Siti Hajartul Haini dalang kes tipu jual emas ditahan sejurus tiba dari Dubai
Siti Hajartul Haini dalang kes tipu jual emas ditahan sejurus tiba dari Dubai.
KUALA LUMPUR: Wanita yang dikehendaki polis, Siti Hajartul Haini Abd Hamid, berhubung penipuan jualan emas membabitkan kerugian jutaan ringgit ditahan pihak berkuasa semalam. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata wanita berusia 37 tahun itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas sebaik tiba dari Dubai. "Suspek direman di Mahkamah Alor Setar hari ini bagi membantu siasatan," katanya. Media sebelum ini polis sedang mengesan seorang wanita yang disyaki mendalangi kegiatan penipuan penjualan emas dengan memperdaya orang ramai membeli emas dengan harga murah membabitkan kerugian lebih RM7 juta.
Ramli yang dipetik berkata sejak September lalu, pihaknya sudah menerima 18 laporan polis berkait wanita itu membabitkan nilai keseluruhan kerugian sebanyak RM7.03 juta. Melalui siasatan dijalankan, suspek dikatakan menjual barang kemas pada harga lebih rendah daripada pasaran semasa iaitu sekitar RM150 hingga RM200 bagi satu gram emas. Pembeli yang berminat bagaimanapun perlu menunggu selama beberapa minggu sebelum barang kemas tersebut diperoleh. Pada awalnya, pembeli menerima barang kemas yang dijanjikan dan ia mengakibatkan mereka yakin dengan tawaran yang dibuat, bagaimanapun bermula Julai lalu pembeli tidak menerima barang kemas yang ditempah dan suspek juga telah gagal dihubungi. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/10/1314737/siti-hajartul-haini-dalang-kes-tipu-jual-emas-ditahan-sejurus-tiba-dari
|