Rezeki berganda, Izzuddin kini bergelar bapa
KUALA LUMPUR: Pemain beregu lelaki profesional negara, Nur Izzuddin Rumsani memperoleh kegembiraan berganda apabila kini bergelar bapa. Selepas meraih kejayaan cemerlang menjuarai kejohanan Terbuka China, Izzuddin dan isterinya, Mawar Mutiara selamat menyambut kelahiran cahaya mata sulung mereka. Apa yang menarik, kelahiran bayi sulung pasangan itu berlaku pada ulang tahun perkahwinan mereka yang pertama iaitu 23 September. Berkongsi perkhabaran gembira itu di laman media sosial, Mawar memuat naik gambarnya bersama Izzuddin serta cahaya mata sulung mereka di Instagram.
"Setahun sudah kita dalam dakapan cinta, kini diberkati dengan anugerah kehidupan baru. Selamat ulang tahun pertama, sayangku," tulis Mawar dalam hantarannya. Dan hantaran itu disambut Izzuddin dengan menulis; "Saya sayang kamu." Hantaran itu seperti dijangka mendapat perhatian ramai dengan rata-rata peminat memberikan ucapan tahniah serta doa. "Betullah orang cakap, rezeki anak itu luas. Tahniah," tulis seorang pengguna nur_pyja. wiena_153 pula menulis; Gelaran S1000 (Super 1000 Terbuka China) rezeki anak rupanya. Tahniah kedua-dua anda. "Sebagai rekod, Izzudin yang berpasangan dengan Goh Sze Fei dalam kurang sebulan berjaya mengaut hadiah kemenanhan RM 892,000 sepanjang empat kejohanan disertai gandingan itu.
Dan kemenangan di Terbuka China yang berstatus Jelajah Dunia BWF Super 1000 paling lumayan dengan kejayaan itu memberikan mereka AS$148,000 (RM622,000) diikuti AS$62,900 (RM264,000) dengan menjuarai Terbuka Jepun dan AS$1,575 (RM6,622) selepas mara ke peringkat 16 terbaik. Selain itu, gandingan itu kini kembali bergelar beregu dalam kelompok 10 dunia dan mengisi ranking lapan dunia mengikut kemas kini terbaharu Persekutuan Badminton Dunia (BWF), semalam.
https://www.bharian.com.my/sukan/raket/2024/09/1302690/rezeki-berganda-izzuddin-kini-bergelar-bapa
|