"Jumlah rampasan dadah itu dianggarkan bernilai RM38,068 dan dipercayai boleh dibekalkan kepada 20,320 pengguna dalam tempoh sehari dengan mengambil kira penggunaan harian sebanyak 0.5 gram.
"Dalam operasi itu, polis turut menyita sebuah kenderaan jenis Toyota GT86 bernilai RM200,000. Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan ialah RM238,068," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, di sini, hari ini.
Mohd Iqbal berkata, sindiket pengedaran dadah terbabit dipercayai bergiat aktif sejak setahun lalu, namun kedua-dua suspek warga tempatan itu didapati tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan negatif ujian saringan air kencing.
"Berdasarkan hasil siasatan, kedua-dua suspek disyaki menyewa unit kondominium pada harga RM3,800 sebulan sejak setahun lalu dan menjadikannya sebagai tempat pembungkusan dadah.
"Hasil siasatan juga mendapati kedua-dua suspek dilahirkan di luar negara dan berasal daripada keluarga berada. Namun, ibu bapa masing-masing dipercayai tidak mengetahui kegiatan anak mereka itu," katanya.
Beliau berkata, modus operandi terbabit ialah suspek disyaki menggunakan platform media sosial untuk mendapatkan pelanggan, sebelum menghantar bekalan dadah yang diperoleh dari Thailand kepada pelanggan secara bersemuka.
"Dadah terbabit dipercayai dijual dari harga serendah RM50 hingga RM500 mengikut permintaan pelanggan di sekitar Lembah Klang.
"Berdasarkan hasil siasatan, pendapatan diperoleh suspek disyaki daripada kegiatan sindiket itu dianggarkan melebihi RM300,000 sebulan," katanya.
Beliau berkata, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari hingga esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/10/1305759/pasangan-kekasih-keluarga-berada-direman-kes-sindiket-pengedaran-dadah