Pandangan hukum GISBH dipersembah kepada Majlis Raja-Raja hari ini, esok
Dr Zulkifli Hasan pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan membentangkan keputusan pandangan hukum berkaitan GISB Holdings (GISBH) kepada Majlis Raja-Raja (MRR) yang bersidang hari ini dan esok. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata keputusan berkenaan sudah diperkenan Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI), Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah. Ia selepas kajian mengenainya dibentangkan pada Mesyuarat MKI Ke-25 yang bersidang dari 24 hingga 26 September lalu, yang menimbang dan memutuskan pandangan hukum berkaitan GISBH. "Sehingga kini, sebanyak enam negeri sudah membuat ketetapan hukum berkaitan GISBH.
"Mohon doakan supaya kita dapat memelihara dan menjaga akidah umat Islam di Malaysia," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini. Beliau menjawab soalan asal Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) mengenai punca Tariqat Aurad Muhamadiyah masih diamalkan pengikut Al Arqam sedangkan kedua-duanya sudah difatwakan sesat pada 1994. Bulan lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, memaklumkan isu berkaitan GISBH dibawa ke MKI bagi memutuskan persoalan berkaitan akidah. Sebelum ini, Melaka, Perlis, Selangor, Terengganu, Pulau Pinang dan Sabah sudah memutuskan kepercayaan dan ajaran GISBH sebagai ajaran sesat.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/10/1314874/pandangan-hukum-gisbh-dipersembah-kepada-majlis-raja-raja-hari-ini
|