KPM terima peruntukan RM64.1 bilion, tertinggi dalam sejarah
Foto hiasan
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) menerima peruntukan sebanyak RM64.1 bilion tahun depan, tertinggi dalam sejarah. Tahun ini KPM menerima peruntukan sebanyak RM58.7 bilion. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata keutamaan kerajaan kini adalah untuk memastikan ruangan pembelajaran yang selesa, selamat dan bermakna untuk pelajar menimba ilmu. "Sebanyak RM2 bilion disediakan untuk projek naik taraf dan penyelenggaraan sekolah seluruh negara, manakala RM1 bilion khusus untuk menyelenggara semua jenis sekolah terutamanya keadaan bilik darjah yang uzur
"Ini termasuklah di sekolah kebangsaan, sekolah cina, sekolah tamil, sekolah agama, sekolah dalam kem tentera dan sekolah pendidikan khas orang kurang upaya (OKU). "RM1 bilion pula bagi menaik taraf prasarana daif di 543 sekolah terutamanya di Sabah dan Sarawak," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025, hari ini. Sementara itu kerajaan mengumumkan peruntukan khas RM10 juta membabitkan bantuan persekolahan kepada 687 sekolah pedalaman di seluruh negara. Selain itu, Perdana Menteri turut memaklumkan, kerajaaan bersetuju meningkatkan elaun sara hidup siswa program ijazah sarjana muda pendidikan di Institusi Pendidikan Guru (IPG). Ini menjadikan elaun mereka meningkat RM530 berbanding RM430, kadar semasa. Di samping itu kerajaan menaikkan kadar Geran Per Kapita (PCG) Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebanyak 15 peratus dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM900 juta. Peningkatan itu mengambil kira PCG tidak disemak semula sejak 22 tahun lalu. "Sejak 2002, sudah 22 tahun kadar PCG TVET tidak disemak semula. PCG ialah sumber kewangan utama sekolah dan kadar lama tidak lagi dapat menampung kos pembelajaran yang kian meningkat. "Sekolah kurang murid di pedalaman pula bergantung kaedah PCG yang sama. Bermakna, kurang murid selama ini kurang dana," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/10/1312746/kpm-terima-peruntukan-rm641-bilion-tertinggi-dalam-sejarah
|