MPPD sita khemah tanpa penyewa di pantai Telok Kemang
Kakitangan MPPD sita khemah di sekitar Pantai Telok Kemang, Port Dickson pada 5 dan 6 Oktober lalu. - Foto FB MPPD
SEREMBAN: Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) menyita sembilan unit khemah biru yang dipasang tanpa penyewa di sekitar Pantai Telok Kemang, Port Dickson dekat sini. MPPD dalam kenyataan di Facebook memaklumkan bahawa tindakan itu adalah hasil operasi pemantauan dan kawalan khemah biru di pantai berkenaan oleh anggota penguat kuasa MPPD pada 5 dan 6 Oktober lalu. "Hasil pemantauan tersebut, sembilan unit khemah bersaiz 10'x10' yang dipasang tanpa penyewa telah disita. Tindakan penguatkuasaan seperti ini dijalankan secara berkala dan berterusan," menurut kenyataan itu. Sebelum ini, media melaporkan Kerajaan Negeri Sembilan akan berbincang dengan pengusaha khemah di sekitar Pantai Telok Kemang dalam waktu terdekat, susulan isu deretan khemah sewa di kawasan itu yang didakwa mengganggu pemandangan orang ramai. Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri Sembilan Nicole Tan Lee Koon berkata pelbagai aspek akan dinilai sebelum membuat keputusan memandangkan kebanyakan pengusaha telah lama beroperasi dan menjalankan perniagaan di situ. – BERNAMA
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/10/1308632/mppd-sita-khemah-tanpa-penyewa-di-pantai-telok-kemang
|