|
160,000 kunjungi jelajah Jom Heboh di Bukit Jalil
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin
KONSERT D?entas yang berlangsung Ahad lalu di Bukit Jalil menjadi upacara penutup kepada siri jelajah Jom Heboh yang berlangsung selama dua hari.
Kira-kira setengah juta penduduk ibu kota membanjiri karnival anjuran TV3 itu, manakala pada hari pertama dianggarkan hampir 160,000 pengunjung menghadiri karnival berkenaan.
Pada karnival selama dua hari itu, pengunjung berpeluang beramah mesra dengan personaliti TV3, 8TV, ntv7, TV9, Hot FM dan Fly FM di gerai yang disediakan. Sebanyak 12 gerai didirikan khas untuk personaliti TV3 meluangkan masa bersama peminat mereka.
Gerai yang didirikan termasuklah Majalah 3, 999, Berita, Wanita dan banyak lagi. Malah gerai inilah yang menjadi tumpuan utama pengunjung.
Sebagai tanda terima kasih TV3 kepada penonton setianya di atas kunjungan mereka ke karnival Jom Heboh itu konsert membabitkan artis popular tempatan dihidangkan khas buat mereka. Konsert D?entas itu turut dipancarkan secara langsung selama dua jam di kaca televisyen.
Pada konsert itu saja lebih 50,000 penonton tidak melepaskan peluang menyaksikan persembahan hebat daripada artis pujaan mereka.
Penyanyi yang terkenal dengan suara soprano, Ning Baizura membuka tirai persembahan konsert malam itu dengan mendendangkan sebanyak empat lagu iaitu Bukan Sebarangan, Curiga, Awan Yang Terpilu serta Kau dan Aku.
Artis lain yang turut menyerikan konsert ialah Hazami yang memilih lagu Sonata Musim Salju, Diari Cinta Kita, Hanya Kerna. Sharifah Zarina pula mengalunkan sebanyak dua lagu iaitu Langit Ke-7 dan Lelaki Buaya Darat.
Kemunculan Mawi memang tidak boleh dinafikan amat dinantikan penonton malam itu. Mawi mendendangkan lagu yang berjaya mengangkatnya sebagai juara Akademi Fantasia 3, Aduh Saliha. Tidak ketinggalan, penyanyi yang berasal dari Felda Taib Andak, Kulai, Johor itu turut berduet bersama rakan seperjuangannya Felix menerusi lagu Lagu Jiwa Lagu Cinta dan lagu Kian.
Turut menghangatkan suasana di Bukit Jalil ialah Fauziah Latiff antara lagu yang didendangkan seperti Hari Yang Istimewa, Dia dan Teratai Layu Di Tasik Madu. Tidak ketinggalan kumpulan OAG yang muncul dengan pakaian baju Melayu menyanyikan lagu Beautifool, Senyuman Ragamu, Konspirasi Bising International, sementara Ella pula mengakhiri konsert berkenaan dengan mendendangkan lagu Permata Pemotong Permata, Nuri, Layar Impian, Gemilang, Heaven dan Teruja. Sebelum menutup tirai siri penjelajahan Jom Heboh di Kuala Lumpur, ke semua artis menyanyikan lagu wajib karnival itu iaitu Let? Get Loud.
Konsert D?entas dihoskan personaliti popular stesen televisyen itu iaitu Ally Iskandar yang turut dibantu dua hos radio Hot FM, Faizal Ismail dan Kartini.
Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama TV3, Farisha Pawan Teh berkata, walaupun kekurangan tenaga kerja berikutan dua lagi acara penting berlaku serentak iaitu persandingan Siti Nurhaliza di Kuala Lipis, Pahang dan konsert Mentor di Butterworth namun beliau tetap berpuas hati dengan pencapaian Jom Heboh.
?ami amat berpuas hati dengan sambutan yang diberikan orang ramai terhadap karnival Jom Heboh ini. Walaupun semalam keadaan cuaca tidak menentu tapi orang ramai masih terus membanjiri Bukit Jalil,? katanya. |
|