PETALING JAYA – Empat lokasi di Semenanjung Malaysia dijangka mengalami kenaikan paras air laut ekoran fenomena air pasang besar atau dikenali sebagai Air Pasang Perbani bermula 15 hingga 18 November ini.
Menurut kenyataan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) di Facebook rasminya, kawasan-kawasan di bahagian barat Semenanjung Malaysia bakal terjejas akibat fenomena air pasang ekstrem ini.
“Antara lokasi yang dijangka berisiko ialah Pekan Teluk Intan di Perak yang akan terkesan pada 15 hingga 17 November, diikuti Terminal Penumpang South Port di Pelabuhan Klang, Selangor, pada 16 hingga 17 November.
“Seterusnya, Pekan Kukup di Johor dan Pekan Kuala Kedah di Kedah pula diramalkan mengalami fenomena ini pada 16 hingga 18 November,” katanya.
Jupem turut menjelaskan bahawa fenomena ini berlaku akibat daripada kenaikan paras air laut yang lebih tinggi daripada biasa dan boleh menyebabkan limpahan air laut ke daratan, sekaligus meningkatkan risiko banjir pantai.
Orang ramai terutamanya golongan berisiko diingatkan supaya lebih berwaspada dan merancang untuk menghadapi bencana alam ini. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2024/11/13/klang-kuala-kedah-kawasan-potensi-banjir-mulai-jumaat-ini/