KEMAMAN – Tiga nelayan bersaudara menghadapi saat cemas hanyut di lautan selama hampir 48 jam setelah bot dinaiki mereka rosak ketika menangkap ikan dan mencandat sotong di perairan Kerteh di sini sejak kelmarin.
Enjin bot nelayan kelas A yang dinaiki Mokhtar Yusoff, 69; anaknya, Mohd. Syukri, 46; serta adiknya, Mohd. Nasir, 46, mengalami kerosakan bateri menyebabkan terhanyut sehingga ke perairan Kuantan Pahang.
Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Kemaman, Muhammad Faisal Abdul Rahim berkata, bot dinaiki tiga sekeluarga itu ditemui nelayan tempatan pada kedudukan kira-kira 46.3 kilometer berhampiran tenggara perairan Kemaman pada pukul 5.30 pagi tadi.
“Maritim Malaysia (APMM) telah menggerakan bot Perkasa 49 ke lokasi penemuan.
“Kami mengambil keputusan membawa pula Mokhtar yang kurang sihat terlebih dahulu, manakala dua lagi mangsa berada di dalam bot yang sedang ditunda nelayan lain,” katanya di Pejabat Maritim Zon Kemaman di sini hari ini.
Muhammad Faisal berkata, Mokhtar selamat tiba di Pengkalan Hadapan Maritim Zon Kemaman dan disambut penuh kesyukuran pada pukul 1 tengah hari.
Tambah beliau, bot dinaiki Mohd. Syukri dan Mohd. Nasir yang ditunda pula tiba di jeti sama pada pukul 4 petang.
“Operasi mencari dan menyelamat (Op Carilamat) dilancarkan APMM sebaik menerima maklumat kehilangan tiga nelayan tradisional tersebut pada pukul 2.15 petang semalam,” katanya. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2024/10/17/tiga-nelayan-hanyut-48-jam-ke-perairan-kuantan/