Dua sahabat didakwa noda penuntut IPT
Anggota polis mengiringi Muhamad Fikrii (dua dari kiri) dan Muhammad Fakrullah untuk didakwa atas dua pertuduhan merogol dan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap seorang gadis di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini. FOTO ROSALWANI CHE SOH/ KOSMO!
KOTA BHARU – Dua rakan yang bekerja sebagai buruh didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan merogol dan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap seorang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dua bulan lalu. Muhamad Fikrii Firdaus Mohamad Fairus, 23, dan Muhammad Fakrullah Roslan, 20, bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan itu di hadapan Hakim Zulkifli Abllah. Mereka berdua didakwa melakukan perbuatan terkutuk itu terhadap mangsa yang berusia 18 tahun 1 bulan di sebuah rumah di Bachok pada pukul 1 pagi, 4 Ogos lalu. Mereka didakwa mengikut Seksyen 376(1) dan Seksyen 377C Kanun Keseksaan. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Norizaidah Abdul Salam dan Mohd. Firdaus Zainal Abidin. Mahkamah membenarkan jaminan RM15,000 ke atas kedua-dua tertuduh dan menetapkan syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis terdekat selain tidak mengganggu saksi pendakwaan. Kedua-dua tertuduh membayar wang ikat jamin seperti yang ditetapkan oleh mahkamah. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2024/10 ... pt/#google_vignette
|