'Saya rayu ribuan pengundi di Singapura pulang mengundi Sabtu ini, semua kaunter CIQ akan dibuka'
JOHOR BAHRU: Semua kaunter di dua pintu masuk negara di Tambak Johor dan Linkedua akan dibuka sepenuhnya bagi memudahkan pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota yang bekerja atau tinggal di Singapura pulang mengundi Sabtu ini. Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata kerajaan negeri komited memastikan urusan pengundi yang hendak pulang dipermudah di pintu masuk negara. "Saya sudah berhubung dengan Jabatan Imigresen Malaysia untuk pastikan kaunter di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini, dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Iskandar Puteri beroperasi pada tahap maksimum bermula Jumaat ini. "Ia bagi melancarkan lagi pergerakan perjalanan pulang pengundi ke Mahkota mulai Jumaat dan Sabtu.
"Ia penting bagi memudahkan pengundi DUN Mahkota pulang menjalankan tanggungjawab mereka. "Saya merayu kepada ribuan pengundi yang bekerja di Singapura untuk pulang mengundi," katanya. Onn berkata, setiap undi adalah penting untuk menyuburkan lagi sistem demokrasi negara ini. "Dalam masa yang sama banyak dibuat kerajaan negeri dibantu kerajaan pusat untuk memudahkan anak-anak Johor iaitu hampir 300,000 yang berulang-alik ke Singapura pada setiap hari. "Ia termasuklah dari segi kemudahan pengangkutan awam, penambahan kaunter, penambahan pegawai imigresen, menaiktaraf infrastruktur dan sistem.
"Saya minta supaya Sabtu ini, turunlah ke DUN Mahkota, pulanglah sebentar untuk menunjukkan solidariti kita terhadap usaha yang dibuat selama ini," katanya dalam sidang media di kediaman rasminya di Saujana, semalam. PRK DUN Mahkota menyaksikan pertembungan antara calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah dengan Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar. PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lalu. DUN Mahkota yang terletak di dalam Parlimen Kluang memiliki keseluruhan 66,318 pengundi berdaftar, dengan 20 pusat mengundi biasa akan dibuka pada Sabtu ini.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/09/1302645/saya-rayu-ribuan-pengundi-di-singapura-pulang-mengundi-sabtu-ini
|