BELL Ngasri terkejut apabila melihat namanya tersenarai individu mahu disaman Rosyam Nor.
SHAH ALAM – Pelakon dan pelawak Bell Ngasri mengakui terkejut apabila melihat namanya tersenarai individu mahu disaman aktor Datuk Rosyam Nor atas dakwaan menyebar fitnah baru-baru ini.
Tampil mempertahankan diri, Bell atau Nasrizal Ngasri, 44, berkata, dia menegaskan perkara tersebut berlaku disebabkan wujud beberapa akaun Facebook palsu yang menggunakan namanya dan menghasilkan konten tidak benar mengenai isu selebriti lain.
“Kecoh apabila Rosyam membuat laporan polis dan tiba-tiba ada nama saya tersenarai.
“Bila pula saya bercerita tentang hal orang? Rupanya fan page akaun palsu.
“Jadi bila Rosyam nak saman, saya jadi risau sebab saya ini penakut sikit. Terus saya jelaskan dalam Instagram dan buat klarifikasi bahawa itu bukan Facebook saya,” katanya kepada Kosmo! Online baru-baru ini.
Dia juga mengakui berasa lega selepas Rosyam mengetahui perkara sebenar sebaliknya individu tidak bertanggungjawab yang mengendalikan akaun Facebook tersebut.
“Alhamdulillah rupa-rupanya dia memang dah tahu itu kerja orang lain.
“Tapi yang menggelupur saya seorang dan ramai pula guna nama artis untuk buat fan page selain hasilkan cerita mengarut yang berbaur fitnah,” ujarnya.
Dalam pada itu, dia masih tidak mengetahui tindakan atau langkah yang perlu diambil bagi membendung perkara tersebut.
Namun, Bell memberitahu pernah menegur akaun palsu yang menyebarkan cerita berunsur fitnah namun tidak mendapat sebarang respon.
“Saya bukan tak nak ambil tindakan tetapi saya tak tahu nak buat apa sebab tegurab pun sudah dibuat.
“Tapi saya tidaklah terfikir sampai nak buat laporan polis walaupun sekarang makin dipijak-pijak pula bila berdiam diri,” katanya lagi.
Terdahulu, Rosyam tampil membuat laporan polis berhubung dakwaan dirinya difitnah dalam media sosial apabila dikatakan mengeluarkan kenyataan tidak benar dengan memberi nasihat kepada Fattah Amin.
Menerusi hantaran yang dibuat, Rosyam memuat naik tangkap layar akaun media sosial yang terlibat dan salah satunya ialah akaun Facebook menggunakan nama Bell Ngasri.
Namun, Bell segera tampil menjelaskan kekeliruan tersebut dengan menegaskan akaun tersebut adalah palsu dan sekadar menggunakan namanya.
Sebelum itu, seorang wanita memuat naik kenyataan berbaur fitnah kononnya Rosyam pernah menasihati Fattah sebelum membuat keputusan mendirikan rumah tangga. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2024/10 ... -ini-penakut-sikit/