'Perkara nasional biarlah jadi isu nasional, kami Bangsa Johor pentingkan perpaduan'
JOHOR BAHRU: Isu nasional yang tidak relevan terutama membabitkan pemimpin di luar Johor seharusnya diselesaikan di peringkat nasional dan bukan dibawa dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota. Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata isu nasional dibimbangi akan menggugat keharmonian masyarakat di negeri ini. "Kita ambil masa yang lama dan berdekad untuk bersatu dan (perpaduan yang terbina) ini boleh diruntuhkan dalam masa overnight (satu malam)," katanya di sini semalam. Beliau berkata, perbezaan pendapat membabitkan pemimpin adalah normal dalam masyarakat majmuk berbilang kaum di negara ini.
"Sebagai Bangsa Johor, kita sentiasa pentingkan perpaduan, perkara dibawa pemimpin di peringkat nasional biarlah jadi isu nasional. "Kita di sini mempunyai visi dan hala tuju yang jelas untuk bangunkan negeri dan DUN Mahkota serta daerah Kluang," katanya. Pemimpin luar melaga-lagakan masyarakat Johor "Saya tengok, antara isu yang dibawa mereka yang tidak bertanggungjawab, pemimpin-pemimpin dari Selangor datang ke Johor, untuk melagakan-lagakan masyarakat di sini. "Kita di Johor, bekerjasama baik dengan rakan-rakan daripada pihak pengimbang. Johor satu-satunya negeri yang ada pihak pengimbang," katanya. Minggu lalu, Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilaporkan mencabar Onn Hafiz supaya mengumumkan pembentukan Kerajaan Perpaduan di negeri ini sekiranya BN memenangi PRK DUN Mahkota. Azmin dilaporkan berkata, Onn Hafiz sepatutnya bersikap terbuka dan adil dalam hal itu kerana hingga kini tiada Kerajaan Perpaduan di Johor meskipun mendapat sokongan parti komponen lain.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/09/1302650/perkara-nasional-biarlah-jadi-isu-nasional-kami-bangsa-johor
|