PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS
Zakat Fitrah Menyucikan
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَكَاةَ الْفِطْرِ طُهْرَةً لِلصَّائِمِ مِنْ اللَّغْوِ وَالرَّفَثِ وَطُعْمَةً لِلْمَسَاكِينِ مَنْ أَدَّاهَا قَبْلَ الصَّلاَةِ فَهِيَ زَكَاةٌ مَقْبُولَةٌ وَمَنْ أَدَّاهَا بَعْدَ الصَّلاَةِ فَهِيَ صَدَقَةٌ مِنْ الصَّدَقَاتِ
Daripada Ibnu Abbas RA berkata, Rasulullah SAW mewajibkan zakat fitrah sebagai satu pembersihan bagi orang-orang yang berpuasa daripada perbuatan yang sia-sia dan perkataan kotor, dan sebagai makanan untuk orang miskin. Sesiapa yang membayar zakat fitrah sebelum solat (Aidil Fitri) maka ia adalah zakat yang diterima (oleh Allah) baginya. Sesiapa yang membayarnya selepas solat (Aidil Fitri) maka ia adalah sedekah seperti sedekah biasa. (Sunan Abi Daud No: 1609) Maktabah Asriyyah Status: Hadis Hasan
Pengajaran:
1. Zakat fitrah menjadi pembersih (penampal kekurangan puasa seseorang sepanjang Ramadhan) yang disebabkan oleh perbuatannya yang mungkin sia-sia atau perkataannya yang mungkin kotor. Dengan membayar zakat fitrah, amalan seseorang di sepanjang bulan Ramadhan kembali bersih seperti salji putih.
2. Zakat fitrah bertujuan untuk memastikan orang miskin mendapat makanan yang secukupnya agar dengan itu mereka dapat meraikan Aidil Fitri dalam suasana kecukupan bersama seluruh umat Islam yang lain. Islam tidak ingin melihat di hari pertama Syawal ada orang yang meminta-minta padahal di kalangan umat Islam ada yang meraikannya dalam suasana kecukupan.
3. Zakat fitrah boleh dibayar bermula dari 1hb Ramadhan sehingga sebelum solat Sunat Aidil Fitri pada 1hb Syawal sama ada secara online mahupun kepada amil yang dilantik.
4. Zakat fitrah yang dikeluarkan selepas solat sunat hari raya Aidil fitri tidak menjadi zakat tetapi hanya menjadi sedekah biasa. Dia tetap menanggong dosa kerana tidak membayar zakat.
5. Golongan yang wajib membayar zakat fitrah adalah yang memenuhi syarat berikut:
a. Islam
b. Hidup ketika terbenam matahari pada hari terakhir Ramadhan iaitu ia sempat bertemu dengan juzuk terakhir Ramadhan dan juzuk terawal Syawal.
c. Orang yang mampu, mempunyai lebihan harta pada malam hari raya dan juga siangnya setelah ditolak belanja keperluan diri dan orang-orang yang berada di bawah tanggungannya (termasuklah binatang peliharaannya) merangkumi makanan, pakaian, sewa rumah dan juga hutang. Walaupun nilai lebihan hanya bernilai cukup untuk zakatnya seperti RM 7.00 Jika tidak mempunyai lebihan harta yang mencukupi untuk membayar harga zakat yang ditetapkan maka tidak wajib ia mengeluarkan zakat fitrah
Moga zakat fitrah yang dikeluarkan akan menjadi penampal kekurangan ibadat puasa kita. Bagi yang wajib mengeluarkan zakat harta, jangan terlupa nak bayar zakat harta pula.
06hb April 2024 26hb Ramadan 1445H
|