Kuala Lumpur: "Masih sukar nak mendapat tempahan telur sekarang walaupun ramai kata bekalan telur mencukupi," itu kata Md Sentu Sheikh Abdul Jullil, 42, pekerja Pasar Raya Pemborong Bhuiyen Sdn Bhd di Jalan Haji Hussein berhampiran Pasar Raja Bot, di sini.
Tinjauan 1 tengah hari di kedai berkenaan yang menjual ikan, daging, ayam, udang, sotong, telur, barangan runcit dan lain-lain itu mendapati hanya tinggal telur ayam kampung dijual.
Telur ayam kampung itu dijual pada harga RM18 sepapan 30 biji.
Md Setu berkata, sejak beberapa bulan lalu sukar mendapatkan telur ayam biasa.
"Lima hingga enam hari sekali baru sampai bekalan telur. Itupun jika tempah 2,000 papan, biasanya yang kami terima sekitar 300 papan hingga 400 papan sahaja.
"Paling tinggi pun kami terima adalah 600 papan. Biasanya dalam sehari boleh habis dan saya terpaksa mengehadkan pelanggan hanya boleh beli dua papan seorang," katanya.
Beliau berkata, di kedainya hanya menjual telur gred B, C dan D sebab lebih mudah dijual kerana murah iaitu sekitar RM12.30 hingga RM12.90 sepapan dengan anggaran keuntungan 40 sen sepapan.
Bagi peniaga kedai tomyam di Sentul, Osman Yusof, 53, berkata dia selalu terpaksa mencari telur di beberapa kedai bagi memastikan perniagaan diusahakan selama 30 tahun tidak terganggu.
"Dalam dua bulan kebelakangan ini memang kena cari telur di merata KL.
"Sudahlah susah cari, harga pula naik kepada RM18.50 sepapan berbanding biasanya RM11.50, RM13.50 atau RM14.50 sepapan mengikut ditawarkan kedai.
"Sebagai peniaga kedai tomyam, sehari saya menggunakan dua hingga tiga papan telur. Jadi stok kena cari di beberapa kedai sebab polisi kedai yang mengehadkan jualan telur. Saya juga terpaksa tempah awal hubungi peniaga untuk tolong simpankan stok telur," katanya.
Menurutnya, walaupun ada kenaikan harga barangan mentah termasuk telur namun dia tidak mahu naikkan harga makanan untuk elakkan pelanggan marah pula.
Justeru, beliau berharap kerajaan memberikan keutamaan isu sekarang semua harga barang mahal.
"Kadang-kadang kerja meniaga rasa penat sahaja, untungnya ciput. Nak beli di kedai runcit lagi mahal beza RM 2 hingga RM2.50," katanya.
Peniaga kuih di Sentul, ibu kota, Nadia Muslemin, 37, pula berkata nak dapatkan bekalan telur kena cepat sebab waktu tengah hari biasanya sudah habis.
"Jika lambat jenuh berpusing juga cari telur. Tetapi sekarang tahu dah. Kalau telur tiada di pasar borong, saya segera ke Pasar Sentul, Insya-Allah ada.
"Apa pun, saya saran kerajaan galak pengusaha tingkatkan aktiviti pengeluaran ayam telur dan pantau harga .
"Sebab harga telur sekarang tak masuk akal. Sedia maklum masih ramai lagi rakyat kita yang terkesan sebab Covid-19," katanya.
Menurutnya, kos sara hidup yang tinggi waktu ini, jangankan kata telur malah sayur pun harga melambung.
Menurutnya, elok dikaji balik isu kos sara hidup tinggi ketika ini.
"Yang aneh-aneh sahaja harga sekarang. Telur satu daripada makanan harian pun naik harga. Tak sepatutnya sukar untuk rakyat dapatkan telur di mana-mana pun," katanya.
Pemilik kedai kek, Kly Cakes, Seremban 2, Negeri Sembilan, Anwar Hussin turut mengeluh kerana perniagaannya terganggu berikutan kekurangan bekalan telur di pasaran.
"Memang betullah telur susah nak dapat terutama gred A. Tetapi setakat ini yang saya beli tak pernah lagi dapat telur busuk," katanya yang mengusahakan kedai kek sejak 2020.
Beliau berkata, harga telur di Seremban adalah RM13.50 ikut harga kawalan tetapi sebelum ini banyak peniaga naikkan harga.
Menurutnya, kekurangan bekalan telur sangat mengganggu perniagaannya.
"Kedai kek banyak guna telur tetapi kalau telur susah nak dapat, terganggu perniagaan kita.
"Merata-rata tempat kena cari telur. Lepas itu telur gred A pula dah tak besar macam dulu, seperti saiz telur gred B sahaja," katanya.