Kerajaan naikkan unjuran ekonomi tahun ini kepada 4.8 hingga 5.3 peratus
Gambar fail. Bandaraya Kuala Lumpur. - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kerajaan menaikkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2024 kepada antara 4.8 hingga 5.3 peratus, lebih kukuh berbanding unjuran sebelum ini antara 4.0 peratus hingga 5.0 peratus sebelumnya. Bagi 2025, kerajaan juga yakin ekonomi negara berkembang kukuh antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus, didukung langkah dan strategi Belanjawan MADANI Ketiga 2025. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata prestasi ekonomi mengatasi jangkaan, sama ada dari segi pertumbuhan, pelaburan dan nilai ringgit, menggambarkan keyakinan pelabur dan kejayaan awal daripada langkah pembaharuan Ekonomi MADANI.
Malah, beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, Bank Dunia juga menaikkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia kepada 4.9 peratus berbanding 4.3 peratus yang diunjurkan sebelumnya pada April lalu. Katanya, meskipun ekonomi dunia tidak menentu berikutan ketidaktentuan geopolitik tidak berkesudahan, kedudukan ekonomi negara kalis cabaran dan terus mengukuh. "Pertumbuhan ekonomi suku kedua 2024 mencapai 5.9 peratus berbanding 4.2 peratus suku pertama. Pengangguran setakat Ogos 2024 menurun kepada 3.2 peratus, kadar ini terendah sejak Januari 2020. "Tahap inflasi Ogos 2024 turun 1.9 peratus setelah tiga bulan berturut-turut berada pada paras dua peratus," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini. Bagi separuh pertama 2024, Anwar berkata, negara berjaya meraih pelaburan diluluskan RM160 bilion melonjak berbanding RM135.6 bilion. Beliau berkata, ringgit juga diiktiraf salah satu mata wang dengan prestasi terbaik di dunia, dengan kesungguhan semua pihak berjaya mengukuhkan ringgit 14.4 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam suku ketiga 2024, pencapaian terbaik sejak 1973. Katanya, sejarah juga tercipta tahun ini apabila nilai pasaran ekuiti domestik mencecah angka tertinggi melepasi RM2 trilion selain Indeks Bursa FBM KLCI kembali melepasi 1,600 mata. "Kita berjaya kekalkan taraf kredit berdaulat oleh Moody's, S&P Global dan Fitch masing-masing pada A3, A- dan BBB+ dengan tinjauan 'stabil'. "Firma terkemuka global turut meningkatkan taraf pasaran saham Malaysia iaitu JP Morgan kepada taraf (neutral), HSBC (neutral), Goldman Sachs (neutral) dan Nomura (wajaran tinggi)," katanya.
https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2024/10/1312721/kerajaan-naikkan-unjuran-ekonomi-tahun-ini-kepada-48-hingga-53
|