Pakatan Harapan (PH) mengumumkan akan membentuk kerajaan bersama beberapa parti di luar gabungan itu.
Keputusan tersebut diumumkan oleh Pengerusi Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim malam ini dalam sidang media di Hotel Dorset, Subang Jaya, Selangor.
"Kita menerima keputusan dan menghormati mandat rakyat. Sebagaimana kita sedia maklum, PH adalah blok terbesar yang menang PRU 15.
"Sejurus selepas itu, kita faham tidak ada parti perolehi majoriti dalam parlimen dan memerlukan beberapa proses perbincangan dan perundingan.
"Saya maklumkan bahawa kami telah mencapai persefahaman dan persetujuan untuk membentuk kerajaan apabila diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong (berdasarkan majoriti diperolehi)," katanya.
Ahli Parlimen Tambun itu berkata, PH adalah blok terbesar yang menang kerusi pada Pilihan Raya Umum ke 15 dan akan mempersembahkan majoriti yang dimiliki bersama gabungan parti parti lain kepada Yang di-Pertuan Agong dalam tempoh segera.
"Pertama (PH) dari blok terbesar dan keduanya telah memperolehi jumlah sokongan Ahli Parlimen mencukupi untuk membentuk kerjaaan dengan majoriti mudah.
"Kami telah memperolehi majoriti secukupnya. Majoriti maknanya lebih daripada 111," katanya.
Bagaimanapun Anwar enggan mendedahkan majoriti tersebut menjawab soalan media sebelum mempersembahkannya kepada Agong.
"(Ia) melibatkan parti peringkat nasional, wilayah. Kita ada dokumen yang telah disediakan dan kita akan hantar kepada Agong sesegera mungkin," katanya lagi.
|