MOM cadang kaedah baharu pemilihan atlet ke Sukan SEA 2025
KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sedang membincangkan untuk memperkenalkan kaedah kelayakan baharu bagi penyenaraian atlet negara bertanding di Sukan SEA ke-33 di Thailand 2025. Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Najib berkata, kaedah kelayakan baharu itu sedang diteliti dengan tujuan memastikan hanya atlet yang benar-benar layak dibenar beraksi di temasya dwitahunan itu selain lebih telus. Menurut Nazifuddin, segala perincian termasuk membabitkan kaedah kelayakan itu termasuk kriteria akan ditentukan pada penghujung tahun ini. "MOM pada minggu ini sudah berjumpa dengan semua persatuan sukan dan kita lihat adalah lebih baik ada satu kriteria kelayakan baharu untuk setiap sukan dan bukan satu kriteria yang menyeluruh sebagai contoh seperti kategori A, B, tiga terbaik, enam terbaik, dan sebagainya," kata Nazifuddin selepas mesyuarat Majlis Eksekutif MOM ke-210, hari ini.
"Kita mahu setiap pasukan bincang balik dan mendapatkan kriteria untuk Sukan SEA yang mereka rasa terbaik dalam merit dan prestasi atlet. "Jadi kita akan bawa perkara ini dalam mesyuarat jawatankuasa pemilihan yang akan datang. Kita percaya untuk setiap sukan mereka mempunyai kriteria kelayakan yang tersendiri yang kita boleh boleh kongsi dengan orang awam agar semua orang tahu jika nak jadi atlet contohnya 100 meter pencapaian masanya berapa." Nazifuddin berkata, kaedah kelayakan terbaharu akan lebih terbuka dan teliti. "MOM akan dapat input daripada persatuan. Kita akan kerjasama dengan persatuan apa kriteria paling penting bagi mereka," kata Nazifuddin. Sukan SEA 2025 dijadual diadakan pada 9 hingga 20 Disember depan.
https://www.bharian.com.my/sukan/lain-lain/2024/09/1304092/mom-cadang-kaedah-baharu-pemilihan-atlet-ke-sukan-sea-2025
|