|
Post Last Edit by srisaujana at 3-11-2009 17:34
Nadia selesa urus kerjaya sendiri
Credit: Sinar Harian Online Selasa 3-11-2009
Lakukan dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh. Itulah prinsip hidup yang dipegang oleh bekas pelajar rancangan realiti nombor satu negara, Akademi Fantasia (AF) musim keenam, Nadia Haswani Hasnan atau Nadia, 19.
Baginya, sesuatu yang dilakukan mestilah disertakan keikhlasan dan kesungguhan sekiranya ingin meraih kejayaan dalam nyanyian. Menurutnya, pergilah sejauh mana pun, Nadia akan tetap menjadi dirinya sendiri.
Bagaimanapun, kata Nadia, sukar untuk membuat orang lain menyukai dan mengikut rentaknya kerana sekali-sekala dia perlu juga mengambil kira pendapat orang lain seperti peminatnya yang ditubuhkan melalui Nadia Fan Club (FC).
Nadia turut akui, setelah mencapai tahap dikenali, terdapat segelintir manusia yang berhasad dengki dan tidak berpuas hati dengan pencapaiannya.
“Manusia memang tidak sempurna. Begitu juga diri saya. Sebab itu saya lebih senang memilih menguruskan kerjaya seni saya di bawah syarikat pengurusan saya sendiri, Nadia Cribs Entertainment. Dengan cara ini saya lebih berpuas hati kerana jika berlaku salah dan silap, ianya daripada saya sendiri.
“Paling tidak pun, ia melibatkan keluarga saya kerana mereka turut membantu dan menyokong saya dalam penubuhan syarikat ini.,” kata Nadia yang kini turut aktif melebarkan bakat seninya dalam bidang lakonan dan penulisan lirik.
Terbaru, Nadia bakal muncul dengan singlenya yang terkini diberi judul Kita Sama. Lirik lagu ini adalah cubaan pertama kali Nadia menceburkan diri dalam bidang penulisan lirik manakala lagunya dikompos oleh Amir.
Lagu bergenre rock dan catchy ini mengisahkan serba sedikit mengenai percintaan pasangan remaja yang sering kali putus di tengah jalan.
“Single ini sudah pun siap dirakam dan sekarang ini saya sedang usahakan untuk ia diputarkan di stesen-stesen radio tempatan,” cerita Nadia yang sekarang kini memilih Dream Music sebagai syarikat rakamannya. |
|