhan beliau kepada raja dan permaisuri serta sering mengeksploitasi gelaran dengan mengarah atas alasan diarahkan oleh Raja Maha Vajiralongkorn.
Dia juga dilaporkan 'tidak reti bergaul' dengan kehidupan istana dan sering menyebabkan perpecahan di kalangan rakyat istana sehingga menyebabkan rakyat salah faham.
Rakyat Thailand mengecam tindakannya dan menggelar Sineenat sebagai tidak mengenang budi, sekali gus menyebabkan penarikan jawatan dan gelaran Gundik Paling Mulia oleh Raja Thailand. - CARI |