"Jentera dan gerak kerja berkenaan telah mula dilaksanakan berdasarkan pelan yang menyeluruh dan ia akan bergerak seiring dengan semua agensi berkaitan termasuk di peringkat negeri untuk mewujudkan keharmonian dan menangani isu ini (GISBH) secara tuntas.
"Alhamdulillah, banyak pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menawarkan khidmat dari beberapa perspektif untuk membantu bekerjasama dengan kita (JAKIM)," katanya.
Beliau ditemui media selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Kelestarian Insan Kali Ke-8 di Klana Resort di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn, Prof Datuk Dr Ruzairi Abdul Rahim.
Dalam pada itu, Zulkifli berkata, pihaknya menyambut baik kesediaan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) untuk menawarkan khidmat bantuan guaman dan pemulihan kepada wanita dan kanak-kanak yang menjadi mangsa dalam isu berkaitan dengan GISBH.
"Alhamdulillah, kita menyatakan terima kasih kepada PGSM, sebenarnya banyak pihak yang menyatakan kesediaan untuk menawarkan perkhidmatan masing-masing," katanya.
Semalam, Presiden PGSM, Musa Awang dalam kenyataan yang disiarkan media menyatakan kesediaan pihaknya untuk menawarkan bantuan guaman dan pemulihan kepada wanita dan kanak-kanak yang menjadi mangsa dalam isu GISBH.
Musa menyatakan bantuan dan kerjasama itu termasuk memberikan nasihat guaman syariah, membawa permohonan ke Mahkamah Syariah berhubung pengesahan status nikah, pengesahan status nasab anak-anak, hak penjagaan anak-anak oleh kaum kerabat dan sebagainya.
Mengulas lanjut operasi pihak berkuasa agama negeri dan siasatan PDRM yang mempercayai terdapat dalam kalangan GISBH dipercayai masih mengamalkan ajaran Aurad Muhammadiyah, Zulkifli berkata, orang ramai perlu menunggu siasatan lanjut pihak berkuasa berkenaan.
"Kita perlu rujuk pihak berkuasa yang melakukan siasatan (bagi mendapatkan pengesahan) dan buat masa ini biar pihak berautoriti mengeluarkan kenyataan mengenainya," katanya.
Kelmarin, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menegaskan kemungkinan ada usaha mengamalkan ajaran Aurad Muhammadiyah berikutan hasil penemuan buku-buku dan risalah berkaitan tarekat itu melalui serbuan dijalankan polis di premis GISBH.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/09/1302744/gisbh-jakim-tumpu-aspek-akidah-kebajikan-kanak-kanak-dan-wanita